November 6, 2015

Surah Al-Isra`: Catatan Keistimewaannya


BBB, 23 Muharram 1437 = 05 November 2015 (Khamis):


Surah  Makkiyyah: 111 ayat;
Surah ini walaupun mengandungi banyak persolan, tetapi sebagaimana tajuknya, Al-Isra` yang merujuk kepada peristiwa `Isra` Dan Mi`raj`, maka peristiwa ini paling utama dan membawa identiti kepada surah tersebut. Ada beberapa keistimewaan yang dapat dikaitkan dengan tajuk bagi Surah ini atau peristiwa Isra`Dan Mi`raj yang menjadi pembukaan bagi surah tersebut:
1.       Peristiwa menautkan kepada tradisi unggul bagi tempat berlakunya peristiwa Isra` dan Mi`raj
Sebagaimana maklum, bahawa peristiwa ini berlaku  di Makkah - Isra` ialah bertolaknya pada malam Isra` tersebut dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Pembinaan Masjid Al-Haram adalah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail sejak 4.000 tahun S.M. Masjid al-Haram didoakan oleh Nabi Ibrahim agar Allah menjadikan hati-hati manusia mesra mengunjungi tempat ibadat ini dan menjadikan Makkah sebagai kota yang makmur. Doa Nabi Ibrahim dikabulkan Allah, Makkah menjadi destinasi bagi umat Islam menunaikan haji dan hingga kini kota Makkah dan Madinah dikunjung umat Islam bukan saja di musim haji, tetapi sepanjang tahun termasuk menunaikan Umrah. Sirah perjalanan keluarga Nabi Ibrahim terutama yang dialami oleh saydatina Hajar dan Ismail menjadi sebahagian dari amalan haji.
Lebih penting Kota Makkah adalah tempat kelahiran Rasulullah s.a.w. yang keluarga baginda turun temuran sama turut memakmurkan kota ini. Di sini Baginda dilantikkan menjadi Rasul dan di sini juga Baginda menjalankan dakwah mengembangkan Islam sehingga 13 tahun lamanya. Kota ini juga dibuka oleh Baginda sedekad berikutnya.
Manakala Baitul Maqdis dikenali juga sebagai Kota Kelahiran Nabi-Nabi yang padanya terdiri Masjid al-Aqsa yang bermaksaud `Masjid Paling Jauh` dalam konteks wujudnya masjid pada peringkat awal dan jauh berbanding dengan Masjid Al-Haram. Masjid al-Aqsa di sini yang telah wujud sejak zaman Nabi Ibrahim adalah merujuk kepada tapak Haikal Sulaiman di Palestin yang terletak di atas Bukit Moriah pada atau berhampiran dengan Qubbah al-Sakhrah yang dikenali selepas pembinaan kembali sebagai Masjid Saidina Umar al-Khattab. Masjid al-Aqsa ini diselesaikan pembinaannya oleh Amir Abdul Malik dalam tahun 68H. Baitul Maqdis adalah tempat suci orang Yahudi, Kristian dan juga Islam. Sebelum Islam Masjid al-Aqsa yang berada di Baitul Maqdis itu berada di bawah Empayar Byzantine (Rum) yang melantik seorang Ketua Paderi Tertingginya (Patriach) di Palestin. Haikal Sulaiman ini saempurna pembinaannya  1004 tahun sebelum Masihi. Ianya dimusnahkan oleh pemerintah Babylon pada zaman pemerintahan Raja Nebuchadnezzar lebih kurang tahun 586 S.M. Kemudian dibina kembali pada zaman Nehemiah lebih kurang tahun 515 S.M. Rumah ini ditukar menjadi rumah berhala dan syirik pada zaman selepas Iskandar Agong, iaitu Antiochus Ephiphanes tahun 167 S.M., tetapi dibinakan kembali seperti semula oleh Herod pada tahun 17 S.M. hingga 29M. apabila sekali lagi dibinasakan secara habis-habisan di bawah pemerintah Titan tahun 70M.
(Al-Qur`an al-Karim Terjemahan dan Huraian Maksud, Terjemahan oleh Muhammed Uthman El-Muhammady terhadap Teks Abdullah Yusuf Ali, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1310-10311).
Latar yang menjadi tempat peristiwa terutamanya `Al-Isra`, ialah tempat penting yang menjadi pusat keislaman di Makkah dan juga pusat bagi negara Nabi-Nabi di Baitul Maqdis, tempat berlakunya kebangkitan nabi-nabi – temasuk Nabi Ibrahim, Ishaq, Ya`kub, Zakariyya, Isa dan lain-lain lagi. Isra` sebagai peristiwa pentung berlaku di tempat yang penting baik dari sejarah, kerasulan dan pemerintahan.
2.       Pentingnya `Solat`.
Berlakunya peristiwa Isra` dan Mi`raj bagi menunjukkan betapa pentingnya solat sebagai  salah satu rukun Islam yang lima. Solat sebenarnya boleh disampaikan menerusi wahyu sebagaimana kewajipan puasa, zakat dan Haji. Tapi bagi menunjukkan  solat suatu ibadat yang disifatkan sebagai `Tiang Agama`, maka sebagai menunjukkan kepentingannya maka solat diterima melalui peristiwa Isra` dan Mi`raj. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily. Peristiwa Isra` Dan Mi`raj dan penerimaan solat ini berlaku  pada sebahagian dari malam setahun sebelum Hijrah yang Baginda bertolak secara jasad dan roh dari rumah Ummu Hani` berhampiran dengan Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Dimasyq, Suriah, 1431H.: 283).
3.       Mu`jizat Dan Penghormatan Kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Dengan peristiwa Isra` dan Mi`raj yang tidak berlaku kepada rasul-rasul dan nabi-nabi yang lain, ia merupakan satu mu`jizat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Iaitu peristiwa yang berlaku dalam waktu yang singkat sebahagian dari malam. Peristiwa ini juga merupakan penghormatan kepada nabi Muhammad s.a.w.
4.       Aspek kerohanian Dan keilmuan
Isra` dan Mi`raj membuka dimensi kerohanian. Misalnya solat dilihat sebagai perhubungan rohani dengan Allah dan dilihat jika Rasulullah mi`raj menemui Allah dan menerima solat, maka dilihat bagi hamba, maka dengan solat itulah wasilah bagi hamba bermi`raj dan mendekati diri kepada Allah. Isra` Dan Mi`raj dapat didekati secara tasawuf dan rohani di dalam mendekati kepada Ilahi. Dengan Isra` dan  Mi`raj jua membuka  dari segi keilmuan bagi meneroka ke angkasa lepas bagi mengkaji ciptaan-ciptaan Allah di angkasa lepas. Bidang yang berhubung dengan astronomi, planet-planet dan bintang-bintang begitu banyak penyebutan berkenaannya di dalam Al-Qur`an.
5.       Menyuburkan Imaginasi dan Kreativiti
Dalam peristiwa Israj Dan Mikraj ada berbagai peristiwa yang disaksikan oleh Rasulullah yang menggambarkan kesiksaan dan balasan bagi amalan-amalan yang dilakukan oleh seseorang, misalnya cerita mengenai balasan orang yang mengumpat, yang curang, mereka yang berzina dan sebagainya. Begitu juga Rasulullah turun naik bagi memohon dikurangkan jumlah solat 50 kali sehari semalam, setiap kali mengadap dikurangkan lima kali sehingga selepas sembilan kali tinggal hanya 5 kali. Dan Rasulullah tidak menemui lagi bagi mengurangkan jumlah solat dari lima kali, kerana malu.. Dari segi sastera (adabiyyah) cerita-cerita  yang digambarkan dalam satu peristiwa Isra` Dan Miraj ini, mempengaruhi perkembangan sastera di dalam sastera Islam yang dikenali dengan `Cerita Berbingkai` seperti cerita, Seribu Satu Malam, Kalilah wa Dimnah, Musang Berjanggut, Hikayat Bakhtiar dan sebagai.nya Cerita Berbingkai yang begitu popular yang berkembang di dalam sastera umat Islam turut mempengaruhi sastera di Barat. Menurut Muhammad Uthman El-Muhammady Sarjana Spanyol Miguel Asin, Profesor Bahasa Arab di Universiti Madrid menunjukkan bahawa Persuratan Islam berkenaan dengan Mi`raj telah memberi pengaruh yang besar di Eropah pada zaman pertengahan terutama pengaruh terhadap Puisi Itali yang agung iaitu The Devine Comedy (atau drama) atau Dante yang begitu tinggi dipandang dalam kesusasteraan Eropah pada zaman Pertengahan. (Muhammad `Uthman El-Muhammady, Al-Qur`an al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 3: 1308).
Demikian  keistimewaan Isra` Dan Mi`raj yang tidak saja bersifat keagamaan, tetapi juga menjadi bentuk cerita yang dikenali dengan `Cerita Berbingkai` yang turut sama mempengaruhi sastera di Barat pada zaman pertengahan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment