Tapak bagi masjid untuk Bandar Baru Bangi
telah tersedia bersama pelan dan Pembangunan Bandar Baru Bangi sejak bandar itu
dimulakan pembangunan mulai tahun 1975 lagi. Pendudukan awal di Bandar Baru
Bangi ialah pada akhir November 1977 berikutan dari perpindahan kampus UKM dari
Jalan Pantai Baru, Lembah Pantai Kuala Lumpur pada November berkenaan secara berperingkat. Tidak
timbul keperluan kepada masjid di Bandar Baru Bangi, kerana penduduk yang
berpindah pada peringkat awal hanya ratusan (Pada peringkat awal mereka
berjamaah dari rumah ke rumah secara usrah). Pada peringkat awal perpindahan ini
warga kampus UKM dan penduduk BBB kebanyakannya menunaikan solat Jumaat di Masjid
Jami`, Kajang. Bagi mengadakan solat Jumaat di UKM pada permulaan diadakan di Foyer di hadapan Pejabat Pentadbiran,
kemudian berpindah di Dataran FSKK dan kemudian agak lama menggunakan ruang
bahagian bawah Perpustakaan Tun Seri Lanang yang perpustakaan ini mula
digunakan pada 19 Sya`ban 1400 bersamaan 2 Julai 1980. Warga kampus dan
penduduk Bandar Baru Bangi menumpang solat Jumaat di Kampus UKM. Untuk bersolat
berjamaah di atas usaha Persatuan Kebajikan Penduduk Bandar Baru Bangi
dipengerusikan oleh En. Omar Jaafar berjaya mendapat keizinan menggunakan rumah
semi-D beralamat No. 6 Jalan 1/3G, 43650 Bandar Baru Bangi yang tarikh mula
menggunakannya ialah mulai 1 Ramadhan bagi tahun 1978. Jadi pada masa itu,
walaupun sudah disedari ada tapak masjid di Seksyen Satu di Bandar Baru Bangi,
tapi dirasakan masih tidak perlu kepada mendirikan Masjid, apa lagi bila Masjid
UKM yang mula dibina pada 16 Mac 1979 dan siap serta mula digunakan pada 16
April 1982 juga adalah sebagai masjid bagi penduduk Bandar Baru Bangi.
Namun pada awal 1980an timbul hasrat AJK Surau
Al-Umm Bandar Baru Bangi untuk mendirikan surau di atas tapak masjid yang
seluas 2 ekar itu, tetapi hasrat ini terpendam begitu sahaja. Tetapi hasrat ini
timbul kembali, iaitu usaha untuk mendirikan surau sahaja di atas tapak Masjid
Al-Umm kini dan mendapat kelulusan JAIS (Surat JAIS (2) dlm. JAIS Sel. 9189
3/5/10 bertarikh 30 Ogos 1996 dan mendapat keizinan dari PKNS dengan syarat
pihak AJK Surau Al-Umm hendaklah menyerahkan kembali rumah semi – D, yang
dibenar dijadikan surau sementara itu. Pihak AJK Surau Al-Umm selepas mendapat
keizinan mendirikan surau pernah merubah keputusan untuk mendirikan Masjid pada
tapak Masjid Al-Umm dan pihak JAIS tidak berhalangan. Namun hasrat ini lenyap
kembali apabila pembangunan pusat komersil dan pentadbiran dibangunkan pada
Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dengan menyertakan sama pembinaan sebuah
masjid di atas kawasan pembangunan
tersebut di atas tapak seluas 5 ekar. Masjid mula dibina pada tahun 1999 dan
dirasmikan pembukaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Ibn Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 4
Zulhijjah 1420 bersamaan 10 Mac 2000. Maka dengan itu hasrat untuk mendirikan
masjid di tapak yang sedia diperuntukkan terhenti dan tumpuan penduduk Bandar
Baru Bangi berjumaat dan bersoalat fardu dan hari-hari perayaan di masjid baru
yang diberi nama dengan Masjid Al-Hasanah. Demikianlah faktor-faktor yang
melengah, bahkan menghentikan usaha bagi mendirikan surau/masjid di tapak sedia
ada sejak pembukaan Bandar Baru Bangi.
Namun di samping faktor-faktor yang
merencatkan usaha bagi mendirikan masjid di tapak didirikan Masjid Al-Umm sekarang,
di sana ada faktor-faktor yang menimbulkan usaha bagi mendirikan Masjid Al-Umm.
Faktor-faktor tersebut ialah:
1. Pertambahan Penduduk
Berlakunya pertambahan penduduk dengan pesat. Bandar Baru Bangi yang dulunya tidak menjadi pilihan
penduduk, tetapi sejak KLIA di buka pada pertengahan 1990an, Bandar Baru Bangi
dilihat sebagai strategik kerana berada di antara KLIA, Seremban dan Kuala
Lumpur. Bandar Baru Bangi dilihat lebih strategik apabila Ibu Negera, Putera
Jaya mulai dibuka 2001. Maka makin ramai memilih Bangi sebagai tempat kediaman
dan serentak dengan itu hartanah di Bangi melonjak harganya hingga meningkat
kepada 10 kali ganda dari harga asal. Penduduk Bandar Baru Bangi meningkat
padat kepada jumlah lebih dari 100,00 penduduk mulai 2005.
2. Sebuah Masjid Tidak Mencukupi
Dengan pertambahan penduduk adalah didapati
dengan sebuah masjid sahaja tidak dapat menampung pertambahan penduduk secara
mendadak. Di Bandar Baru Bangi sahaja, kedapatanm 10 buah surau yang memohon
mendirikan Jumaat, kerana tidak mencukupi tempat berjumaat dengan hanya sebuah
masjid. Semua permohonan surau-surau berkenaan diluluskan. (Pada masa itu
Penulis adalah sebagai ADUN Bangi, Semua permohonan untuk mendirikan masjid dan
surau adalah melalui ADUN, termasuk untuk meningkatkan surau kepada mendirikan
Jumaat).
3. Sudah Tidak Ada Tanah Luas Di Bandar Baru Bangi
Adalah disedari bahawa di Bandar Baru Bangi
tidak ada lagi tapak seluas untuk mendirikan masjid seperti yang ada, maka jika
tapak yang disediakan untuk pembinaan masjid di Seksyen Satu, Jalan ¼ itu tidak
digunakan, maka tidak ada tapak untuk pembinaan masjid di Bandar Baru Bangi,
sebab itu tapak yang disediakan perlu digunakan, lagi pula tanah bagi tapak
masjid ini belum digezetkan, sebab itu kalau tidak digunakan, maka ianya boleh
diubah kepada penggunaan yang lain
4. Masjid Pemangkin Bagi Bangi Bandar Ilmu
Pada akhir Julai (30 Julai – 01 September
2007) Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi menyambut usia 30 tahun (tiga dekad)
usia Bandar Baru Bangi. Penulis yang dilantik sebagai Pengarah Sambutan 30
tahun Bandar Baru Bangi telah mewar-warkan (termasuk dalam buku acara sambutan)
hasrat menjadikan Bangi Bandar Ilmu. Bersama dengan slogan ini dilihat
mendirikan Masjid Al-Umm adalah sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu.
5. Merealisasikan Hasrat Mendirikan Masjid Al-Umm
Hasrat mendirikan Masjid Al-Umm adalah salah
satu projek yang berperanan menyemarakkan Bandar Baru Bangi. Bila Penulis
menjadi ADUN Bagi mulai Mac 2008, maka salah satu perancangan ialah mendirikan
masjid pada tapak yang sedia ada. Permohonan dibuat melalui Surau al-Umm
kebenaran mendirikan masjid. Kelulusan tapak diwartakan oleh YAB Dato` Menteri
Besar melalui Pejabat Tanah ditujukan kepada JAIS Bil.PTD.UL.16/3/194-2006(9)
bertarikh 1 Sept. 2009. Kemudian permohonan kepada JAIS dengan jawapan tiada
halangan didirikan masjid Surat. JAIS Bil.(16) dlm. JAL.SEL.BKP/03/016/5/22
bertarikh 17 November 2009. (Sebelum daripada iaitu pada 22 Jun 2008 YAB Dato`
Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim mengisytiharkan Bandar
Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu, di KUIS, Bandar Seri Putera, Bangi).
Berikut dari kelulusan itu ADUN Bangi
memanggil Mesyuarat bagi melantik AJK Pembinaan Masjid diadakan di Surau Al-Umm
pada 4 Februari 2010 (Khamis malam Jumaat). 30 orang wakil-wakil surau hadir.
Mesyuarat AJK melantik AJK Pembinaan dengan Penulis sebagai ADUN adalah
Pengerusi AJK, Tuan Haji Hussin Yunos Setiausaha dan Tuan Haji Mohd Nor Yasin
sebagai Bendahari dengan sejumlah AJK. Harga pembinaan masjid pada masa itu
ditetapkan RM10 juta. Berikut dari itu Majlis Pelancaran Derma diadakan di
Dataran Pakir hadapan tapak masjid pada Sabtu 19 Mei, 2012 yang dilancarkan oleh ADUN
Bangi dengan koleksi awal sejumlah RM150,000 dapat dipungut. Berikut dari itu
Lawatan Kerja ke tapak Masjid Al-Umm dilakukan oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor
pada 6 Januari 2013. Pada 30 Safar 1435 bersamaan 2 Januari 2014 upacara
menetapkan Qiblat dilakukan oleh Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku
Penaung dan Penasihat kepada AJK Pembinaan Masjid Al-Umm.
Dengan itu pembinaan berjalan bermula dari masuk
Tapak pada 10.12.2013. Pembangunan berterusan hingga kini yang dijangka akan
siap pada akhir November 2015 ini – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment