November 18, 2015

Masjid Al-Umm Adakan Pertemuan Dengan Pengerusi Surau-Surau Bandar Baru Bangi


BBB,  05 Safar 1437 = 17 November 2015 (Selasa):
Penulis telah menumpukan perhatian kepada tafsir Al-Qur`an, selepas terakhir membicarakan bidang fiqh (12 Syawal 1436 = 28 Julai 2015) sebagai kurikulum bagi pengajian di Masjid Al-Umm. Bidang Al-Qur`an juga adalah sebagai kurikulum, khususnya bagi bidang tafsir di Masjid Al-Umm. Namun kerana asyik terhadap tafsir yang Penulis merasa banyak memberi kefahaman kepada Penulis terhadap kandungan Al-Qur`an, maka penulisan menjadi berlanjutan di dalam bidang ini, sebagai kajian permulaan, maka ianya akan diperbaiki dan ditambahkan kekurangan-kekurangan pada masa akan datang. Dengan umur Penulis yang sudah lanjut, Penulis merasakan merapati diri dengan Al-Qur`an, bukan setakat membaca, tetapi mendalami kandungannya melalui tafsir lebih mesra dan mendekati diri dengan Ilahi.



Tetapi sesudah lebih dari tiga bulan tidak membicarakan tentang perkembangan fizikal Masjid Al-Umm, maka banyak perkara baharu yang wajar dilaporkan sebagai dokumen bagi perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm berkenaan. Pada hari ini pihak Masjid Al-Umm mengadakan Majlis Pertemuan Dengan Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau di Bandar Baru Bangi dan wakil-wakil (termasuk Masjid Al-Hasanah, satu-satunya masjid di Bandar Baru Bangi) dengan beberapa tujuan. Antaranya:
1)      Bagi melaporkan perkembangan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm yang merupakan adalah masjid bagi penduduk Bandar Baru Bangi. Penduduk dapat menunaikan solat Jumaat atau datang berjamaah dan mengikuti pengajian dan apa-apa aktiviti yang diadakan di Masjid Al-Umm, di samping mengikuti pengajian dan berjamaah di Masjid Al-Hasanah yang memang terkenal aktif dan pernah mendapat anugerah pada peringkat negeri kerana keaktifannya. Sesungguhnya maju mundurnya Masjid Al-Umm adalah bergantung kepada kerjasama penduduk bagi datang mengimarahkan masjid. Pihak masjid sudah pastilah memerlukan sokongan surau-surau dan penduduk dari berbagai-bagai segi.



2)      Masjid Al-Umm bercadang untuk mula menggunakan masjid tersebut mulai Jumaat 16 Januari 2016 akan datang. Tidak ada saluran yang paling sesuai bagi meyalurkan maklumat bagi penggunaan masjid ini, melainkan melalui surau-surau yang kini berjumlah 45 buah surau di Bandar Baru Bangi. Lagi pula menurut peraturan JAIS, surau-surau berkenaan akan dibahagi untuk berada di bawah satu-satu masjid untuk melicinkan pengurusan antara Pejabat Agama Daerah (PAID) dengan masjid-masjid dan melalui masjid ke surau-surau. Ini bererti mungkin separuh dari surau-surau berkenaan akan diletak dibawah naungan masjid Al-Umm dan separuh lagi di bawah naungan Masjid Al-Hasanah. Perhubungan rapat antara masjid dengan surau-surau, terutama yang di bawah riayahnya meningkatkan kegiatan, pengurusan dan pengimarahan masjid dan surau-surau berkenaan.
3)      Sebagai Masjid yang baharu yang beberapa masa akan datang akan terus ditadbirkan oleh AJK Pembangunan dan Penimarahan Masjid Al-Umm, sebelum diserahkan kepada pihak JAIS, pihak Masjid Al-Umm amat berharap kerjasama dari pihak surau-surau, juga masjid bagi membantu melicinkan pentadbiran dan pengimarahan Masjid Al-Umm. Misalnya keperluan asas selain dari pentadbiran dan pengurusan, ialah memerlukan pegawai-pegawai masjid bagi menggerak dan menjalankan kegiatan harian seperti perlu kepada imam-imam, bilal-bilal dan siak-siak. Perlu kepada guru-guru yang akan mengisikan slot-slot pengajaran yang diadakan dari yang bersifat harian dan mingguan, bahkan kepada bulanan.
Walaupun pihak masjid untuk masa depan akan melantik imam, bilal dan siak secara tetap. Tetapi bagi peringkat permulaan, pihak masjid akan kenalpasti siapakah yang benar-benar layak untuk diisi bagi jawatan-jawatan berkenaan. Untuk tidak bersifat terburu-buru dan memikirkan juga dari segi faktor kewangan, buat permulaan adalah diharapkan kerjasama pihak surau-surau mengenalpasti siapakah yang berkelayakan mengisi jawatan-jawatan berkenaan. Adalah dilihat satu cara, ialah dengan menjemput imam-imam surau-surau dan bilal-bilal menjadi imam dan bilal secara berjadual dan bergiliran mengisi slot-slot waktu solat termasuk hari Jumaat beserta khatib. Dengan ini dapat dikenalpasti mana-mana imam-imam dan bilal-bilal yang layak dijadikan imam-imam tetap atau imam-imam bergiliran, begitu juga dengan bilal. Andainya tiada yang layak, maka dapat difikirkan secara bersama untuk mencari yang benar-benar layak atau mungkin dipohon dari JAIS untuk melantik imam dan bilal yang tetap, disamping terus mendapat kerjasama dari surau-surau untuk membekalkan imam dan bilal sambilan dan mungkin ada yang terus mau memberi kerjasama secara volunteer. Dengan cara ini kerjasama yang erat antara masjid dan surau-surau akan terus berlangsung. Adapun berhubung dengan siak, kita memang mendapat pertanyaan dari banyak pihak yang mau  memberi tenaga percuma untuk berkhidmat kepada masjid. Kita amat mengalu-ngalukan tawaran secara percuma mereka. Kepada mereka yang berkenaan kita cuba mengadakan pertemuan dan memilih mereka bagi khidmat berkenaan. Sudah tentulah bila mereka berkhidmat, kita akan menghargai mereka dan berusaha untuk memberi kadar imbuhamn bulanan kepada mereka menurut kesesuaian.


Satu lagi kerjasama yang diharap dari surau-surau dan juga masjid, bahawa sebagaimana maklum masjid bukan semata-mata untuk tujuan beribadat dalam erti kata ibadat terhad, tetapi juga adalah menjadi pusat sumber ilmu dan pengajian-pengajian. Pengajian-pengajian akan diadakah selepas solat subuh (secara ringkas), waktu antara maghrib dan Isyak setiap malam dan pengajian pada hari-hari minggu – Sabtu dan Ahad. Masa-masa pengajian akan diisi dengan pengajian-pengajian seperti Al-Qur`an dan tafsir, hadith, aqidah, fiqh, tasawuf, sirah dan bahasa Arab. Kitab-kitab pengajian perlu dikenalpasti dan dipilih bagi semua jenis pengajian berkenaan. Pengajian khusus juga diadakan bagi kelompok muslimat. Bagi mengisi pengajian-pengajian berkenaan memerlukan guru-guru yang berkelayakan bagi keilmuan-keilmuan berkenaan. Surau-surau yang berjumlah 45 buah dan masjid tentulah banyak pengalaman di dalam mengendalikan pengajian-pengajian di surau-surau masing-masing begitu juga dengan masjid. Mereka tentu amat mengenali guru-guru yang berkemahiran dalam keilmuan-keilmuan berkenaan dan dapat menarik pengaji-pengaji dan pendengar-pendengar, lantaran itu di samping Masjid Al-Umm cuba mencari dan mengenalpasti guru-guru yang layak mengisi slot-slot pengajian, maka surau-surau dapat membantu mencadangkan kepada Masjid Al-Umm dari bank maklumat yang ada pada mereka tentang guru-guru berkelayakan berkenaan untuk dijemput sama mengajar di Masjid Al-Umm. Ini memberi kemudahan kepada Masjid Al-Umm mendapat guru-guru yang berkelayakan mengisi slot-slot pengajaran yang ada di masjid Al-Umm.
4.  Dalam suasana sekarang Masjid Al-Umm masih mencari dana bagi meyiapkan pembangunan Masjid Al-Umm dan juga pengimarahannya. Maka dengan kerjasama surau-surau adalah diharapkan dapat sama memberi kerjasama bagi mendapat derma dan sumbangan dari kariah dan ahli jamaah di surau masing-masing bagi mengisi Tabung Masjid Al-Umm yang masih memerlukan derma dari orang ramai.
5. Pihak Masjid Al-Umm juga akan mengadakan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan seperti gotong royong, mengadakan karnival dan sukan dan mengadakan sambutan-sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti sambutan hari-hari raya, maulid al-Rasul, Hijratul Rasul dan sebagainya. Bagi menjayakan sambutan dan memeriahkan sambutan berkenaan, maka penyertaan surau-surau adalah diharapkan bagi kejayaan sambutan-sambutan berkenaan.
Adapun dari segi pentadbiran dan pengurusan seperti jawatan pengurus, kerani, juru teknik, juru letrik, juru komputer,  pustakawan dan pegawai keselamatan, maka jawatan ini akan dibuka untuk dipohon oleh mereka yang berkelayakan. Pihak surau-surau juga boleh membuat cadangan mereka yang layak bagi mengisi jawatan-jawatan berkenaan.
Atas hasrat mau melaporkan perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm, cadangan penggunaan dan pengimarahan Masjid Al-Umm dan mengharapkan kerjasama dari surau-surau, maka majlis pertemuan diadakan pada hari ini. Al-Hamdulillah 50 orang pengerusi-pengerusi surau-surau dan masjid atau wakil-wakil dapat hadir ke Majlis Perjumpaan dan Penerangan Masjid Al-Umm yang berlangsung dari jam 9.30 hingga 12.45 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment