November 19, 2015

Ucapan Sempena Majlis Pertemuan Dengan Pengerusi Surau-Surau


BBB,  06 Safar 1437 = 17 November 2015 (Rabu):



Sehingga jam 9.30 pagi (16 Nov.) setelah masa pendaftaran setengah jam berlalu lebih 40 orang telah mendaftar di Bilik Tahfiz, Aras Satu, Bangunan Masjid Al-Umm. Mereka terdiri dari ahli-ahli jawatakuasa Masjid Al-Umm, Pengerusi-Pengerusi Surau atau Wakil-Wakil, termasuk dari Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi. Tuan Haji Mohd. Ghazali Abas, selaku Pengerusi Majlis Pertemuan memulakan Majlis Pertemuan dengan salam dan pembacaan Surah Al-Fatihah. Penulis selaku Pengerusi AJK Induk Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dijemput menyampaikan ucapan alu-aluan dan laporan ringkas mengenai Masjid Al-Umm.
Selepas salam dan membaca dua ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan masjid, Penulis mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi-Pengerusi Surau dan Wakil-Wakil termasuk dari Masjid Al-Hasanah yang dapat datang ke Majlis Perjumpaan dan semasa majlis bermula jemputan-jemputan berkenaan masih tiba hingga jumlah mereka – berdasarkan pendaftaran dibuat adalah melebihi 50 orang. Terima kasih. Penulis menyebutkan bahawa tujuan menjemput Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau atau Wakil-Wakil ialah bertujuan untuk melaporkan tentang perkembangan pembangunan Masjid Al-Umm dan memaklumkan serta mendapat kerjasama dari pihak surau-surau dan masjid, bahawa AJK Masjid Al-Umm, bercadang untuk `Memulakan Penggunaan Masjid Al-Umm` pada Jumaat 16 Januari 2016 akan datang, Insya Allah.
Penulis memaklumkan bahawa hasrat untuk mula menggunakan Masjid Al-Umm ini telah dua kali tertangguh oleh sebab-sebab teknikal dan kelewatan siapnya bangunan dari tarikh yang jangka siap. Penangguhan berlaku:



1)      Jangkaan penggunaan terawal menurut jangkaan siapnya bangunan seperti tarikh asal, maka bermula untuk digunakan pada 01 Ramadhan 1436 = 18 Jun 2015 yang lepas (Sebagaimana Surau Al-Umm surau terawal di Bandar Baru Bunga mula digunakan pada 01 Ramadhan tahun 1978). Namun hasrat mau memulakan penggunaan Masjid Al-Umm bermula dari bulan berkat itu tidak kesampaian, kerana bangunan tidak siap sebagaimana dijadualkan. Penggunaan ditangguhkan dan AJK memohon maaf kepada masyarakat di atas kelewatan berkenaan.
2)      Selepas tertangguhnya dari tarikh asal pihak AJK melalui mesyuaratnya membuat keputusan untuk memulakan penggunaan bangunan Masjid Al-Umm ialah pada Hari Raya Idul Adhha 10 Zulhijjah 1436 = 24 September 2015, tetapi pada tarikh tersebut juga bangunan masih belum dapat disiapkan, bahkan pihak kontrektor mohon dilanjutkan tempoh. Adalah diharapkan bahawa semua kerja-kerja dapat disiapkan pada akhir November 2015.
Dengan jangkaan pihak kontrektor dapat menyiapkan bangunan Masjid Al-Umm pada akhir November 2015 berkenaan, maka pihak AJK membuat keputusan bagi kali ketiga untuk menggunakan Masjid Al-Umm ialah pada Jumaat 15 Januari 2016 akan datang – Insya Allah. Untuk tempoh selama enam minggu selepas dari tarikh dijangka siap itu, persediaan bagi penggunaan Masjid akan dapat dilakukan sebaik yang dapat.
Penyiapan bagi pembangunan fizikal bagi Masjid Al-Umm yang dijangka dapat disiapkan pada hujung November 2015 itu adalah genap dua tahun dari segi pembangunan fizikal bagi Masjid Al-Umm. Ini dikira dari tarikh kontrektor `Masuk Tapak` yang bererti memulakan kerja ialah pada 10 Disember 2013. Tetapi jika dikira dari terbentuknya AJK Pembinaan Masjid Al-Umm oleh Wakil-Wakil Surau yang mula bermesyuarat di Surau Al-Umm Bandar Baru Bangi pada 4 Februari 2010 (Atas jemputan Penulis selaku ADUN Bangi pada masa itu), maka usia bagi pembinaan Masjid Al-Umm,  sudah berusia lebih dari 5 tahun.
Dalam ucapan berkenaan juga Penulis menyebut bahawa kerja-kerja pembangunan adalah digerak melalui:
1.       Pentadbiran & Pengurusan
a)      AJK Induk dipengerusikan oleh  Dr. Shafie Abu Bakar  - Sejak 4 Februari 2010.
b)      AJK Teknikal diwujudkan sejak akhir 2013 (Bersamaan bermulanya pembinaan) dipengerusikan oleh Ir. Hj. Ishak bin Arshad
c)       AJK Tapak diwujudkan permulaan tahun 2014 dipengerusikan oleh Ir. Hj. Ghazali Husin. Kini AJK Teknikal dan Tapak disatukan.
2.       Pembangunan Fizikal
a)      Kontrektor: Tekad Nusantara (Tuan Haji Marzuki Hj. Che Omar)
b)      Arkitek:  Urusbina, Perlis (Ar. Haji Raja Fuaddin bin Ahmad).
3.       Perunding
a)       Kejuruteraan Awam (Safari Ingeniuers)
b)      Mekanikal & Elektrikal (Azfar Sdn. Bhd.).
c)       Ukur Bahan (May Consult)
Dalam ucapan berkenaan Penulis juga memaklumkan hasrat mau memulakan penggunaan Masjid Al-Umm pada 16 Januari 2015 oleh kerana kerja-kerja yang dilakukan sekarang adalah 90% siap. 10% yang belum siap melibatkan kerja-kerja antaranya pemasangan carpet (sudah tiba dan belum boleh dipasang), jalan, pagar, air cond, hiasan dalaman, pondok pengawal dan beberapa yang lain yang semua dalam proses penyiapan.



Penulis juga melaporkan, bahawa Masjid Al-Umm tiga tingkat itu setakat ini menggunakan peruntukan sepenuhnya adalah dari derma orang ramai.
Dari laporan Bendahari (Tuan Haji Mohd Nor Haji Yasin):
Peruntukan yang didapati hingga 30 September 2015 ialah:
Pendapatan   RM12,461,901.68
Perbelanjaan RM11,178,393.01
Baki Semasa RM1,283,508.67
Kewangan semasa adalah berubah, walaupun ada penerimaan, tetapi bayaran-bayaran terbaru yang dibuat difahamkan baki kewangan di bawah dari RM1 juta.
Penulis juga melaporkan bahawa janji duit dari Kerajaan Negeri Selangor yang dijanjikan pada 6 Januari 2013 masih belum dapat. Pertemuan terakhir dengan Menteri Besar (YAB Azmin) berjanji akan diberi RM5 juta, tapi tawaran yang tiba RM4 juta dengan syarat projek diserahkan kepada JKR, syarat tidak dapat diterima oleh AJK, tapi kewangan masih dalam tuntutan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment