Selain dari dakwah menggunakan elemen estetik
yang menyentuh perasaan khalayak seperti kegerunan sebagai balasan mereka yang
ingkar dan melakukan tabiat yang keji seperti yang dilakukan oleh Kaum Hijr,
Al-Aykah dan Kaum Lut, juga menggunakan kaedah yang mengkagum, dan mempesonakan
pandangan indera mata khalayak seperti gambaran terhadap pandangan angkasa
dengan bulan, planet dan bintang-bintang pada waktu malam, maka terdapat kaedah
dakwah yang kita namakan `Tahap Tinggi`.
Dakwah pada tahap tinggi ini ialah dakwah yang
ditujukan kepada minda khalayak dengan menggunakan contoh-contoh yang menggugah
dan mencabar fikiran khalayak yang khalayak berkenaan adalah mereka yang
berilmu dan berfikir. Ini adalah bersesuaian dengan tahap-tahap yang ada di
dalam masyarakat. Ada yang bertahap biasa, ada yang berjiwa seni dan ada yang
bersifat kritis dan gemar berbahas atau melihat sesuatu secara rasional. Fokus
kepada khalayak secara berfikir dan bersifat rasional ini, bukan sesuatu yang
luar dari skop dan fokus Al-Qur`an, lantaran begitu banyak sekali ayat-ayat
Al-Qur`an yang dituju kepada khalayak agar menggunakan akal dan fikiran.
Istilah-iatilah yang merujuk kepada akal ini juga banyak, misalnya akal, fikir,
milihat (tubsirun), memerhati (tanzurun), mengetahui (ta`lamun) mempunyai lubb
dan berbagai lagi. Contoh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan pada diri kamu sendiri, apakah kamu
tidak melihatnya ? (tubsirun) -
(Al-Dhariyat: 21)
Melihat di sini bukan setakat bentuk fizikal
luaran, tetapi dari segi komplektisiti kejadian diri yang menjana hidup,
wujudnya organ-organ dan lebih kompleks lagi wujudnya elemen, hati, akal, jiwa
dan interaksi diri manusia dengan Pencipta, alam, masyarakat dan alam
kelilingnya.
Juga ayat yang bermaksud:
``Dia (Allah) menggerakkan angin dan awan
hitam yang bergerak antara langit dan bumi adalah tanda-tanda bagi kaum yang
berakal (Al-Baqarah: 164).
Iaitu fenomena cuaca yang dialami dari panas
dan hujan, siang dan malam yang merupakan proses kehidupan di bumi.
Juga ayat yang bermaksud;
``Allah yang mengambil dan memisahkan sesuatu
jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya, semasa matinya dan jiwa
orang yang tidak mati dalam masa tidurnya, kemudian ia menahan jiwa orang yang
ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga
sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.`` (Al-Zumar:
42).
Sesungguhnya soal nyawa, roh, jiwa, hidup dan
mati ialah mistri bagi bagi manusia dan kagum dengan ciptaan Allah.
Demikianlah manusia diberi keistimewaan
berakal dan berfikir. Sebagaimana firman
Allah bermaksud:
``Sesungguhnya kami muliakan anak Adam, mereka
bergerak (dengan kenderaan) di darat dan dilaut, Kami memberikan mereka rezeki
yang baik-baik dan Kami memberi kelebihan kepada mereka berbanding dengan makhluk yang lain yang Kami ciptakan.``
(Al-Isra`: 70).
Di dalam Surah Al-Hijr ada ayat-ayat yang
ditujukan kepada kefahaman minda yang menuntut khalayaknya berfikir tentang
persoalan yang diutarakan. Sebagaimana disebutkan ada ayat-ayat yang bertindih
dari segi penekanan persoalan misalnya ada yang menuntut secara inderawi –
contoh menuntut penglihatan seperti ayat yang telah dibicatrakan, misalnya ayat
tentang cakerawala. Selain dari dihayati keindahannya secara penglihatan mata
contoh (15.16), maka fenomena cakerawala di langit itu juga menuntut khalayak
berfikir tentang kejadian Allah itu. Begitu juga ayat tentang bumi terhampar
yang dipaksikan dengan gunung ganang dan bukit bukau serta turunnya hujan,
mengalirnya sungai dan suburnya tumbuh-tumbuhan yang menjadi rezeki kepada
manusia dan hidup-hidupan yang lain, juga ayat ini menuntut penggunaan fikiran
tentang ciptaan Allah yang memberi rahmat kepada manusia dengan mendapat rezeki
dari tumbuh-tumbuhan yang subur di permukaan bumi (15.19). Begitu juga proses
menurunkan hujan, mendebunga dan soal menghidup dan mematikan, juga tentang
kejadian langit dan bumi (15.22, 23, 55) juga menuntut kepada pemikiran tentang
semua kejadian Allah tersebut.
Satu dari contoh persoalan yang memerlukan
kefahaman minda ialah ayat-ayat Al-Qur`an tentang hakikat ciptaan manusia sebagaimana
terdapat di dalam Surah Al-Hijr di samping terdapat pada tempat-tempat yang
lain tentang kejadian manusia. Misalnya di dalam Surah Al-`Alaq (Al-`Alaq).
Ayat yang bermaksud:
``Allah menciptakan manusia dari sebuku darah
(Al-`Alkaq: 2).
dan ayat yang bermaksud:
``Dia (Allah) yang menciptakan tiap-tiap
sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakannya kejadian manusia daripada tanah.
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati (iaitu) dari air
( benih) yang sedikit dipandang orang. Kemudian Ia menyempurnakan kejadian
serta meniupkan padanya roh ciptaanNYa. Dan Ia mengurnikan kepada kamu
pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur
tapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.`` (Al-Sajadah: 7-9).
Beberapa ayat lagi mengenai kejadian manusia
seperti di dalam Surah (Al-Mu`minun: 12-14), Surah (Al-Hajj:5), Surah
(Al-Mursalat: 20-23) dan beberapa tempat yang lain.
Di dalam Surah Al-Hijr ayat membicarakan
tentang kejadian manusia ialah sebagai ayat bermaksud:
``Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan
manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang
berubah warna dan baunya``. (15.26-29 ).
Demikian sebagai satu contoh dari banyak ayat
menuntut kefahaman secara akli tentang kejadian manusia yang disebut beberapa
proses misalnya tahap-tahap perkembangannya setelah benih manusia berada di
dalam rahim ibu, konsep kejadiannya dari pati tanah, tanah liat yang kering
yang bagi memahaminya perlu kepada penghuraian dari mereka yang pakar.
Antaranya dihuraikan secara ilmuiah oleh Dr. Maurice Bucaille dalam, bukunya
yang berjudul `What Is The Origin Of Man ? The Answers of Science and the Holy
Scriptures dan tulisan-tulisan ilmiah yang lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment