November 21, 2015

Program Pengimarahan Masjid Al-Umm


BBB, 08 Safar 1437 = 20 November 2015 (Jumaat):
Majlis berhenti sekejap dan selepas peserta-peserta yang terdiri dari Pengerusi-Pengerusi Surau atau Wakil-Wakil termasuk dari Masjid Al-Hasanah minum, penerangan disambung kembali dengan Pengerusi Majlis Tuan Haji Mohd Ghazali Abas menjemput Pengerusi AJK Pendidikan Dr. Haji Tajul Ariffin Noordin membentangkann maqasid, visi, misi dan fungsi pendidikan yang merupakan sebagai sebahagian daripada aspek pengimarahan Masjid Al-Umm. Beliau menyampaikan penerangan berdasarkan dua halaman kertas ringkas yang disebarkan kepada peserta-peserta. Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin apa yang disampaikan adalah merupakan intisari dari dua Bengkel yang telah diadakan oleh Masjid Al-Umm yang kedua-duanya bertempat di Hotel Puri Pujangga di UKM, iaitu:


1.       Bengkel Untuk Merancang dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm pada Ahad 26 Zulkaedah 1435H. bersamaan 21 September 2014.
2.        Bengkel Penentuan dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm pada 03 Rabiul Akhir 1436H. bersamaan 24 Januari 2015M.
Menurut Dr Hj. Tajul Ariffin Noordin:
Maqasid Masjid Al-Umm adalah sebagai nukleus ilmu dan kehidupan insan yang berfungsi untuk membina, mengembang dan memelihara nilai-nilai Islam berpaksikan Al-Quran dan Al-Sunnah yang harmoni dengan nilai fitrah insan semata-mata untuk memperolehi keredhaan Allah S.N.W.
Manakala visi Masjid ialah bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat
Dan misi masjid mempunyai tiga matlamat iaitu:
a.       Memantapkan kerjaya  sebagai manusia khalifah Allah S.N.W.
b.      Menyedari potensi manusia khalifah Allah sebagai makhluk istimewa berpaksikan ilmu
c.       Menyediakan manusia yang beriman dan bertaqwa.
Manakala matlamat Masjid Al-Umm ialah untuk memenuhi tuntutan ilmu, potensi, sikap, nilai, akhlak, dan adab dalam empat kelompok program pengimarahan yang akan dilaksanakan, iaitu:
a.       Program pengajian berbentuk tazkirah, ceramah, kuliah dan seumpamanya.
b.      Program berbentuk klinik dan bengkel
c.       Program rekreasi dan sambutan hari-hari kebesaran Islam
d.      Program pengajian bermodul.
Manakala fungsi dan peranan Masjid Al-Umm.
Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin dengan merujuk kepada perkara-perkara dan konsep di atas, maka adalah diharap Masjid Al-Umm akan merealisasikan fungsi dan peranan berikut:


a.       Hendaklah mesra kariah dan seluruh umat Islam.
b.      Pengajian program 24 jam sehari seminggu
c.       Program yang sesuai kepada semua kelompok dan lapisan masyarakat
d.      Sebagai transit kepada remaja dan kanak-kanak sekolah
e.      Menyediakan tempat kepada NGO untuk melaksanakan aktiviti
f.        Fungsi dan peranan lain yang selari  dan selaras dengan maqasid,, visi, misi, dan matlamat yang ditetapkan amat dialu-alukan dan digalakkan.

Fokus pengimarahan, khususnya pendidikan di Masjid Al-Umm, ialah pada pemupukan dan perkembangan diri insan yang berpotensi untuk dikembangkan sebagai manusia berilmu dan berstatus khalifah di bumi Allah berasaskan pendidikan Islam yang berpaksikan kepada Al-Qur`an dan Al-Sunnah. Insan yang menjadi fokus terdiri dari berbagai-bagai peringkat dan generasi, iaitu penduduk Bandar Baru Bangi dari peringkat orang dewasa, pemuda, anak-anak, bahkan kepada badan-badan seperti NGO dan sebagainya.
Masjid yang merupakan `Rumah Allah` sebagai `Institusi pendidikan` dalam erti kata yang luas dan bersifat terbuka selama 24 jam untuk dipenuhi berbagai-bagai aktiviti
Aktiviti yang paling utama dan penting dan identik dengan Masjid ialah sebagai tempat beribadat, khususnya solat, sesuai dengan masjid, iaitu `Tempat Sujud` - bersolat kepada Allah, sama ada yang bersifat fardu dan sunat. Termasuk di bawah ibadat, ialah pendidikan yang menyempurnakan insan bagi tujuan beribadat, bermuamalat dan interaksi mereka dengan alam keliling dan dunia luar. Lebih daripada itu mereka pada peringkat yang lebih maju,bukan saja dibimbing, tetapi menjadi pembimbing atau dalam istilah yang lain sebagai `Khalifah` yang memimpin kepada jalan `mustaqim`.
Sudah tentulah perluasan bagi kertas ringkas yang dibentang oleh Dr. Haji Tajul Ariffin Noordin memerlukan huraian lanjut. Misalnya apakah keilmuan-keilmuan yang harus diisi bagi memenuhi keperluan lapisan generasi yang mau dididik sebagai insan khalifah. Apakah cukup dengan keilmuan-keilmuan agama yang bersifat tradisional, apakah perlu kepada penambahan kepada keilmuan yang bersifat semasa dan terkini. Apakah ada buku-buku atau kitab-kitab atau tidak ada modul dan kurikulum bagi memenuhi matlamat dan tujuan pembinaan insan khalifah yang dimaksudkan. Paling penting adakah guru-guru yang berpotensi yang mempunyai persediaan dan memahami matlamat pendidikan yang dihasratkan.


Kita bersetuju bahawa masjid yang berperanan sebagai pusat pendidikan yang beridentitikan Islam adalah mesra masyarakat yang sedar dengan ilmu dan tertarik untuk hadir sama bagi mempelajari dan menghayati keilmuan yang ditawarkan oleh masjid bersama kegiatan ibadat yang terus berlangsung di masjid. Di dalam hal ini masjid tidak saja menyampaikan keilmuan, tetapi mencetuskna budaya ilmu di tengah masyarakat sehingga masyarakat terkenal berbudaya Ilmu, bahkan Masjid Al-Umm berada di Bandar Ilmu, maka Bandarnya juga dikenali sebagai `Bangi Bandar Ilmu`. Inilah cetusan yang dilakukan bagi bandar ini sejak 22 Jun 2008 dan masjid adalah salah satu mekanisme bagi merealisasikan `Bangi Bandar Ilmu`
Kita berharap dengan pengimarahan Masjid Al-Umm kita sama-sama dapat merealisasikannya sebagai pusat kecemerlangan ibadat dan keilmuan yang sama-sama menyerlahkan `Bangi Bandar Ilmu`.

Sekian.

No comments:

Post a Comment