November 16, 2015

Khidhir Tokoh Legenda Islam ?


BBB, 03 Safar 1437 = 15 November 2015 (Ahad):


Sebagaimana disebutkan bahawa di dalam Surah Al-Kahfi terdapat dua bahagian bagi dua kisah utama, iaitu Kisah Ashab al-Kahfi (18. 1-59) dan Kisah berkenaan dengan Khidhir (18.60-110). Permulaan bagi kisah ini  (Khidhir tidak disebut secara langsung) di dalam Al-Qur`an sebagaimana maksud berikut:
``Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Musa berkata kepada temannya, ``Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu, lalu aku berjalan terus bertahun-tahun. (18. 60).
Menurut catatan Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian Al-Qur`an, sebagaimana yang dipetik dari Hadith Bukhari, bahawa semasa Nabi Musa berucap kepada kaumnya, seorang dari khalayak pendengarnya bertanya, ``Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada Tuan ?`` Nabi Musa menjawab, ``Tidak ada``. Jawapan Nabi Musa sedemikian ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala, kerana ia tidak mengembalikan soal ilmu itu  kepadaNya dan diterangkan bahawa, ``Ada seorang `hambaKu` yang lebih ilmu daripadamu,`` dan bahawa orang itu dapat ditemui di tepi pantai, berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut, kemudian diperintahkan supaya ia membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul, dan manakala ikan itu hidup semula dan masuk ke laut, maka disitulah tempat pertemuan itu.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diselenggarakan oleh Abdullah Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, 1985: 599).
Menurut keterangan Al-Qur`an Nabi Musa berjalan bersama temannya – Yusha` bin Nun ke tempat di tepi pantai yang dijangka adalah ditepi Laut Merah – Cabang Laut Merah, iaitu Teluk `Aqabah dan Teluk Suiz. Seterusnya ayat Al-Qur`an menerangkan yang bermaksud:
``Maka apabila mereka berdua sampai di tempat pertemuan dua laut itu lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur mengikut jalannya dilaut, yang merupakan saliran di bawah tanah``. (18. 61).
Selepas mereka berdua terjaga dari tidur di satu batu besar, mereka meneruskan perjalanan, sedang mereka lupa akan ikan yang mereka bawa. Apabila mereka lapar, mereka baru teringat kepada bekalan (ikan ) yang dibawa, tetapi ikan berkenaan telah masuk ke laut, ini mengingati mereka pertanda bahawa, itulah tempat pertemuan yang seharusanya berlaku, lalu mereka mengesan kembali ke  tempat persinggahan bermalam itu.
Ayat Al-Qur`an seterusnya menerangkan bermaksud:
``Lalu mereka berdua dapati seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan rahmat dari Kami, dan Kami mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami``. (18. 65).
Siapakah sebenarnya `Seorang Hamba` dari hamba-hamba Allah yang dikurnia `Ilmu Ladunni` yang Nabi Musa berusaha mencarinya bagi menemuinya untuk mempelajari ilmu kurniaan Allah darinya itu ?
Al-Qur`an tidak menyebut secara spesifik tentang `Hamba dikurniai Ilmu Ladunni`, iaitu ilmu dikurniai Allah dengan cara ilham.
Siapakah sebenarnya Hamba Allah yang dikurniai `Ilmu Ladunni` ini ? Dia disetujui jumhur ulama sebagai `Khidhir.
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, 1985: 600).
Tetapi ada beberapa pendapat mengenai Khidhir ini, lantaran ia mempunyai watak yang anih.  Apakah ia wali ?, Nabi ? atau Malaikat ?
Ibn Kathir dan Imam Nawawi tidak bersetuju untuk mengatakan yang Khidhir adalah seorang Malaikat, namun Maududi agak berlainan pendapat dengan mengatakan Khidhir adalah malaikat.
Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, Nabi Khidhir: Antara Fakta Dan Khayalan, Terjemahan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman, PTN Publications Sdn. Bhd. Subang, 2010: 18).
Abu al-Qasim al-Qushairi di dalam kitab Al-Risalah Al-Qushayriyyahnya berpendapat, bahawa Khidhir, bukan seorang Nabi, tetapi adalah seorang wali.
Imam Nawawi berpendapat bahawa pendapat yang paling kukuh bahawa Khidhir adalah seorang Nabi. Pendapat ini adalah merupakan pendapat jumhur `ulama`.
(Nabi Khidhir, Leginda: Antara Fakta Dan Khayalan, 2010 28), juga (Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, 1985: 600).
Memandangkan dengan watak unggulnya, adakah sesuai Nabi Khidhir dikatakan sebagai legenda Islam ?
Di dalam warisan sastera berbagai bangsa dan bahasa, terdapat tokoh-tokoh sanjungan rakyat yang menjadi pujaan, pujian dan inspirasi bagi rakyat berkenaan. Legenda ini kebiasaannya berkaitan dengan tokoh yang  memang wujud di dalam sejarah dan warisan bagi sesuatu bangsa atau bahasa, tetapi pada kewujudan fakta berkenaan ditokok tambah dan dibesar-besarkan tentang kewiraan, pemurah dan sikap menolong orang dan sebagainya. Sebagai contoh di dalam budaya mesyarakat Arab, wujudnya tokoh yang terkenal sebagai watak yang baik, pemurah, suka menolong orang dan menghormati tamu, iaitu watak `Hatim al-Ta`i. Watak ini dimegahi oleh masyarakat Arab, bahkan kesan dari watak ini, orang Arab terkenal sebagai masyarakat yang menghormati tamu. Dalam masyarakat Melayu, terdapat watak wira yang dikenali dengan `Hang Tuah`. Watak ini pada asalnya memang wujud (di samping ada yang menafikannya), tetapi watak ini ditambah dan dilegendakan dengan berbagai-bagai sifat kewiraan yang kadang-kadang melebihi dari watak manusia biasa, bahkan begitu panjang umurnya. Tetapi sebagai ciri budaya bangsa, setiap masyarakat mengharapkan wujudnya watak-watak unggul yang menjadi pujaan dan inspirasi mereka.
Nabi Khidhir adalah watak manusia alim yang menerima ilmu ladunni dari Allah Ta`ala, bersifat suka menolong orang dan membantu mereka yang susah dan mungkin muncul secara tiba-tiba bagi sesuatu peristiwa untuk memberi pertolongan dan bantuan. Watak ini berada pada sepanjang zaman dan dikaitkan dengan zaman nabi-nabi dan rasul-rasul tertentu. Antaranya turut dibincangkan tentang kepanjangan umurnya. Mengatakan Nabi Khidhir sebagai legenda Islam, dibimbangi bahawa sebahagian dari perwatakannya dianggap sebagai tambahan dan diada-adakan, tetapi watak Khdhir wujud dan adalah sebagai watak unggul di dalam Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment