Dengan kehidupan yang kita alami, misalnya
dilahirkan dengan anggota yang sempurna, mendapat kasih sayang ibu bapa dan
keluarga, cukup makan dan pakai, beroleh pendidikan yang sempurna, mendapat
pekerjaan yang baik, tidak mengalami masalah kesihatan, dapat mendirikan
keluarga dan mempunyai tempat kediaman yang selesa, bebas bergerak dan
mengeluarkan pendapat di dalam masyarakat yang harmoni di negara yang aman.
Tidak ada sekatan dari mengamalkan kepercayaan, nilai budaya dan berpeluang
membuat amal kebajikan seharusnya mereka yang sedemikian bersyukur dan
menghargai segala nikmat yang diterima. Masalahnya tidak semua yang menerima
nikmat-nikmat sedemikian SEDAR dan menghargai nikmat-nikmat yang diterima serta
bertindak membalas terhadap Pengurnia nikmat-nikmat yang diterima dengan
kebaikan sebagai melahirkan kesyukuran. Tetapi sebalik dari itu mungkin mereka
yang menerima nikmat yang sedemikian tidak sedar dengan nikmat-nikmat yang
diterima, bahkan menjadikan mereka hilang pertimbangan, angkuh dan bermegah
bahawa apa yang dicapai adalah dari usaha dan kemampuan diri yang menjadikan
mereka lebih sombong dan tidak sedarkan diri. Dalam hal ini orang yang
sedemikian lebih baik dibiarkan dalam kesusahan supaya mereka menjadi orang
yang insaf dan sedar diri.
Ini adalah salah satu situasi individu dan
masyarakat yang dihadapi di dalam berdakwah. Antara kaedah yang dihadapi, ialah
mendepani situasi sedemikian dengan berlemah lembut sebagaimana pendekatan di
dalam Surah Al-Nahl. Allah menyebut bahawa di tengah ciptaanNya – langit dan
bumi (16.3) Allah memilih manusia sebagai ciptaanNya yang paling sempurna dan
berkelayakan menjadi pentadbir dan khalifah yang memakmurkan bumi dan alam ini.
Di samping ada yang tidak berterima kasih dan menjadi penentang seperti firman
Allah yang bermaksud:
``Ia menciptakan manusia dari air (benih)
kemudian (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas
bantahannya``. (16.4).
Allah yang bersifat Rahman dan Rahim
menyediakan berbagai-bagai kemudahan bagi manusia dengan mewujudkan iklim dan
cuaca yang bersesuaian bagi keperluan kehidupan. Firman Allah bermaksud:
``Dan Ia memudahkan bagi kamu malam dan siang,
dan matahari serta bulan dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya
untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu
memahaminya``. (16.12)
Bagi memudah dan melangsungkan kehidupan Allah
menyediakan sebagaimana firmanNya bermaksud:
``Dan Dia mengadakan di bumi gunung ganang
yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu dan dia mengadakan
sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke
matlamat yang kamu tuju``. (16.15). Selanjutnya Allah juga menerangkan
bermaksud:
``Dialah yang menurunkan air dari langit,
sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian daripadanya
menyebabkan tumbuh pokok-pokok (tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang
ternak makan padanya``. (16.10).
Dari iklim yang bersesuaian dan dengan
turunnya hujan Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan berbagai-bagai jenis
buah-buahan bagi keperluan makanan manusia sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab
air itu tanam-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurna) serta anggur dan
juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi
tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mau berfikir``.
(16.11).
Allah menerangkan lebih lanjut bermaksud:
``Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di
bumi yang berlain-lainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu).
Sesungguhnya yang demikian adalah tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi
kaum yang mau mengingati nikmat-nikmat Allah itu``. (15. 13).
Selain dari menyediakan bahan-bahan keperluan
makanan dari buah-buahan, maka Allah juga
menyediakan di dalam laut firmanNya yang bermaksud:
``Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu
dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula
mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan
(selain dari itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya, dan lagi
supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnianya, dan supaya kamu
bersyukur``. (16.14).
Selain daripada menyediakan kemudahan bertani
Allah juga menyebut Dia juga menyediakan binatang untuk makanan dan juga
tunggangan sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Allah jua menciptakan binatang-binatang
ternak untuk kamu. Terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh kamu
(contoh bulu) dari sejuk dan beberapa faedah yang lain dan daripadanya juga
kamu makan``. (16.5). Berhubung dengan binatang ini juga mempunyai daya dan
nilai estetik sebagai binatang peliharaan. Firman Allah bermaksud:
``Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak
itu keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berihat
(pada waktu petang) dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).``
(16.6).
Lebih dari itu beberapa jenis binatang boleh
digunakan sebagai tunggangan untuk
perdagangan dan komunikasi, sebagaimana zaman moden kini wujudnya
berbagai-bagai jenis kederaan. Firman Allah dalam konteks zaman tradisi (Arab)
bermaksud:
``Dan binatang-binatang itu pula membawa
barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak sampai kepadanya,
melainkan dengan menanggung susah. Dan sesungguhnya Tuhan kamu Amat Melimpah
belas kasihan dan rahmatNya (16.7). Seterusnya berhubung dengan kenderaan dari
binatang ini Allah berfirman bermaksud:
``Dan Allah menjadikan kuda, baghal serta
keldai untuk kamu menunggangnya dan menjadi perhiasan dan Ia menjadikan apa
yang kamu tidak mengetahuinya``. (16. 8).
Demikianlah Allah sediakan untuk kehidupan dan
keselesaan hidup manusia. Segala persediaan yang dikurnikan ini diharapkan
mereka tergolong di kalangan orang yang bersyukur (16.14). Dan Allah menyebut bermaksud:
``Dan jika kamu hendak menghitung nikmat Allah
nescaya kamu tidak terhitung. Sesugguhnya Allah Amat Pengampun dan lagi Amat
Mengasihani (16.18).
Demikianlah approach lembut dari segi dakwah
yang diharap manusia insaf serta bersyukur dan mematuhi perintah Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment