November 22, 2015

Taklimat Penggunaan Masjid Al-Umm


BBB, 09 Safar 1437 = 21 November 2015 (Sabtu):


Sebagaimana telah disebut, bahawa rancangan memulakan penggunaan Masjid telah dua kali tertangguh. Cadangan penggunaan masjid Al-Umm, insya Allah akan bermula pada pertengahan Januari 2016. Iaitu pada Jumaat 05 Rabiul Akhir 1437 bersamaan  15 Januari 2016. Penulis diminta membentangkan program bagi kegiatan permulaan ini sebagaimana berikut:
Dari segi pengimarahan Masjid Al-Umm ada rancangan yang dapat dinamakan:
1)      Rancangan Permulaan
2)      Rancangan Jangka Sederhana
3)      Rancangan Jangka Panjang
Rancangan Permulaan
Rancangan yang dibincangkan ini adalah `Rancangan Peringkat Permulaan`. Sebagaimana telah disebutkan bahawa Masjid Al-Umm akan mula digunakan pada Jumaat 15 Januari 2015 yang program secara ringkas dan sederhana telah disusun, iaitu bermula pada 15 Januari 2015 dengan solat Jumaat yang Khatib dan Imam bagi kali pertama ini ialah Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm diikuti pada sebelah petangnya ialah Solat Maghrib, ucapan oleh Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Ybhg. Dr. Shafie Abu Bakar dikuti dengan ceramah disampaikan oleh  Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, diikuti dengan jamuan dan bersurai.
Maksud Dengan Rancangan Permulaan
Bukan semata-mata program permulaan bagi solat Jumaat permulaan, tetapi permulaan di sini juga bermakna program jangka pendek. Ini perlu kepada persediaan-persediaan berikut (termasuk bagi hari permulaan penggunaan).
1.       Kesediaan tempat
2.       Tenaga Pengurusan
3.       Kakitangan Pegawai-Pegawai Masjid
4.       Juru Teknik, Letrik dan Keselamatan
5.       Pengisian Pengajian.
6.       Kegiatan Muslimat
7.       Kewangan

1.       Kesediaan Tempat
Amat penting. Pembinaan kini sudah sampai kepada 92% siap. Untuk memulakan penggunaan tidak semestinya menunggu hingga 100% siap. Kini yang ketara belum siap ialah penyambungan tenaga letrik secara lengkap. Tanpanya air-cond. tidak dapat dipasang, keperluan letrik tidak dapat disediakan dengan lengkap. Namun secara basic sudah wujud, termasuklah air. Kawasan luar belum siap sepenuhnya. Pagar belum siap, jalan masih belum disempurnakan. Begitu juga dari segi pondok pengawal. Untuk kawasan parkir tiada masalah, walaupun tidak mencukupi secara sempurna.
Bagi cadangan menggunakan Masjid Al-Umm pihak AJK Pembangunan dan Pengimarahan hendaklah berusaha, walaupun pada peringkat awal tidak wujud air-cond. , tapi cukup dengan menggunakan pembesar suara sementara. Pihak AJK perlu memaklumkan kepada JAIS cadangan penggunaan tersebut. Andainya solat Jumaat masih belum dapat digunakan, maka wajarnya ianya bermula dengan solat-solat waktu bagi mengujikan kelengkapan dan daripadanya ditingkatkan.
2.       Tenaga Pengurusan
Bagi keperluan tadbir tiada masalah, AJK Pembangunan dan Pengimarahan seharusnya meneruskan tugas-tugas mereka. Kalau selama ini mereka telah berjaya mewujudkan bangunan Masjid Al-Umm, tidak menjadi masalah mereka teruskan tugas-tugas mereka yang sebenar sedang dilaksanakan dengan baik. Mereka seharusnya bukan semata-mata mendirikan bangunan, tetapi yang paling penting ialah melaksanakan visi dan misi mendirikan Masjid Al-Umm, lantaran itu mereka perlu memulakan ke arah melaksanakan misi dan visi tersebut agar  dapat diteruskan oleh generasi penerus berikutnya.
Keperluan kepada pengurusan boleh dilaksanakan melalui tugas Setiausaha dan Setiausaha Kerja yang bertindak sebagai kerani. Tugas-tugas lain yang tidak perlu kepada `segera` boleh dibantu oleh AJK-AJK yang lain.
3.       Kakitangan Dan Pegawai-Pegawai Masjid
Bermaksud pegawai-pegawai seperti imam, bilal dan siak. Pegawai-pegawai berkenaan tidak perlu dilantik segera. Cadangan telah diminta dari Pengerusi-Pengerusi Surau dan Pihak Masjid Al-Hasanah menunjuk dan mencadangkan mereka yang berkelayakan. Mereka yang bersetuju menjadi imam dan bilal dilantik secara giliran yang diatur. Untuk melantik Imam secara rasmi pihak Masjid boleh memohon peruntukan tetap bagi imam dari pihak JAKIM dan Kerajaan negara sebagaimana peruntukan ini didapati oleh masjid-masjid. Adapun dari segi siak ramai yang telah menawarkan diri untuk menjadi siak secara sukarela. Dari mereka yang menawarkan diri ini boleh dipilih dan imbuhan selayaknya akan diperuntukkan kepada mereka. Dalam masa berjalannya kegiatan di masjid ini bolehlah dipilih bagi yang layak dan bersedia untuk menjadi imam dan bilal secara tetap.
4.       Juru teknik, Letrik dan Keselamatan
Ketiga-tiga tugas ini penting dan perlu dilantik tenaga-tanaga berkelayakan secara sementara. Juru teknik dan letrik boleh disatukan. Bagi tugas-tugas ini perlu dilantik dua orang bagi menjalankan kedua-dua tugas berkenaan. Manakala bagi pegawai keselamatan juga perlu kepada sekurang-kurang dua orang pegawai keselamatan. Keselamatan umum harus sama dipertanggungjawab kepada pegawai-pegawai yang sama bertugas di masjid.
5.       Pengisian Pengajian
Amat penting. Buat permulaan pengajian diadakan selepas solat Subuh (ringkas). Pengajian selepas solat Maghrib hingga Isya`. Pengajian pada hari Sabtu dan Ahad. Pihak AJK Pentadbiran dan Pengimarahan telah menghantar borang bagi Pengerusi Surau-Surau mencadangkan bukan saja imam dan bilal, tetapi juga guru-guru yang berpengalaman mengajar dan berwibawa dan menarik untuk mengajar di Masjid Al-Umm dalam berbagai-bagai bidang keilmuan, di samping AJK sendiri mencari guru-guru berkenaan. Setelah nama-nama cadangan diterima dan didapati, satu pertemuan –interview dengan mereka bagi memilih mereka yang berkelayakan akan diadakan dalam masa terdekat.
Semua perkara ini telah dicadangkan di dalam kertaskerja bertajuk, Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan, yang dibentangkan oleh Penulis pada 26 Zulkaedah 1435 bersamaan 21 September 2014 di Hotel Pujangga UKM. Di dalamnya dicadangkan bidang-bidang keilmuan yang dicadangkan diajar di Masjid Al-Umm seperti:
Al-Qur`an dan Tajwid, Aqidah, Fiqh, Tafsir, Hadith, Tasawuf, Sirah, Ekonomi Islam, Bahasa-Bahasa dan lain-lain. Kitab-kitab yang patut digunakan dan kurikulumnya juga dicadangkan. Bila tenaga-tenaga guru-guru didapati akan disesuaikan dengan keilmuan dan kurikulum yang dicadangkan. Disamping keilmuan di atas juga diadakan bengkel, seminar, konvensyen dan ceramah juga diadakan menurut kesesuaian masa dan wujudnya tenaga-tenaga berkaitan (Dalam kertas kerja tersebut dicadangkan pengajian pada peringkat sederhana dan  jangka panjang).
6.       Kegiatan Muslimat
Pihak AJK mengenalpasti tenaga-tenaga muslimat yang diharapkan dapat membantu mengendalikan kegiatan-kegiatan muslimat dari segi pengajian dan kegiatan-kegiatan yang lain. Muslimat-muslimat berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk berbincang bagi menggerakan berbagai-bagai kegiatan yang berhubung dengan muslimat
7.       Kewangan
Adalah dianggarkan Masjid Al-Umm memerlukan tidak kurang dari RM40,000 sebulan untuk perbelanjaan contoh:
Kerani                                              RM2,500
2 Jaga  RM2,500x2                        RM5,000
Juru teknik & letrik RM2,500x2=RM5,000
Elaun Imam-Imam jemputan       RM7,500
Guru-guru/Penceramah-pen.       RM7,500
Letrik dan air                                  RM12,500
Sumber kewangan:
Sewa Dewan sebulan         RM 25,000
Derma mingguan                  RM20,000
Dan dari berbagai punca yang lain.
Bagi selanjutnya kegiatan akan bertambah dan keperluan peruntukan juga akan bertambah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment