November 29, 2015

Falsafah Nombor Dalam Pembinaan Masjid Al-Umm


BBB, 16 Safar 1437 = 28 November 2015 (Sabtu):
Adalah menjadi lumrah kehidupan bahawa kita berdepan dan sering menggunakan angka-angka seperti menghitung hari, minggu dan bulan. Mengira hasil-hasil dapatan dan mengeluarkan sejumlah pendapatan bagi perbelanjaan. Penggunaan angka lebih lumrah di dalam pembinaan, lantaran ianya melibatkan ukuran dan jumlah unit yang digunakan. Pandanglah sebuah masjid, berapa banyak keperluan ukuran dan pengiraan yang digunakan bagi menyiapkan bangunan masjid tersebut.
Berhubung dengan nombor atau angka ada falsafah dan budaya berhubung dengan angka-angka, termasuklah dari `Pandangan Wujud` Islam yang dapat diaplikasikan kepada pembinaan Masjid Al-Umm.


Sebagaimana dimaklum, bahawa prinsip Islam yang paling utama ialah `Falsafah Tauhid`. Segala pengolahan berhubung dengan Islam adalah bertolak dari falsafah `Tauhid`. Bahkan diungkapkan bahawa kerana Allah tunggal, maka Dia sukakan yang bersifat gasal.
Membicarakan tentang pembinaan Masjid Al-Umm, antaranya dapat dilihat dari `Falsafah Nombor`.
Falsafah nombor bagi Masjid Al-Umm, ialah senibina yang berasaskan `Tauhid`, iaitu baik dilihat dari segi objek seperti `Satu Kubah` yang  `Satu` sebagai melambangkan sifat Ketunggalan Allah. Atau dilihat dari segi perlambangan, sebagaimana dibicarakan bahawa bentuk bulat adalah bentuk sempurna yang melambangkan bahawa Allah adalah Yang Maha Sempurna, atau dilihat dari satu perlapisan lambang yang lain bahawa baik kubah atau menara mempunyai `Arah Tunjuk` ke atas kepada ruang tertinggi yang melambangkan perjalanan kualiti diri dalam memi`raj diri kepada Ilahi.
Falsafah angka dapat dirujuk kepada jumlah sesuatu item bagi sesuatu bangunan. Misal dilihat kepada menara, selain daripada ianya bersifat dua besamaan sebelah menyebelah, dilihat juga dari segi jumah `Tiga` dicampur dengan satu kubah menjadikannya jumlah gasal – tiga,  tidak genap. Dilihat kepada lengkung sebelah menyebelah mihrab, maka ianya tiga sebelah kanan dan tiga di sebelah kiri, begitu juga dengan melihat kepada lengkung tingkap berhias geometrik design sama ada sebelah kanan atau sebelah kiri, maka jumlahnya juga adalah lima. Demikian juga dilihat bahagian sisi kanan masjid bersebelahan pintu gerbang kecil konsep lengkung banyak digunakan dari jumlah 4+4+4+3, keadaan yang sama bagi sebelah kiri.
Jika dilihat dari bahagian hadapan bagi pintu masuk kepada gerbang utama, maka didapati bentuk lengkung digunakan satu pada kiri dan satu pada kanan dan pada bahagian belakang bagi pintu gerbang utama ialah lima lengkung yang memanjang ke bawah. Masuk ke dalam bangunan, maka bentuk lengkung digunakan pada dinding pada sebelah mihrab  dua sebelah menyebelah + 1 dengan ruang mihrab, manakala pada bahagian keliling kubah terdapat 6 x 3 tingkap kecil bagi dimasuki cahaya matahari.
Selain dari konsep gasal, pengaruh bilangan melibatkan jumlah 4 unsur diri dan alam (tanah, air, api dan angin), jumlah 360 hari  setiap tahun dan jumlah binaan badan juga terdiri dari 360 bahagian tulang temalang, bahkan jumlah darjah dalam bulatan iaitu 360 darjah juga menjadi kiraan yang dianggap significant dan lengkap. Di dalam hal ini Penulis sering meneliti dan cuba memahami dari segi pelan arkitek dan pembinaan dan  secara realiti di atas tapak. Pada masa peringkat awal pembinaan Masjid Al-Umm dalam mana tiang-tiang sedang didirikan dan  juga aras satu sedang diseminkan dengan tiang-tiang juga dinaikkan dari bawah dan bersambung di atas, Penulis beberapa kali datang membuat perkiraan jumlah tiang-tiang bagi Masjid Al-Umm. Penulis membuat kesimpulan bahawa pembinaan tiang bagi masjid Al-Umm adalah bermula dari 4 tiang seri yang menjadi tiang utama bagi pembinaan masjid dari aras bawah tanah hinggalah kepada puncak kubah. Penulis dapati bahawa dari Tiang Seri empat tiang paling besar berkembang kepada jumlah yang banyak, tetapi makin kecil bentuknya, iaitu:
Dari empat meluas menjadi lapan
Dari lapan meluas menjadi enam belas
Dari enam belas meluas menjadi tiga puluh dua
Dari tiga puluh dua meluas menjadi  enam puluh
Dari enam puluh meluas  menjadi seratus lapan puluh
Dan dari seratus lapan puluh meluas menjadi tiga ratus enam puluh
Semakin besar jumlah angka  bermakna semakin mengecil bentuk tiang.


Maka dari kiraan Penulis, jumlah semua tiang bagi pembinaan Masjid Al-Umm secara kasar adalah mempunyai dalam liungkungan 360 tiang.
Dilihat dari segi anak tangga adalah mempunyai kaitan dengan angka-angka. Misalnya bagi siapa yang datang dari bahagian hadapan untuk masuk ke aras utama ke ruang terbuka berdepan dengan mihrab, maka dari lantai yang ada antara kanan dan kiri tempat wudhu` -  lantai yang rata,  bagi menaiki ke ruang utama, maka ianya perlu melalui `Satu Anak Tangga` sahaja, ini bererti aras bagi ruang utama adalah lebih tinggi dari aras bagi lantai bagi permulaan masuk, tetapi bagi mereka yang memilih untuk masuk melalui pintu gerbang kecil pada sebelah kanan masjid, maka ianya perlu melalui anak tangga yang mata tangganya ialah sebanyak 5 mata anak tangga. Tidak ada pintu gerbang sedemikian pada sebelah kiri, sebaliknya ia perlu melalui anak-anak tangga biasa.
Adapun menaiki tangga dari aras bawah tanah sebelah kanan ke atas ke aras utama mempunyai dua level anak tangga yang mata tangganya ialah  13 + `10.
Bagi menaiki anak tangga ke aras utama kiri luar juga melalui dua level yang anak tangganya ialah 13 + 10 (Terdapat tangga dalaman bersebelahan bermata tangga dua level iaitu 10+10).
Adapun bagi menaiki dari aras utama ke aras satu (tingkat tiga) sebelah kanan adalah melalui dua level anak tangga, iaitu 13 + 13 anak tangga dari aras ini dapat naik ke  bumbung melalui jalan di bawah menara juga mempunyai 2 level anak tangga iaitu 13 +9. Manakala  melalui sebelah kiri dari aras utama ke aras satu (tingkat tiga) mempunyai dua level mata tangga iaitu 13 + 13 dan bagi menaiki ke bumbung sebelah kiri juga mempunyai dua level anak tangga iaitu 13 + 8.
Perlu di tambah bahawa dengan jumlah anak tangga yang gasal apabila kita memulakan naik anak tangga dengan kaki  kanan, maka pengakhiran langkah  ke atas ialah juga sebelah kanan. Demikianlah sebaliknya.
Sesungguhnya nombor atau angka amat penting di dalam pengukuran di dalam pembinaan agar ianya tepat dan tidak merosakkan binaan . Angka juga penting di dalam mengira keluasan, volume, ketumpatan dan sebagainya bagi menghasilkan perkiraan yang tepat. Dengan angka ada falsafah yang significant yang memberi faedah bagi amalan dan kehidupan manusia itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment