Surah al-Kahfi bersifat cerita dan cerita di
dalam surah ini mengandungi lebih dari satu cerita. Cerita utama ialah mengenai
`Ashab al-Kahfi` dan satu cerita lagi ialah cerita mengenai `Nabi Musa Dan Nabi
Khaidir`.
Dari segi format cerita bahawa cerita bermula
dengan basmalah dan kesyukuran kepada Allah yang menurunkan `Kitab Panduan
Al-Qur`an` yang benar yang menjadi panduan bagi orang mukminin dan juga ingatan
bagi mereka yang tidak menurut panduan berkenaan. Rasulullah s.a.w. diingatkan
tidak terpengaruh dengan sebarang penyelewengan dan tidak berdukacita dengan
sebarang tuduhan yang tidak benar (18.1-6).
Selepas dari pada itu barulah Surah masuk
kepada kejadian alam ini pada satu pihak, kejadian pada permukaan muka bumi
adalah hiasan dan keindahan yang dapat diambil manfaat dan kebajikan darinya,
manakala pada satu pihak lain, ianya dilihat sebagai ketandusan yang tidak
diambil tamsilan bagi kehidupan dan kerohanian (18.7-8). Dari tamsilan fizikal
lahiriah, juga dapat diambil manfaat dari segi peristiwa dan pengalaman
rohaniah. Bahawa peristiwa, pengalaman dan cerita-cerita yang berlaku baik yang
bersifat gembira dan tragidi yang menyayat hati, bahkan kisah-kisah peristiwa
silam dapat membantu memupuk rasa simpati, kasihan dan mendorong membantu dari
segi kemanusiaan. Antara cerita-cerita menarik dikenang, diabadi dan diwarisi
oleh generasi ke generasi.
Di atas adalah merupakan `intro` dalaman` bagi
Surah al-Kahfi. Namun sebagaimana telah disebut ada `intro` luaran yang membawa
kepada diturunkan Surah al-Kahfi kepada Rasulullah s.a.w., iaitu 2 perwakilan
dari kalangan Quraisy Makkah telah pergi ke Madinah dan berjumpa dengan pendeta
Yahudi yang memang mahir berhubung dengan kitab Al-Taurat bagi mendapat panduan
yang membuktikan kebenaran Muhammad s.a.w. adalah benar-benar seorang Rasul
atau sebaliknya. Mereka dicadangkan menanyakan Nabi Muhammad tentang tiga
perkara (Al-Kahfi, Pengambara timur Barat dan tentang Roh), yang jika dapat
dijawab dengan betul, menandakan kebenaran perutusan Nabi Muhammad s.a.w.
Rasulullah s.a.w. memang dikemukakan kepadanya
tiga persoalan di atas dan baginda menjanjikan untuk menjawab pada keesokannya,
tetapi keesokannya tidak dapat diberikan jawapan berkenaan.
Di dalam hal ini Allah menegur sebagaimana
ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Jangan berkata sesuatu (janji), `Aku akan
lakukan esok`, melainkan hendaklah disertai, `Jika dikehendaki Allah` - Insya
Allah``. (18.23-24).
Tekanan bagi mendapatkan jawapan dalam tempoh
singkat dan melewati tempoh yang dijanjikan mendukacitan Rasulullah s.a.w.
sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Maka adalah diharapkan semoga engkau (ya
Muhammad) tidak dibinasakan dirimu dengan sebab menanggung dukacita terhadap
kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada
keterangan Al-Qur`an ini``. (18.6).
Lantas berikut dari intro, baru masuk kepada
persoalan cerita yang ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad)
bahawa kisah `Ashab al-Kahfi` dan `Al-Raqim` itu sahaja yang menakjubkan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ? (18.9).
Permulaan cerita adalah dengan cara bertanya,
tetapi dijawab oleh firman Allah. Berbanding dengan Surah Yusuf yang membawa
konsep cerita yang utama, bermula (selepas Alif, lam ra`) dengan Allah
menurunkan Kitab (Al-Qur`an) yang nyata, bahawa Al-Qur`an yang dengan
perantaraan bahasa Arab (Yusuf: 1-2), maka diikuti dengan kisah Nabi Yusuf yang
disifatkan sebagai seindah-indah cerita.
