November 8, 2015

Kesalahan Dan Kerosakan Besar Dilakukan Bani Isra`il


BBB,  25 Muharram 1437 = 07 November 2015 (Sabtu):


Sebagaimana telah disebut Nabi Ibrahim a.s. adalah bapa bukan saja  bagi keturunan biologi bagi nabi-nabi, tetapi Bagindalah yang menegakkan agama Hanif (Islam) yang mengesakan Allah, tetapi beberapa turunan nabi-nabi melalui Nabi Ishaq ke bawah dari kalangan Bani Isra`il telah melakukan penderhakaan yang besar dari segi aqidah ditambah dengan keangkuhan mereka menjadikan mereka dikutuk dan ditimpa berbagai-bagai musibah.
Sebagaimana disebutkan Bani Israil banyak menerima nikmat dari Allah dan keistimewaan-keistimewaan, termasuklah ramai dari keturunan rasul-rasul selepas dari Nabi Ibrahim ialah dari keturunan Bani Isra`il. Kebangkitan mereka ini antaranya bagi mendidik mereka yang bersifat angkuh, namun keangkuhan mereka tidak berkurang sepanjang zaman.
Selepas Nabi Musa menyelamatkan kaumnya – Bani Isra`il,  dari kezaliman Fir`aun yang Firaun dan tenteranya tenggelam dalam Laut Merah dan kaumnya berada di Padang Pasir Sinai. Semasa Nabi Musa ke Bukit Tursina menerima wahyu (Kitab Taurat), maka sebahagian besar dari umat Yahudi murtad. Mereka menyembah patung anak lembu yang dimanipulasi oleh seorang dari kalangan mereka yang dikenali dengan Samiri yang kononnya patung lembu itu mempunyai keramat. Tindakan mengembalikan mereka kepada kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa turut dilakukan oleh Nabi Harun saudara Nabi Musa, tapi mereka tidak berubah sikap. Semasa berada di Padang Pasir Sinai mereka meminta berbagai-bagai hidangan. Mereka dikurniai makanan `al-mann dan al-salwa` yang menyelamatkan mereka di padang pasir dari kelaparan, namun mereka masih tidak bersyukur, mereka memohon tambahan makanan dari sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan dari bahan laut. Mereka ingkar dan bekerja pada hari Sabtu sebagai hari larangan. Apa yang lebih angkuh dan serius mereka membuat syarat bagi keimanan mereka untuk melihat Tuhan, sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kamu berkata, ``Wahai Musa kami tidak akan beriman sehingga kami melihat Allah secara terang-terangan``, maka halilintar menyambar kamu sedang kamu melihatnya``. (Al-Baqarah: 55)
Ini adalah sebagai balasan di atas permintaan angkuh dan sombong pengikut-pengikut Nabi Musa bersama saudaranya Harun.
Mereka juga mengingkari perintah Allah supaya menyembelih lembu bagi dipukul kepada mayat terbunuh bagi mengetahui siapa pembunuhnya. Pendeknya walaupun Nabi Musa banyak memberi pertolongan kepada kaumnya, tetapi Baginda tidak diterima dengan baik. Banyak perkara yang disuruh dipersoal dan diingkari, bahkan mereka melakukan perbuatan syirik.
(N.Y.H.Hadiyah Salim, Qishashul Anbiya` - Sejarah 25 Rasul, PT Al-Ma`arif, Bandung, 1988: 115-150)..
Ketika Baitul Maqdis berada di bawah kekuasaan Rum (tiga abad Sebelum Masihi) Nabi Isa al-Masih dibangkitkan menjadi Rasul. Kebangkitan Nabi Isa menjadi Rasul ditentang keras oleh kaum Bani Isra`il. Mereka cuba membunuhnya sebagaimana mereka membunuh Nabi Zakariyya dan Yahya. Mereka menolak Nabi Isa dan menganggapnya sebagai anak di luar nikah (ibunya Maryam). Mereka menyangka mereka benar-benar membunuh Nabi Isa, tetapi yang dibunuh adalah orang yang dikelirukan sebagai Isa, iaitu murid Isa yang mengkhianatinya iaitu Judas Eskhariut . Sedang Isa diselamatkan Allah ke sisinya. Atas usul mereka kepada Penguasa Rumawi  (Plitius) yang menguasai Palestin, maka orang dijangkakan Isa al-Masih itu disalibkan.
