Sebagaimana dari segi aqidah, bahawa umat
Islam berpegang secara keyakinan bahawa Rasulullah adalah bersifat menyampaikan
(tabligh), di samping bersifat sidiq, amanah dan fatanah, maka demikianlah
dengan penyampaian Al-Qur`an, khususnya Surah Al-Nahl yang dibicarakan. Ini
sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Nahl bermaksud:
``Sesungguhnya kami telah mengutus dalam
kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan dia menyeru mereka)
, ``Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut``, maka adalah antara
yang menerima (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi pertunjuk oleh
Allah, dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan, oleh itu mengembaralah kamu
di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang
mendustakan rasul-rasulnya``. (16. 36).
Tamsil ibarat seperti `Madu Lebah` yang
menjadi judul bagi Surah al-Nahl ini, bahawa Islam yang ditawar dan didakwah
kepada mereka adalah ibarat himpunan madu kebaikan yang menjadi penawar kepada
mereka. Firman Allah berhubung dengan `Madu Lebah` ini bermaksud:
``Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah,
``Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung ganang, dan pada pokok-pokok
kayu dan juga pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.Kemudian
makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta
turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya
kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang
berlainan warnanya yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai
penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda yang membuktikan
kemurahan Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir``. (16. 68-69).
Sesungguhnya amat indah bandingan Allah bahawa
binatang seperti lebah yang patuh kepada arahan Allah, memilih di dalam
pencarian sesuatu yang bersih dan murni, menghasilkan hasil yang berkhasiat dan
dapat memberi faedah kepada orang lain. Demikianlah bandingan dengan apa yang
dibawa Rasulullah yang bersifat sidiq, amanah, tabligh dan fatanah dengan apa
yang diutuskan Allah sebenarnya membawa kebenaran, keselamatan dan kebahagiaan
dunia dan akhirat.
Masalahnya, walaupun mereka diberi dakwah dan penerangan
dengan lembut dan bahawa hendaklah patuh pada perintah Allah Yang Esa (16. 22),
tetapi mereka tidak beriman kepada Allah. Ibarat bandingannya mereka tidak
memilih pati madu dari manisan bunga-bunga yang terpilih, mereka memilih dari
sesuatu yang kotor dan memudaratkan. Mereka tidak beriman – tidak memilih kebaikan,
sebagaimana
firman Allah bermaksud.
``Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman
kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada mereka,
dan mereka pula beroleh azab yang tidak berperi sakitnya``. (16. 104). Mereka
yang seperti ini diibaratkan oleh Allah bermaksud:
``Mereka itu orang-orang yang telah
dimeterikan oleh Allah Ta`ala hati mereka dan pendengaran mereka serta
penglihatan mereka, dan merekalah orang-orang yang lalai``. (16.108). Mereka
yang sedemikian ini disifatkan oleh Allah Ta`ala, bermaksud:
``Tidak syak lagi bahawa mereka adalah
orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak (16.109).
Balasan bagi mereka yang sedemikian
sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Oleh itu masukilah pintu-pintu neraka,
tinggal kekallah kamu di dalamnya, maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk
tempat bagi orang yang sumbung takabbur``. (16.29). Mereka menerima hukuman
sedemikian oleh kerana – maksud firman Allah:
``Lantaran mereka kufur, tidak bersyukur akan
nikmat-nikmat yang kami berikan kepada mereka, maka kamu akan mengetahui (keburukan
akan menimpa)``. (16. 55).
Inilah akibat mereka yang mendustakan Nabi
sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan demi sesungguhnya mereka pula telah
didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka
mendustakannya, maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim``.
(16.113).
Sesungguhnya apa yang dibawa oleh Nabi
Muhammad s.a.w. ialah penerusan bagi agama tauhid seperti penerusan agama Hanif
(Islam) yang dipegang oleh Nabi Ibrahim a.s. (16.120).
Allah membandingkan antara pengikut yang betul
dengan pengikut perjalanan yang salah yang kufur sebagaimana maksudnya:
``Dan Allah memberikan satu misalan sebuah
negeri yang aman damai dan tenteram yang didatangi rezekinya yang mewah
daripada tiap-tiap tempat. Kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah
itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi
keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan (16. 112). Tindakan
sedemikian sudah tentulah menimbulkan kekesalan. Hukuman kepada mereka yang
pernah beriman dan kufur tentulah lebih berat dari mereka yang masih belum
beriman.
Pendekatan secara lembut di dalam menyampaikan
dakwah kepada yang bukan Islam, bahkan yang Islam tetapi ingkar adalah
pendekatan yang baik. Pendekatan sedemikian memerlukan seorang pendakwah, bukan
saja mengetahui kaedah-kaedah berdakwah, tetapi seharusnya mempunyai
kefahaman dari segi psikologi,
mengetahui latar mereka yang hendak disampaikan dakwah. Menyebut sesuatu yang
lebih dekat kepada kefahaman mereka. Lebih bersifat menerangkan dari melarang
dan menghukum. Kerja mendakwah hendaklah secara ikhlas dan keikhlasan terpancar
dari segi percakapan, cara bermuamalah dan berkomunikasi dengan mereka. Lebih
dari itu perlu ada pada diri pendakwah rasa kemanusiaan yang tinggi yang bukan
dibuat-buat. Dengan adanya rasa kemanusiaan yang tinggi dan dapat dirasa oleh
mereka yang disampaikan dakwah nescaya mendapat respond yang baik, lantaran
adanya elemen kasih sayang yang dapat menjalinkan hubungan yang mesra dan
membuka ruang bagi hubungan selanjutnya.
``Sesungguhnya kelembutan adalah daya tarik
yang merapatkan berbanding dengan kekerasan yang bersifat keras-panas dan
merenggangkan.``
Sekian.
No comments:
Post a Comment