Bagi surah Al-Kahfi bermula dengan pertanyaan,
maka diteruskan cerita sebagai pernyataan maklumat bahan (cerita) sebagai
`orang ketiga` disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai `orang kedua`.
Pendek kata penceritaan bersifat kenyataan secara
langsung dan tiada ungkapan yang bersifat dialog (18.1-25). Ini berlainan dari
cerita Nabi Yusuf yang mempunyai beberapa episod cerita dan terdapat di dalamnya
menggunakan elemen dialog antara watak-watak. Contoh dialog antara Nabi Yusuf
dengan penghuni penjara dan dialog Nabi Yusuf dengan adiknya Bunyamin dan
banyak tempat lagi.
Melihat dari segi bahasa adalah penggunaan bahasa
yang bersifat prosa, sebagaimana bahasa penceritaan tentang Nabi Yusuf di dalam
Surah Yusuf. Bahasa bagi Surah Al-Kahfi adalah bahasa nathar atau prosa. Tiada
kesengajaan menggunakan rentak dan rima akhir yang bersamaan seperti kebanyakan
surah-surah dalam beberapa juz` akhir dari Al-Qur`an. Dengan bahasa nathar
biasa, maka pemahaman makna atau terjemahan yang dilakukan licin dan mudah
difahami dari segi bahasa berbanding dengan bahasa yang berima dan beritma.
Dari segi khitab kandungan kita dapati ada
pertukaran dari orang pertama, kedua dan ketiga. Misalnya pada permulaan Surah
al-Kahfi dari ayat pertama hingga empat, gaya bahasanya menggunakan rujukan
kepada `orang ketiga` - Dia, mereka. Contoh bermaksud:
``Segala puji tertentu bagi Allah yang
menurunkan kepada hambanya (Muhammad0 kitab Suci Al-Qur`an (18.1) (Dia – orang
ketiga).
Tetapi mulai ayat keenam bertukar khitab
ditujukan kepada `Orang Kedua`, contoh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Maka semoga engkau (Muhammad), jangan
membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan
perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur`an
ini``, (18.6) - ( Engkau = Orang Kedua).
Kemudian bertukar kepada khitab `Orang
Pertama` sebagai contoh ayat yang bermaksud:
``Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada
di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka,
siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya``. (18.7) (Kami = Orang pertama).
Begitu juga dengan kedudukan no. (18.8) adalah
kedudukan `Orang Pertama`.
Sebaliknya dari orang pertama kepada orang
kedua. Sebagai contoh ayat bermaksud:
``Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad),
bahawa kisah `Ashab al-Kahfi` dan
`Al-Raqim` itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan Kami ? (Engkau = Kedua).
Demikianlah seterusnya dengan bertukar khitab
percakapan menjadikan gambaran dan bahasa hidup. Walaupun tidak ada dialog
secara langsung seperti yang banyak terdapat di dalam Surah Yusuf yang
menghidupkan cerita berkenaan. Tetapi antara keduanya menggunakan kaedah bahasa
dan ungkapan yang sesuai dengan cerita masing-masing.
Dari segi istilah, dilihat istilah `Al-Raqim`
menimbulkan beberapa pendapat.
Ada yang berpendapat ianya adalah nama lembah
bagi tempat Gua al-Kahfi, ada yang memaksudkan nama bagi negeri,, ada yang
mengatakan ia adalah nama gunung bagi al-Kahfi dan ada yang berpendapat ia
adalah kepingan batu yang dirakam tulisan tentang `Ashab al-Kahfi` dan kepingan
ini diletak pada permukaan pintu gua berkenaan.
(Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jil. 5,
Pustaka Ibn Kathir, Bogor, Indonesia, 2006: 492).
Demikian antara aspek format dan bahasa yang sedikit
dapat membantu menjelaskan kandungan Surah Al-Kahfi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment