Daripada kandungan ayat-ayat Al-Qur`an,
khususnya ayat-ayat bagi Surah Al-Kahf (termasuk juga mengenai Khaidir atau
Khidir) dapat diambil kesimpulan bahawa kaedah bercerita (sastera adabiyyah)
adalah merupakan satu kaedah yang baik bagi mendakwah Islam, sebagai contoh
ialah kisah Ashab al-Kahfi, juga Surah Yusuf dan berbagai-bagai lagi. Melalui
seni persuratan sastera mesej dapat disampaikan secara halus dan menarik.
Lantaran itu usaha menghasilkan bahan-bahan persuratan sastera Islam sepatutnya
diadakan sebagaimana satu masa dulu pernah dianjurkan pertandingan menulis
cerita – cerpen, puisi dan novel Islam secara bersiri seperti oleh JAKIM –
termasuk anjuran pertandingan menulis
sempena Abad 15 Hijrah, anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama GAPENA dan
Yayasan Pelajaran Islam Malaysia. Anjuran seperti ini patut diadakan kembali
oleh pihak berwibawa.
Penghasilan buku-buku ilmiah juga patut
digalakkan bagi mengukuhkan akidah dan kefahaman Islam. Buku aqidah tidak
semestinya terikat dengan pendekatan konvensional seperti yang dihasilkan oleh
Asy`ari-Maturidi, tetapi dapat didekati secara sains, perubatan, astronomi dan
sebagainya yang tentu bagi menghasilkan buku-buku berkenaan memerlukan
pakar-pakar dalam bidang-bidang berkenaan
dan sekaligus mesti memahami keilmuan keislaman.
Dalam hubungan dengan kisah Ashab al-Kahfi
ini, memberi isyarat penting tentang ilmu-ilmu `Kepurbaan`. Dalam hal ini
Al-Qur`an menyebutkan bermaksud:
``Setelah itu sebahagian daripada mereka
berkata, ``Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka. Allah jua yang
mengetahui hal ehwal mereka. Orang-orang berkuasa atas urusan mereka (pihak
raja) pula berkata,``Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua
mereka``. (18.21).
Dari ayat di atas, bahkan dari kisah Ashab
al-Kahfi, dapat kita fahami, adalah tidak salah melihat tempat-tempat yang
mempunyai kesan sejarah purba, sebagai mengkagumi ciptaan Allah dan
kekuasaanNya. Juga dapat difahami, amalan menjadikan tempat-tempat menarik
ciptaan Allah sebagai tempat tarikan daya kunjungan, khususnya pelancong
tidaklah menjadi kesalahan. Bahkan amalan mendirikan muzium-muzium pada
peringkat negeri dan negara bagi menyimpan artifek-artifek dan bahan-bahan
berharga dari segi sejarah, permuzium, arkib dan juga kepurbaan sebagai
khazanah negara dan untuk sama dilihat oleh pelancong-pelancong tidak
bertentangan dengan hukum agama. Keadaan yang sama dengan menghimpun
bahan-bahan sejarah sebagai warisan negara. Dengan semangat di atas sewajarnya
masyarakat umat menyedari kepentingan sejarah, menghimpun koleksi permuziuman,
arkib sebagai bahan warisan negara. Kegiatan sedemikian adalah merupakan
kegiatan bersifat intelektual dan merupakan kesedaran yang meningkatkan tamadun
dan peradaban bangsa dan ummah.
Sebenarnya kegiatan seperti ini kita lihat
dilakukan di Makkah dan Madinah dalam mana
mereka yang mengunjungi Makkah dan Madinah dalam rangka menunaikan haji
dan umrah dibawa melihat tempat-tempat bersejarah seperti melawat Gua Hira`,
Gua Thur, melawat Padang Arafah, Mina, Muzdalifah dan semasa di Madinah melawat
Maqam Rasulullah s.a.w., melawat dan bersolat di Masjid Madinah, medan-medan
peperangan seperti Badar dan Uhud, melawat Masjid Quba` dan Masjid Qiblatayn
dan sebagainya adalah merupakan sebagai menghayati dan memahami tempat-tempat
sejarah. Dengan melihat kesan-kesan sejarah dapat dilihat kesan-kesan perjuangan
Rasulullah s.a.w. di dalam menegak dan menyebarluaskan Islam.
Di dalam Surah Al-Kahfi disebut oleh Al-Qur`an
bahawa Ashab al-Kahfi tidur di dalam gua berkenaan selama 300 dan sembilan tahun
– tambahan (18.25).
Ada dua perkara yang dapat ditimbulkan dari
ayat berkenaan, pertama bahawa ianya membuka kemungkinan terutama bagi
pakar-pakar sains, khususnya pakar-pakar perubatan menyelidik kaedah yang dapat
melambatkan ketuaan sehingga mencapai ratusan tahun. Ini bukan merupakan
sesuatu yang mustahil. Kini pakar-pakar sains sudah dapat menemui kaedah sains
yang dapat menyimpan benih lelaki yang tahan dan dapat diguna/ditetas
kemudiannya dalam tempoh masa yang panjang. Keadaan yang sama boleh digunakan bagi
kemungkinan memanjang umur manusia dan tempoh produktif mereka.
Keduanya di dalam ayat di atas juga menyebutkan bahawa tempoh Ashab al-Kahfi
berada dan tidur di gua adalah 300 tahun
tambah 9. Menurut kajian bahawa tempoh 300 tahun dan sembilan tahun (tambahan)
adalah menurut dua kaedah kiraan, bahawa 300 tahun adalah menurut kiraan tahun
berasaskan kiraan pergerakan matahari seperti penggunaan tahun Masihi kini,
tetapi jika mengikut keraan pergerakan bulan atau dikira tahun Qamariyyah
seperti yang digunakan di dalam Islam dan juga digunakan oleh setengah-serengah
pihak yang lain seperti juga kelindar Cina, maka pertambahan tahun lebih cepat,
iaitu untuk 300 tahun bagi kiraan matahari (Masihi) bererti menjadi 309 tahun
bagi kiraan tahun lunar (Qamariyyah). Ini juga bermakna bagi setiap abad Masihi
menjadi 103 Qamariyyah atau bagi setiap 33.33 tahun bererti bertambah setahun
Qamariyyah. Perlu diingat ini merupakan pendapat, tidak semestinya tepat dan
pembaca tidak semestinya menerima.
Walau bagaimana di dalam Al-Qur`an selain dari
dalam Surah Al-Kahfi, terdapat tempat-tempat lain yang bersifat number,
misalnya ayat bermaksud;
``Sesungguhnya sehari di sisi Allah seperti
seribu tahun mengikut kiraan kamu``. (Al-Hajj; 47).
Sungguhpun maksud di atas merujuk kepada azab
dialami yang berdosa di sisi Allah di akhirat, ianya mungkin juga merujuk
kepada jauh dan dekatnya kedudukan planet atau bintang dari matahari. Jika ini
antara yang dimaksudkan bayangkan betapa luasnya cakrawala yang dicipta Allah
yang masih belum diterokai atau belum dikatahui oleh manusia yang menjadi
cabaran bagi mereka untuk menerokainya, juga mungkin merujuk kepada kelamaan
atau kejauhan kiraan di alam akhirat dan rohani.
Walau apa pun konsep kiraan adalah amat
penting dalam kehidupan, dan umat Islam antara kalangan terawal yang telah
menerokai bidang geometri, al-gebra, di samping hisab bagi kepentingan ukuran
arah kiblat, jauh dekatnya sesuatu tempat, bahkan digunakan bagi keilmuan
astronomi, merekacipta jam dan sebagainya. Ditambah dengan kemajuan di dalam
bidang fizik dan kimia kini dapat diketahui lamanya sesuatu bahan yang dikaji,
misalnya ketuaan batu batan di sesuatu tempat, lamanya sesuatu mayat purba yang
diketemui dan banyak bidang-bidang lain yang dapat diterokai.
Pendek kata melalui kisah Ashab al-Kahfi, umat
Islam tidak seharusnya menerima maklumat yang dibekalkan oleh Al-Qur`an sahaja,
tetapi seharusnya membuka jalan untuk mengkaji secara saintifik dan ilmiah.
Misalnya memastikan lokasi dan tempat sebenarnya gua Al-Kahfi berkenaan. Zaman
pemerintahan sebenarnya dari segi sejarah, keadaan masyarakat dan kepercayaan
mereka pada masa itu. Lebih jauh dari itu membuka ruang bagaimana Ashab
al-Kahfi boleh bertahan hidup sehingga lebih dari 300 tahun, apakah suhu udara,
kelembapan tempat dan sekitaran keliling serta hubungannya dengan tubuh fizikal
yang menjadikannya sesuai dan dapat bertahan lama. Penemuan saintifik misalnya
boleh digunakan untuk memanjang dan melewatkan tempoh ketuaan, mempreservekan
sesuatu bagi kepentingan kehidupan dan berbagai-bagai keperluan lagi, di samping dari satu pihak kita menerima
tentang kekuasaan dan keagungan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta.
Sekian.
No comments:
Post a Comment