November 27, 2015

Estetika Takmilah Dari Segi Bentuk


BBB, 14 Safar 1437 = 26 November 2015 (Khamis):
Sesuatu bentuk reka cipta, cukup dengan bentuk asas, tetapi tidak sempurna tanpa ragam hias. Sebuah masjid boleh didirikan dengan hanya ditegak dengan empat atau enam tiang di atas ruang empat segi-panjang. Lantas dibina dinding kelilingan dan ditutup dengan bumbung dan atap. Sudah cukup sebagai bangunan sebuah masjid. Namun manusia pereka cipta yang dikurnia Maha Pencipta akal dan hati nurani yang bersifat berfikir dan mempunyai daya persepsi terhadap keindahan, berdaya meniru dan berkreativiti, tidak saja membina dan menyiapkan sesuatu secara asas, tetapi di atas bentuk asas akan disempurnakan dengan elemen kreativiti yang menjadikan sesuatu yang berbentuk asas itu disempurnakan dengan elemen-elemen seni kreativiti yang menjadikannya lebih indah dan menarik. Penambahan elemen kreativiti sedemikian bukan sahaja berlaku terhadap bangunan tetapi kepada apa saja yang direkacipta manusia sebagai kejadian yang kreatif. Pandang sahaja pada berbagai jenis kenderaan yang berbagai bentuk dan ciri rekacipta, pandang juga kepada pakaian yang berbagai fesyen dan hiasan, bahkan pandang kepada sebuah kawasan yang berhias sebagai kebun atau taman. Semuanya lebih dari sekadar asas, tetapi sempurna berhias dan menarik pandangan – sempurna dan Takmilah.


Masjid juga adalah sebuah bangunan yang didirikan untuk beribadat, kegiatan pendidikan dan kemasyarakatan juga sama disempurnakan dengan elemen-elemen estetika yang bersesuaian menjadikan pandangan terhadapnya sebagai kudus, indah dan tenteram. Ini merupakan sebagai sesuatu yang tabi`i dan tidak bertentang dengan Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Wahai anak-anak Adam ! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (untuk mengerjakan solat``. (Al-A`farf: 31).
Seterusnya firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), ``Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hambanya, dan (demikian juga) benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya``. (Al-A`raf: 32).
Masjid Al-Umm dari segi bangunannya adalah disempurnakan dengan elemen-elemen estetika yang melengkapkan penggunaan dan menceriakan pandangan. Antara ciri-ciri senibina bentuk fizikal berciri estetik Masjid Al-Umm ialah:
1)      Berbentuk Bulat
Bentuk bulat adalah bentuk sempurna baik dari segi geometri atau ukuran biasa berukuran 360 darjah. Bentuk bulat memudahkan pergerakan dan kurang dari segi halangan. Bentuk ini juga bersifat lurus dan memanjang dan menepati dari segi ukuran. Ciri ini adalah kebiasaan digunakan terutama bagi masjid, lantaran ianya melahirkan rasa murni, kudus dan kesempurnaan.
Bentuk bulat adalah bentuk yang mencirikan secara dominan ialah pada kubah Masjid Al-Umm.
Kubah Masjid Al-Umm yang mula dinaikkan ke puncak masjid pada 29 Mac 2015 berbentuk separuh bujur telur itu adalah berketumpatan 800 meter dengan 11 diemeter lilit adalah seberat 10 ton dengan mempunyai dua lapisan (2 layers) alluminium. Bagi membentuk kubah ini ianya ditegak dengan 32 bilah besi tahan karat dan diikat dengan 10 bilah lintang. Di atas bilah-bilah berkenaan dipasang dua lapisan  (layers) disebutkan. Pada bahagian luar kubah yang berwarna keemasan ini adalah jajaran lampu dari puncak ke bawah menurut bilah ke bawah yang bila dipasang memancarkan api berwarna-warni bergemerlapan. Pada puncak kubah ini dipasang nama masjid `Al-Umm` dalam tulisan Arab/Jawi yang juga mempunyai api yang bercahaya. Hingga kini terutama pada bahagian – bawah kubah masih didikorasi dengan pola-pola geometrik design bagi bahagian dalam kubah, manakala pada bahagian tapak dan keliling bawah kubah dihiasi dengan pola-pola yang bersifat floral dan fauna. Sesungguhnya bila kita berdiri dari anjung masjid pada aras satu (tingkat 3), maka kita dapat melihat phenomena pandangan di sekeliling Bangi, maka demikianlah dengan Masjid Al-Umm, maka kubahnya adalah menjadi identiti utama, yang dari jauh, khususnya pada waktu malam, cahaya dari kubah ini dapat dilihat mulai dari Tol masuk ke Bandar Baru Bangi, cahayanya juga dapat dilihat dari sepanjang jalan dari Jalan Reko, Kajang ke Jalan ke UKM – Bangi (Lama).
2.  Dua Menara


Jika kubah yang berbentuk bulat dan berciri kudus itu tegak di atas bumbung tertnggi masjid, maka bagi Masjid Al-Umm didirikan dua menara yang tegak tapaknya dari bawah di atas tanah, satu ialah pada sebelah kanan pintu gerbang bahagian hadapan dan sebuah lagi ialah pada sebelah kiri pintu gerbang tersebut. Menara-menara ini adalah boleh dinaiki melalui tangga dari aras satu bangunan masjid. Dalam erti kata yang lain, walaupun dari bawah dilihat sebagai terasing dari bangunan masjid, tetapi  ianya bersambung  dan boleh dinaiki dari aras satu ke bahagian atas bagi kedua-dua menara berkenaan. Ketinggian menara ialah lebih dari 30 meter yang ukuran kaki adalah lebih dari 100 kaki. Kedudukan menara ini adalah lebih tinggi dari puncak kubah. Bentuk pada puncak menara adalah mengambil bentuk puncak menara Masjid al-Haram sebagaimana dicadangkan oleh Tuan Guru Dato` Dr Haron Din dan puncak yang berbentuk menara di Masjid al-Haram diangkat dengan crane ke puncak kedua-dua menara pada 20 Oktober 2015 dan kerja-kerja bagi  kesempurnaan menara ini masih lagi dijalankan. Pada bahagian puncak menara ini ada ruang sebagai tingkap-tingkap. Pada atas tingkap inilah dipasang puncak menara ala menara Masjid al-Haram tersebut. Pada puncak paling atas bagi menara ialah bulan sabit yang lengkungnya mengarah ke langit
Baik bagi Kubah, lebih-lebih lagi menara mempunyai makna dan simbol tersendiri. Kubah biasanya berada pada tengah-tengah di atas bagi ruang solat, yang merupakan ruang terbuka yang sentiasa terbuka menerima kehadiran jamaah memenuhi mulai dari saf hadapan ke belakang. Ruang terbuka juga memberi peluang jamaah dalam saf-saf yang tidak diganggu misalnya oleh halangan tiang dan sebagainya. Begitu juga memberi ruang bagi jamaah melihat secara langsung kepada khatib yang berkhutbah, tanpa halangan. Dengan adanya kubah memberi impak dari segi suara lebih terang dan jelas.  Manakala menara – dua menara bagi Masjid Al-Umm berada pada bahagian hadapan pada kanan dan kiri bagi gerbang bagi memasuki masjid. Fungsi asal adanya menara agar muazzin dapat naik ke bahagian yang lebih tinggi untuk azan dan azan lebih kuat dan lantas untuk didengar oleh ahli kariah, khususnya para jamaah untuk datang berjamaah bagi solat-solat fardu.  Namun dengan perkembangan masa dan wujudnya teknologi baru  menggunakan pembesar suara, maka tidak perlu lagi bagi muazzin naik ke bahagian atas bagi menara. Cukup diletak pembesar suara di bahagian atas menara dan muazzin hanya melaungkan azan dari bilik bersebelahan dengan mihrab dan suara muazzin berkumandang dan dapat didengar jauh ke kawasan kelilingan. Lebih dari itu tempat muazzin ini berkembang dan ditambahbaiki dari kawasan tinggi kepada bangunan yang tegak seperti kini yang dikenali sebagai menara. Kedudukan menara yang berbentuk tinggi yang lebih dari satu, iaitu dua hingga empat, lima, enam (Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam) atau lebih dari itu seperti pada Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi menjadikan menara sebagai lambang estetik yang melahirkan kekudusan rasa dan mengindahkan masjid dan menarik pengunjung-pengunjung datang. Menara juga melambangkan mi`raj jiwa dalam menuju kepada hakikat tertinggi.
Sesungguhnya kubah dan menara adalah dua elemen utama yang mempunyai daya estetik menarik dan mengindahkan masjid.

Sekian.

No comments:

Post a Comment