Selepas taklimat pada pagi itu tentang
rancangan penggunaan Masjid Al-Umm dijangka pada Jumaat 05 Rabiul Akhir 1437 =
15 Januari 2015 itu, maka majlis, berakhir dengan makan tengahari. Tetapi
sebelum makan tengahari Pengerusi-Pengerusi dan Wakil-Wakil Surau dan Masjid di
Bandar Baru Bangi itu dibawa melawat dengan disertai oleh AJK Penbangunan dan
Pengimarahan bagi memandu dan menerangkan kepada mereka tentang pembangunan
fizikal masjid yang sudah 92 % siap itu.
Pergerakan adalah bermula dari aras satu
(tingkat tiga dikira dari aras bawah tanah) melihat ruang muslimat,
bilik-bilik, bilik mesyuarat, memerhati ruang kubah dan dekorasi dari dalam.
Kemudian turun melalui tangga kanan sampai ke ruang lempah sebelah kanan, masuk
ke ruang utama solat, memerhati mihrab, mimbar dan dekorasi pada dinding
hadapan yang sebelah menyebelah di hadapan bilik imam dan bilik peralatan. Pada
bahagian belakang juga ada dua bilik – bilik tarbiah dan pentadbiran. Manakala
pada bahagian kanan dan kiri adalah bilik-bilik wudhu` dan perkhidmatan lift
untuk OKU dan bagi menaik-turunkan barang-barang. Lift hanya satu. Di samping
tangga kiri kanan untuk turun dan naik. Kemudian ramai-ramai turun melalui
tangga kanan ke aras bawah tanah – Boleh juga turun melalui tangga kanan
berjalan melalui jalan ke ke aras bawah tanah. Di bawah dilihat ruang utama
bagi jamuan, bilik aqad, persalinan dan bilik penyediaan makanan. Kemudian semua
kembali balik ke bilik pertemuan melalui tangga sebelah kiri ke acara jamuan.
Bahagian terakhir peserta-peserta memerhati sendiri ialah kawasan luaran bagi
masjid – Jalan masuk kanan – kiri dan pandangan dari medan parkir dan usahawan.
Bagi membantu Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau
dan Masjid dan juga pelawat-pelawat pada masa akan datang memahami lebih
mendalam tentang Masjid Al-Umm, maka penerangan lanjutnya adalah sebagaimana
berikut.
1. Falsafah
Falsafah utama bagi pembinaan masjid untuk
amal ibadat yang dilakukan di dalamnya ialah menegakkan kepercayaan dan
keyakinan Tauhid, iaitu Keesaan Allah yang Allah jua yang layak disembah, maka
solat yang difardukan adalah bersolat kepada Allah dengan Bersatu mengarah solat kepada Qiblat yang satu, iaitu
ke Masjid al-Haram sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka
hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Ka`bah)``. (Al-Baqarah: 149 &
150).
Mematuhi kewajipan ini, maka di mana sahaja
masjid dibina dan dari arah penjuru mana
sahaja masjid dibina, maka hendaklah mengarah ke Qiblat (Ka`bah di Baitullah), demikianlah dengan
Masjid Al-Umm, sebelum pembinaan dimulakan, maka penentuan arah Qiblat
dilakukan terlebih dahulu, iaitu pada
30 Safar 1435 bersamaan 02 Januari 2014, dilakukan oleh Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron
Din yang kedudukan arah Qiblat ialah:
Latitude
02 darjah, 56 minit dan 40 second
Longitude 101 darjah, 46 minit dan 15 second
Arah Qiblat ialah 292 darjah, 36 minit dan 58
second
Tarikh pengesahan ialah 02 Januari 2014
Diperakukan oleh Dato` Seri Utama Diraja,
Mufti Kerajaan Negeri Selangor
Tarikh: 03 Januari 2014
Surat dari Jabatan Mufti: 06 Rabiul Awal 1435
bersamaan 08 Januari 2014.
Falsafah dari mengadap Qiblat ialah bukan saja
penyatuan arah Qiblat ke Ka`bah di Baitullah, tetapi juga adalah penyatuan hati
dan pembersihan diri yang bersolat di dalam bertaqwa kepada Allah. Bukankah
untuk bersolat sebelum seseorang yang hendak bersolat semestinya bersih diri
dari syirik, bersih anggota dari hadath besar dan kecil dan ikhlas hati di
dalam beribadat kepada Allah. Bersih individu juga ahli jamaah. Bersih juga dari segi fizikal,
lantaran itu tanah yang hendak dijadikan tapak bagi masjid hendaklah bersih
dari segi urusan, ditentu dan dilulus oleh pihak berkuasa (Kerajaan Negeri
Selangor, JAIS & MAIS), - bukan milik orang, betul dari segi ruang,
sempadan dan keluasan yang ditentukan. Manakala fizikal bangunan adalah bersih
dari bahan-bahan najis dan dari segi kewangan yang didapati hendaklah secara
halal misalnya derma ikhlas dari orang ramai dan perbelanjaan dilakukan
hendaklah secara betul dan halal.
Falsafah pembinaan Masjid dari segi ibadat,
peningkatan ilmu, pembersihan jiwa dan pembinaan taqwa dapat dilihat dari segi
penerusan amalan dan aktiviti berterusan yang dilakukan di masjid itu. Misalnya
dengan ibadat yang dilakukan di masjid secara berterusan dan pertambahan dan
disertai dengan pertambahan jamaah meningkatkan kualiti jamaah dengan ibadat
dan kualiti diri dan jiwa.
Faktor yang penting masjid dilihat bukan
sahaja sebagai pusat ibadat, tetapi juga adalah sebagai pusat dan sumber
keilmuan yang boleh didapati oleh masyarakat. Di dalam hal ini masjid pada
kebiasaannya menyusun aktiviti yang bersifat keilmuan, khususnya bidang
keagamaan. Misalnya sejak dari selepas solat subuh, mengiringi waktu-waktu
solat yang lain, khususnya dari waktu maghrib ke Isya` yang diisi dengan
berbagai-bagai keilmuan dan diajar oleh guru-guru pilihan yang menggunakan
kitab-kitab dan buku-buku yang releven menurut bidang-bidang keilmuan yang
diajar, maka sesungguhnya masjid adalah pusat keilmuan yang mentransformasi
masyarakat dari ketidaktahuan `jahil` kepada masyakatat yang terdidik dan
berilmu pengetahuan.
Dilihat dari segi sosial dan kemasyarakatan,
maka masjid juga adalah merupakan agen yang mentransformasikan masyarakat dari
bersifat individualis kepada hidup bermasyarakat, berjamaah, mengikuti
pengajian, mempunyai silaturahim yang baik dengan jiran tetangga, bergotong di
dalam melakukan kebajikan hasil dari pupukan masjid seperti mengadakan kenduri
kendara kematian dan perkahwinan.
Pendek kata melalui masjid mengikati jiwa
dengan Allah dan menghubungkan silaturahim bersama masyarakat. Dengan demikian
memupuk persaudaraan dan ketenteraman di dalam masyarakat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment