November 10, 2015

Aspek-Aspek Akhlak Yang Lain Dalam Surah Al-Isra`


BBB,  27 Muharram 1437 = 09 November 2015 (Isnin):


Nilai keakhlakan dalam Islam adalah pancaran dari aturan-aturan yang terdapat di dalam Islam. Dari segi syarak, bahawa  tidak ada amalan seseorang yang terkeluar dari hukum dan mengikut pendapat jumhur al-`ulama` hukum syara` terbahagi kepada lima. Iaitu wajib, mandub (disunatkan), haram, makruh dan harus.
Wajib ialah apa yang dituntut terhadap mukallaf melakukannya sebagai tuntutan pasti, dengan memberi pahala bagi yang melakukannya dan berdosa bagi yang meninggalkannya. Contoh menunaikan solat fardu pada waktunya.
Mandub (sunat) ialah apa yang dituntut syara` terhadap mukallaf melakukannya sebagai tuntutan yang tidak jazam (tidak putus). Siapa yang melakukannya diberi pahala dan siapa tidak melakukannya tidak berdosa seperti memberi derma bagi mendirikan sekolah agama.
Haram pula ialah apa yang dituntut syara` terhadap orang mukallaf meninggalkannya dengan tuntutan yang putus (pasti). Tuntutan tersebut diberi pahala jika meninggalkannya dan berdosa jika melakukannya seperti minum arak,  berjudi dan mencuri.
Makruh ialah apa yang dituntut syara` dari mukallaf meninggalkannya tuntutan yang tidak jazam (putus). Yang  tidak melakukannya diberi pahala dan yang melakukannya tidak berdosa. Sebagai contoh memakan makanan yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan seperti petai, jeruk bawang putih dan sebagainya.
Manakala Harus, ialah perkara yang syara` memberi pilihan kepada mukallaf antara melakukannya atau meninggalkannya seperti memilih makanan yang halal dan sesuai sebagai sarapan pagi.
Jika dilihat dari kelima-lima hukum di atas jika diikut baik dari segi suruhan, larangan, galakan dan bebas melakukannya melahirkan nilai yang nilai dari semua baik melakukan, meninggalkan atau bebas dari segi pemilihan adalah menghasilkan nilai-nilai yang baik yang dari segi akhlak adalah merupakan akhlak yang baik. Seorang yang menunaikan solat menurut waktu, tidak mencuri, memilih makanan menurut kesukaan adalah merupakan nilai-nilai akhlak yang baik.
Hukum yang melibatkan wajib dan sunat biasanya menggunakan aspek suruh, yang haram dan makruh melibatkan larang dan harus adalah bersifat terbuka.
(Haji Hassan bin Haji Ahmad, Usul al-Fiqh (separuh permulaan) dan Haji Mohd. Saleh bin Haji Ahmad, Al-Qawa`id al-Fiqhiyyah (separuh terakhir), Pustaka Haji Abdul Majid, Taman Ehsan. Kepong, Kuala Lumpur, 1998: 48-76).
Berdasarkan pada kerangka definisi dan ruanglingkup hukum-hukum di atas kita dapat melihat kepada surah dan larangan serta kebebasan pilihan maka ayat dari (17-23) hingga ayat (17.39) merangkumi hukum-hukum dan aturan-aturan yang melibatkan nilai keakhlakan. Secara seturut hukum dari ayat-ayat dapat dilihat sebagaimana berikut:
a)      Wajib
1)      Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah, melainkan kepadaNya semata-mata (17.23).
2)      Hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa, jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu (17.23).
3)      Sempurkanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (17.34).
4)      Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil, yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak) (17.35).
b)      Haram
1)      Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan membazir (burus) secara melampau-lampau. (17. 26).
2)      Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (17.31).
3)      Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (17.32).
4)      Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya, kecuali dengan alasan yang benar. (17.33).
5)      Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim, melainkan dengan cara-cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga ia baligh (dewasa, serta layak menguruskan hartanya dengan sendiri). (17.34).
6)      Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya (17.36).
7)      Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. (17.37).
8)      Dan janganlah engkau jadikan bersama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dalam keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah) (17.39).
c)       Mandub (Sunat)
1)      Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang yang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing (17.26).
2)      Katakanlah kepada mereka (bermuasyarah) kata-kata yang menyenangkan hati (17. 28).
d)      Harus
1)   Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya (17.30)
       e)  Makruh
              1)  Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (kedekut –tangkai jering)          dan janganlah  pula engkau menghulurkan dengan sehabis-habisnya. Kerana akibatnya akan tinggallah  engkau dalam keadaan tercela dan duka. (17.29).
Terdapat banyak lagi ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith yang dapat ditambah bagi hukum-hukum di atas.
Dari hukum-hukum di atas mengawal tindak tanduk umat yang dengan cara itu terbina nilai-nilai dalam masyarakat umat dan nilai-nilai hidup di tengah masyarakat umat yang menyelaras dan mengharmonikan masyarakat umat dengan nilai-nilai tersebut. Dari satu pihak ianya memupuk dan membina akhlak masyarakat umat yang menjadikan hidup mereka teratur, terkawal, harmoni dan bahagia. Dalam kehidupan harian nilai ini sudah menjadi sebati dalam masyarakat dan perlakuan nilai ini tidak perlu kepada berfikir, kerana ianya menjadi nilai budaya masyarakat umat yang sebati dan spontan di dalam kehidupan mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment