Sesudah membaca sebuah kisah atau cerita –
Sesudah memahami tema yang mungkin sengaja tidak diserlahkan, mengkagumi
keunikan cerita dengan teknik canggih, bahasa indah memukau, wujudnya konflik
antara watak dan perwatakan bertentangan mendebarkan dengan cerita berestetika
tinggi dan penyelesaian (katarsis) yang mengharu atau menginsafkan, lantas
apakah hasil puncak dari sesebuah kisah yang diharapkan ?
Sesebuah cerita tidak cukup dengan ungkapan
`sedap dan indah`, tetapi inti yang dapat ditarik ialah apakah mesej yang mau
disampaikan dan apakah pengajaran yang dapat dimanfaatkan. Harapan ini
melibatkan semua jenis cerita, termasuk juga cerita-cerita dari Al-Qur`an,
tetapi tidak semua cerita mengandungi semua elemen dan infra penceritaan secara
lengkap. Ianya bergantung kepada jenis penceritaan dan keutamaan yang disengaja
atau tidak disengajakan yang menjadi ciri dan identiti cerita berkenaan.
Surah Al-Kahfi adalah sebuah cerita lengkap,
walaupun tidak sepanjang Surah Yusuf, teknik penceritaannya bersifat laporan
dari `Pihak Pertama (Allah)` kepada `Orang Kedua (Rasulullah)` - (Allah sengaja tidak disebut `Orang Pertama`,
sebagai terminogi bahasa dan sastera, diganti `Pihak`), tentang cerita `Orang
Ketiga (Ashab al-Kahfi). Cerita adalah bersifat laporan direct. Watak yang
dilaporkan tidak dihidupkan dengan dialog – kecuali dialog kecil antara Ashab
al-Kahfi selepas mereka sedar dar tidur yang panjang.
Ada mesej-mesej utama yang dapat ditarik
kesimpulan.
Mesej utama dari cerita Ashab al-Kahfi (18.
1-59), bahawa `Pentingnya Aqidah Tauhid` dipertahankan. Jika pegangan ini terdedah kepada ancaman
kerosakan, maka jika perlu menjauhi dan mengasingkan diri, maka perlu mengasingkan
diri sebagaimana dilakukan oleh Ashab al-Kahfi dan mendoakan keselamatan diri
dan aqidah sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``(Ingatlah peristiwa) Tatkala rombongan orang
muda (Ashab al-Kahfi) pergi ke gua lalu
mereka berdoa, ``Wahai Tuhan kami kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan
berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama
kami``. (18.10).
Pegangan agama mereka digambarkan oleh ayat
Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran
dan keberanian), tatkala mereka bangun (menegakkan tauhid) lalu berkata,
``Tuhan kami ialah Tuhan Yang Mencipta dan Mentadbirkan langit dan bumi. Kami
tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya. Jika kami
menyembah yang lainNya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang
jauh dari kebenaran``. (18.14).
Dapat difahami era di mana peristiwa ini
berlaku, iaitu pada zaman era sebelum Kristian (menyembah berhala) dan kerajaan
Rum yang menerima konsep Triniti sebagai pegangan akidah pegangan negara. Ini
dapat difahami dari ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan juga Al-Qur`an itu memberi amaran kepada
orang-orang berkata ``Allah mempunyai anak```. (18.4).
Mesej yang dapat difahami dari Surah al-Kahfi
ialah tentang konsep `Hijrah Kecil` dilakukan oleh Ashab al-Kahfi bagi
menyelamatkan aqidah mereka. Namun dibandingkan dengan Hijrah al-Rasul s.a.w.
dari Makkah ke Madinah adalah tindakan pro-aktif, ianya sebagai strategi bagi
meluaskan aqidah Islam, bahkan membuka Negara Islam pertama yang lebih meluaskan
aqidah Islam secara luas ke seluruh dunia dan terus berkembang hingga kini,
tetapi bagi Ashab al-Kahfi, ialah bagi menyelamatkan aqidah tauhid mereka. Tindakan
mereka adalah sesuai menurut kemampuan
mereka, lagi pula mereka bukanlah para nabi atau rasul yang membawa amanah
kerasulan dan kenabian (18.16).
Daripada Surah al-Kahfi, ialah gesaan agar
suka berdamping dengan orang yang beribadat yang bererti orang yang beramal
dengan ilmu sebagaimana firman Allah bermaksu:
``Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping dengan
orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang
mengharapkan keredaan Allah semata-mata.``. (18.28).
Sikap orang yang baik ialah mencari kebenaran,
bererti juga orang suka mencari ilmu dan mempraktikkan keilmuannya melalui amal
ibadat. Gesaan ini dapat difahami dari firman Allah yang bermaksud:
``Dan katakanlah (wahai Muhammad), kebenaran
itu ialah yang datang dari Tuhan kamu``. (18.29).
Seperti mana juga antara nilai kebaikan yang
ditekankan oleh Islam yang banyak terdapat di dalam Al-Qur`an, termasuk di
dalam Surah al-Kahfi ialah menggesa umat Islam dan sebenarnya sesiapa sahaja
agar melakukan kebaikan yang merupakan nilai universal dan disanjung oleh semua
pihak. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal
salih, sesungguhnya Kami tidak mensia-siakan pahala sesiapa yang melakukan
amalan yang elok``. (18.30). Dan sudah tentulah balasan mereka yang melakukan
kebaikan ini ialah ganjaran syurga (18.31).
Antara nilai akhlak yang baik yang merupakan
adab dan budaya Islam yang mempunyai
pertalian dengan `Pandangan Wujud` yang berkait rapat dengan aqidah ialah
apabila bercakap mengenai perkara yang tidak pasti kemungkinan berlaku atau
sebaliknya, ialah selalu menyebut `Insya Allah`. Ingatan kepada Allah juga
hendaklah disebut, jika berlaku kelupaan. Ini diajarkan oleh Al-Qur`an
bermaksud:
``Dan janganlah engkau berkata mengenai
sesuatu (yang hendak dikerjakan), ``Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu
kemudian nanti``. Tetapi hendaklah disertkan dengan berkata `Insya Allah`` .
Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu, jika engkau lupa dan katakanlah,
``Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan
lebih terang dari ini``. (18.23-24).
Mesej terakhir yang juga sebagai kesimpulan
bahawa hendaklah tersimpul kukuh di dalam minda dan jiwa pegangan aqidah
tauhid, bahawa segala kejadian dari alam fizikal, membawa kepada yang ghaib dan
tidak kelihatan mata, bahawa kesegalaan di bawah kekuasaan Allah yang kita
hendaklah sentiasa memohon hidayah dan pertunjukNya ke jalan yang benar
(18.14).
Allah mengingatkan tentang sikap manusia yang
zalim bermaksud:
``Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada
orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling
daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya.
Sesungguhnya, kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang
mereka dari memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang
menyebabkan mereka pekak), dan jika engkau menyeru mereka kepada pertunjuk,
maka dengan keadaan demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh pertunjuk
hidayah selama-lamanya``. (18. 57).
Sesungguhnya Ashab al-Kahfi lambang mereka
yang mendapat Hidayah yang kita mohon semoga kita juga sama turut mendapat
hidayah – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment