November 9, 2015

Akhlak Persoalan Penting Dalam Surah Al-Isra`


BBB, 26 Muharram 1437 = 08 November 2015 (Ahad):
Selepas dari membicarakan tentang `Isra` Dan Mi`raj` dan mengenai `Bani Isra`il, maka persoalan yang penting yang terdapat di dalam Surah Al-Isra` ialah mengenai akhlak. Terdapat 17 ayat mengenai akhlak secara berturut-turut di dalam surah ini, iaitu bermula dari ayat 23 (17.23) sehingga ayat 39 (17.39). Ayat permulaan (17.23) berkenaan bermaksud:
``Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu tidak menyembah, melainkan kepadaNya semata-mata. Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua  dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata secara kasar, walaupun dengan perkataan ``uhh`. Dan janganlah engkau menengking herdik mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)``.
Di dalam kandungan ayat di atas terdapat dua prinsip utama yang  membina akhlak keislaman, iaitu `Menyembah Allah` dan `Berbuat baik kepada kedua ibu bapa`.  Menyembah Allah adalah berkait dengan rukun iman yang enam. Menyembah Allah bererti berkait sama dengan rukun-rukun iman yang lain yang menghasilkan nilai-nilai akhlak keislaman. Begitu juga `Berbuat baik dengan kedua ibu bapa` adalah hasil dari pegangan akidah keislaman dan nilai kepatuhan ibadat yang menghasilkan nilai akhlak – menghormati ibu bapa.

Add caption

Akhlak keislaman tidak terhasil secara terasing, tetapi adalah pancaran dari pegangan akidah, amalan syariat yang menghasilkan nilai budaya keislaman termasuklah `Akhlak`.
Bagi memudahkan perbincangan diperturunkan rangka yang menghasilkan akhlak keislaman sebagaimana di bawah:
Rajah:  Akhlak Keislaman.
Rajah  bertolak dari Islam membawa kepada Al-Qur`an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. yang terpancar darinya `Akhlak Keislaman`. Akhlak keislaman ialah termanifestasi dari pegangan akidah, amalan syariat yang menghasilkan budaya keislaman dan nilai yang dapat dilihat di dalam berbagai-bagai aspek. Di dalam rajah diperturunkan sebanyak lapan aspek dan boleh ditambah menurut kesesuaian.
Di dalam membicarakan tentang akhlak, banyak pihak terutama dari kalangan orientalis selalu bertolak dan merujuk pendapat tentang akhlak keislaman kepada tokoh-tokoh klasik Yunani seperti Socrates, Plato dan Aristotle dan digalurkan pendapat-pendapat tokoh falsafah Islam seperti Al-Kindi, Al-Farabi dan sebagainya. Sebenarnya prinsip, dasar dan sumber akhlak keislaman lebih dari cukup berdasarkan sumber keislaman itu sendiri, iaitu dari Al-Qur`an, Al-Hadith dan peribadi Rasulullah s.a.w.
Akhlak sebenarnya merupakan manifestasi `Pandangan Wujud` dan `Nilai` yang terjelma di dalam perlakuan yang diselaraskan.
Banyak definisi yang berhubung dengan akhlak. Al-Tabari seorang tokoh pentafsir mendefinisikan:
``Akhlak ialah tata krama yang tinggi, iaitu tata krama Al-Qur`an yang telah Allah tanamkan di dalam jiwa Rasulnya. Tata krama ini tercermin melalui Islam dan ajarannya. Makna ini diriwayatkan oleh Ibn `Abbas yang ketika itu menjabarkan makna dari ayat bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau benar-benar, berbudi pekerti yang luhur``. (Al-Qalam, 68: 4).
Definisi akhlak juga dapat difahami dari riwayat, bahawa ketika `Aisyah r.a. ditanya Qatadah mengenai akhlak Nabi Muhammad s.a.w. ia menjawab:
``Akhlak Rasulullah ialah Al-Qur`an``.
(Hadith riwayat Ahmad).

Ada yang mengasaskan definisi akhlak kepada Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia``.
(Hadith riwayat Bukhari dan Ahmad).
Menurut Ibn Taimiah, bahawa akhlak berkaitan erat dengan iman.
(Mahmud al-Mishri, Ensiklopedia Akhlak Muhammad S.A.W., Pena Pundi Aksara, Jakarta Pusat, 2009: 5-6).
Kembali kepada rajah yang dipaparkan di atas adalah bermaksud, bahawa akhlak adalah manifestasi nilai bagi penganut yang perpegang kepada Islam. Di dalam Islam falsafah yang paling utama dan utuh ialah berpegang pada prinsip tauhid Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Dialah puncak piawayan keislaman tertinggi, sumber segala nilai dan kepadaNyalah neraca nilai tertinggi. Pembalas segala perbuatan baik dan jahat. Tidak terlepas dariNya segala maklumat apa yang dilakukan oleh seorang hamba. Dialah Pembalas segala perlakuan baik dari segi baik dan buruk. Akhlak dan nilai dirujuk kepadaNya.
Al-Qur`an adalah Perlembagaan dan nilai keisalaman yang di dalamnya terkandung  wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam Al-Qur`an terdapat hukum hakam, contoh tauladan dan nilai yang menjadi panduan bagi orang Islam. Hukum hakam dan nilai ini diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dipraktikkan oleh Baginda sendiri ditambah dengan Hadith-Hadith Baginda yang melengkapkan peraturan, nilai-nilai dan akhlak keislaman. Ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Baginda menjadi rujukan dan panduan bagi hukum-hukum dan nilai-nilai yang membentuk budaya, nilai dan akhlak keislaman..


Pembinaan budaya, nilai dan akhlak keislaman diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu yang memperkukuhkan keimanan melalui ilmu aqidah yang mempunyai prinsip dan huraian tentang `Pandangan Wujud` tentang Allah yang mempunyai sifat kesempurnaan yang kepadaNya segala pergantungan nilai dan balasan baik dan buruk. Aqidah juga melibatkan `Pandangan Wujud` berhubung dengan Rasulullah s.a.w. Rasul dan Manusia Sempurna yang menjadi contoh tauladan bagi umat Islam. Manakala syariat dan ibadat adalah manifestasi kepatuhan hamba terhadap kewajipan yang dikenakan terhadap hamba. Ianya merupakan peraturan dan kepatuhan yang melahirkan nilai dan amalan akhlak keislaman.  Nilai budaya dan akhlak keislaman dapat dilihat di dalam berbagai aspek. Di dalam rajah diperturunkan sebanyak 8 aspek dan dapat ditambah lagi. Setiap satu dapat dihurai dan diolah berdasarkan sumber-sumber prinsip keislaman berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith sebagaimana ayat tentang membuat baik kepada dua ibu bapa itu (17.23).

Sekian.

No comments:

Post a Comment