Ini adalah dimaksudkan dengan `Kemusnahan Besar` bagi Bani Isra`il, pada hakikatnya bukan kepada Bani Isra`il sahaja, tetapi kepada penganut-penganut agama samawi, lantaran ianya membawa fitnah dan perpecahan hebat di kalangan penganut-penganut agama samawi berkenaan. Pada satu pihak di dalam kalangan Bani Isra`il yang begitu benci terhadap Nabi Isa, lantaran itu mereka dengan sangkaan mereka begitu hina terhadap Nabi Isa sehingga Baginda disalibkan. Dari satu pihak mereka yang begitu kasih dan mencintai Nabi Isa sehingga meletakkannya sebagai `Anak Allah` kedudukan yang tidak sepatutnya, kerana ini merupakan penyelewengan dari segi aqidah. Bagi mewajarkan pendirian mereka meletakkan Maryam sebagai Ibu merupakan satu dari tiga ketuhanan, Isa dan Maryam sebagai satu dari tiga (bersama Allah) bersifat ketuhanan.
Manakala ada yang lain yang mengambil kesempatan tampillah seorang Yahudi yang selama ini menganiaya pengikut-pengikut Nabi Isa mengaku dirinya sebagai Rasul menggantikan Nabi Isa, iaitu individu bernama,  `Paulus`. Dia membawa ajaran yang sama sekali bersalahan dari pengajaran Nabi Isa, bahkan menyesatkan. Dalam ungkapannya iaitu:
``Tuhan adalah Satu, tetapi tiga dan tiga tetapi Satu``.
Yang sama kedudukannya, Yang Sang Bapa itulah Allah sendiri. Sang Putera, ialah Isa al-Masih dan Ruhul Qudus.
Inilah kerosakan kedua kali yang begitu hebat gara-gara dari tindakan  Banu Isra`il.
Beberapa puluh tahun selepas `kewafatan Nabi Isa`, kerajaan Rumawi yang menguasai Baitul Maqdis merasmikan agama Kristian yang beraliran Paulus sebagai agama rasmi Rumawi. Sejak itu Palestin secara rasmi pula sebagai dibawah pemerintah Rumawi-Nasrani.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. 6, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4014-4016).
Bebarapa keanihan bahkan kekeliruan berlaku:
1)      Bani Isra`il menentang Nabi mereka – Nabi Musa sehingga berlaku perlakuan syirik. Mereka tidak mesra dengan Nabi Mereka, tapi dari satu pihak mereka mengiktirafnya sebagai Nabi mereka yang utama. Ibarat dikatakan sebagai `Derhaka, tapi mengakuinya`.
2)      Kaum Bani Isra`il hingga kini seolah-olah terus menolak Nabi Isa. Ia seolah-olah adalah bukan Nabi mereka, tetapi Nabi bagi mereka yang beragama Kristian.
3)      Mereka adalah bersependapat bahawa Nabi Isa adalah `Dibunuh dan Disalib`. Ironinya yang membunuh (cuba membunuh) adalah dari kalangan Bani Isra`il. Ini membenarkan ayat Al-Qur`an yang menyebut ``Mereka membunuh nabi-nabi mereka - termasuk cuba membunuh ( Aali `Imran: 112).
4)      Bagi golongan mencintai Nabi Isa bersifat melampau hingga meletakkan Nabi Isa dan ibunya Maryam pada tahap Tuhan. Ironinya juga mereka diseleweng dan menerima Nabi palsu (di Rum), iaitu Paulus dan menerimanya sebagai agama Paulus sebagai agama rasmi negara.
5)      Di atas kecelaruan di atas, lantaran itu memerlukan kepada perutusan Nabi Muhammad s.a.w. bagi membersihkan aqidah sebagaimana telah dirosakkan oleh kaum Yahudi dan Kerajaan Rumawi. Nabi Muhammad membawa `Agama Tauhid` sebagai pengukuhan apa yang dibawa dan diasaskan oleh Nabi Ibrahim a.s.
Sesungguhnya kerosakan-kerosakan yang dibawa Bani Isra`il, baik dari segi kekuasaan, lebih-lebih lagi dari segi aqidah perlu diperbetulkan bagi keamanan dunia dan kebenaran dari segi aqidah keyakinan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment