December 25, 2012

Ketua Kampung Raikan Warga Emas


Sungai Ramal Luar, 10 Safat 1434 = 24 Disember 2012 (Isnin):


Selepas Maghrib Adun bertolak berseorangan ke Masjid Sungai Ramal Luar dan saudara Azizi juga bertolak bersendirian dari rumahnya di Kajang Utama terus ke Masjid Sungai Ramal Luar. Kami berjumpa di Masjid. Tujuan hadir ke Masjid Sungai Ramal Luar ialah bagi menyertai Majlis Keraian terhadap Warga Emas di Kariah Sungai Ramal Luar. Majlis ini sengaja diadakan oleh Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, iaitu Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir bagi meraikan warga emas di Kampong Sungai Ramal Luar. Ini adalah kali kedua majhlis seumpama ini diadakan. Pada tahun lepas (2011), majlis sedemikian diadakan di luar, tetapi pada tahun ini diadakan di Masjid, kerana di Masjid lebih ramai dihadiri oleh warga emas, lagi pula mudah datang dan dapat mengurangkan kos.


Adun yang tiba sebelum Isyak sempat memimpin Solat Isya`dan kemudian hadir ke Majlis sederhana acara diadakan, iaitu di bawah lindungan khemah khas dan tetap yang didirikan di sebelah kiri masjid. Peserta-peserta yang hadir selain dari Adun dan Ketua Kampong ialah Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Yaakob selaku Imam, saudara Fuad selaku Setiausaha dan warga emas lelaki dan perempuan yang jumlah semua lebih kurang 50 orang.


Menu yang disediakan ialah sate, laksa kuning berkuah udang dan buah durian. Majlis dimulai dengan doa oleh Tuan Haji Yaakob Tuan Imam diikuti ucapan oleh Ketua kampong Tuan Haji Mohd. Yusof,  menurutnya, ``Majlis keraian warga emas sengaja diadakan bagi meraikan mereka telah berjasa kepada penduduk dan mereka adalah yang memakmurkan masjid pada setiap waktu. Menurut Ketua Kampong, ``Majlis diadakan adalah dari peruntukan Kerajaan Negeri yang disalurkan kepada ketua Kampong, dan ini adalah lanjutan bagi peruntukan yang diberi. Menurutnya, ``Kita patut berterima kasih kepada Kerajaan negeri dan juga Adun yang banyak membawa projek kepada penduduk seperti membina jalan, memperuntukkan kewangan bagi menggerakkan perpustakaan dan kelas bimbingan memasak dan jahitan. Peruntukan juga disalurkan bagi menggerakkan Wanita Berdaya di Dun Bangi yang akan membimbing muslimat dan wanita di dalam bidang-bidang yang ada hubungan dengan kewanitaan. Menurut Ketua Kampong,``Peruntukan yang digunakan ialah peruntukan melalui Ketua Kampong dan kegiatan seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.``


Adun Bangi dalam ucapan perasmian mengucap terima kasih di atas jemputan yang dibuat. Adun merasa tertarik dengan Majlis Meraikan Warga Emas yang khas diadakan di Sungai Ramal Luar. Usaha sedemikian merapatkan hubungan ahli jamaah dan pemimpin serta dapat mengelak dari perpecahan. Beliau tertarik Majlis berkenaan di adakan di masjid, sesuai dengan kehadiran mereka kerana berjamaah sambil mengikuti program yang diadakan. Adun Bangi mengingatkan,


``Bahawa kita warga emas patut bersyukur kepada Allah yang telah memberi kesihatan kepada kita dan dapat melihat kemajuan dan pembangunan yang sedang pesat berjalan. Kita perlu menjaga nikmat kesihatan yang diberi Allah dengan mengekalkan amalan yang sihat baik dari segi makan minum, exersais, beribadat dan sama mengikuti amalan kebajikan dan sosial setempat. Amalan sihat bukan saja pada luaran, tetapi juga dalaman diri, misalnya ikhlas dalam amalan, merasa syukur dan reda di atas kurniaan Tuhan. Hidup dalam keluar bersama anak cucu dalam keadaan kasih sayang , membuat ibadat berterusan dan juga melibatkan diri dengan kerja-kerja sosial. Amalan sedemikian melapangkan minda dan dada, menghendarkan dari tekanan dan hidup secara tenang dan membahagiakan. Selepas Perasmian. Kami menjamu selera dengan hidangan-hidangan yang disediakan. Cenderahati dan ucapan terima kasih disampaikan. Selepas makan Adun terlebih dahulu memohon diri, kerana mempunyai program lain pada malam ini.


Sekian.

Jom Shopping Hujung Tahun 2012

-->
Econsave, Jalan Reko, BBB, 08 Safar 1434 = 22 Disember 2012 (Sabtu):


Pagi ini menghadiri Jom Shopping kali terakhir bagi hujung tahun 2012 bertempat di Econsave, Jalan Reko, Bandar Baru Bangi. Ini merupakan kali ke 13 bagi Jom Shopping di Dun Bangi yang keseluruhannya adalah berlangsung di Super Markat, Econsave, Jalan Reko, Bandar Baru Bangi.


Selain dari Jom Shopping di atas, terdapat dua Jom Shopping Sikembar di bawah Tawas yang dianjur terus oleh pihak Tawas yang Adun dijemput hadir. Pertama dibuat  seperti biasa di Econsave beberapa bulan lepas, tetapi bagi kali  kedua, iaitu pada Ahad 9 Disember 2012 di ubah tempat dan dibuat Hyper Giant Super Market. Dua orang Adun (Bangi dan Kajang) dijemput hadir sama. Berlaku kekeliruan pada Adun Bangi dan setengah ibu bapa yang datang membawa anak mereka, kerana terdapat 3 Giant Super Market di Kajang. Adun sendiri pada paginya pergi ke Giant Super Market di Kajang Impian, tetapi bukan di situ. Ada ibu bapa yang pergi ke Giant Super Market di Bandar Kajang. Rupanya dimaksudkan ialah di Giant Hyper Market di Kajang Mewah yang sebenarnya berada di bawah Dun Bangi dan tidak jauh dari Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Adun sendiri berkesempatan hadir, walaupun lewat dan tidak dapat berada lama di sana, kerana mempunyai program di tempat yang lain. Jom Shopping bagi Si Kembar ini adalah bagi meraikan anak-anak yang didaftar di bawah Tawas pada peringkat awal. Ibu bapa dijemput hadir bersama anak-anak ke Super Market terpilih. Peruntukan RM100 diberi untuk dibelanja bagi kepentingan anak-anak. Sebagaimana disebut pengurusan dan pengendalian terus dilakukan oleh tenaga kerja dari pihak pentadbiran Tawas dan Adun dalam konteks di atas Adun Bangi dan Kajang Y.B. Lee Kim Sin dijemput bersama menyampaikan barangan yang dibeli kepada keluarga anak-anak yang dijemput di kaunter-kaunter di Giant Hyper Market di Kajang Mewah berkenaan. Masa antara jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Dengan dua kali dibuat, ini bermakna jumlah yang dijemput masih terhad hanya dalam lingkungan 200 anak-anak.



Adapun Jom Shopping biasa di Econsave terakhir bagi Tahun 2012 hari ini bagi ketiga belas adalah merupakan jumlah dalam lengkongan 1,200 yang dijemput hadir. Jemputan pada hari ini adalah serama 100 orang. Jumlah yang mendaftar Jom Shopping di Dun Bangi setekat ini adalah seramai 2,271 orang. Ini bererti baru lebih kurang separuh dari warga emas yang didaftar di Dun Bangi baru sempat dipanggil. Jumlah yang belum dipanggil akan dipanggil pada tahun 2013. Jemputan 100 orang hari ini (85 yang hadir) bersifat multirasial yang terdiri dari berbagai kaum Cina, Melayu dan India. Kebanyakan daripada mereka adalah dari kawasan Sungai Chua (di bawah Dun Bangi), Kajang Mewah (dekat Sungai Chua), Bukit Mewah dan sebahagian dari Bandar Baru Bangi.


Dalam ucapan ringkas selepas pendaftaran dan sebelum sesi membeli belah, Adun mengucapkan selamat datang dan bersyukur kepada Tuhan kerana warga emas diberi kesihatan oleh Tuhan dan dapat hadir sendiri (sebahagian besar) menyertai Jom Shopping. Kepada yang beragama Kristian Adun mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismis dan berdoa kepada Tuhan dipanjang umur dan terus berada di dalam sihat. Jom Shopping yang diadakan adalah program meraikan warga emas dan mengiktiraf peranan mereka terhadap negeri yang selama ini telah bekerja keras memajukan negeri Selangor dan diteruskan oleh anak-anak warga emas yang terus memberi khidmat kepada kerajaan Negeri Selangor. Kata Adun, Skim Warga Emas adalah salah satu Skim yang menggunakan peruntukan Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor. Banyak lagi skim yang diosediakan seperti Tawas, Anak Masuk Universiti, membantu Anak Miskin Bersekolah dan berbagai lagi.


Selepas itu warga emas, kebanyakannya ditemani keluarga masuk ke dalam pasaraya membeli. Lebuh kurang setengah jam berikut, antara mereka mulai keluar ke kaunter dan disambut oleh pembantu-pembantu yang agak ramai datang hari ini berurus pada tempat mendaftar, menyambut kehadiran, meraikan bila mereka keluar dan menyampaikan bahan-bahan bersama barangan yang dibeli. Pada hari ini Adun mengedar dan membahagikan Kalender 2013 yang baru siap kepada warga emas dan pengunjung-pengunjung yang lain. Turut sama disampaikan kepada warga emas ialah, hadiah extra barang tambahan kepada warga emas, Akhbar Selangor Kini dan risalah-risalah. Pengurusan Jom Shopping berjalan dengan baik. Terima kasih kepada semua yang terlibat.

Sekian.

December 24, 2012

Membuka Dan Menutup Pertandingan Bola Sepak Remaja Dun Bangi 2012

-->
BBB, 09 Safar 1434 = 23 Disember 2012 (Ahad):


Program pertama dan terawal hari ini jam 9.00 pagi Adun diiringi saudara Azizi sudah berada di Padang Bola Sepak Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Franch Institute, di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi. Tujuan Adun ke sini bagi merasmikan Pertandingan Bola Sepak Remaja Di Bawah 13 Tahun, Bandar Baru Bangi. Pertandingan ini ditaja oleh Adun Bangi melalui Lajnah Sukan Adun Bangi dan Seksyen 3 BBB yang dipengerusikan oleh Saudara Dahari Embong. Hadir dalam Majlis Ringkas Pembukaan selain dari Adun dan saudara Dahari ialah saudara Zamzuri Pengurus Pertandingan Bola Sepak Remaja, Encik Saiful Pengadil bagi keseluruhan pertandingan dan pembantu-pembantunya, jurulatih pasukan dan pengiring-pengiring, ibu bapa dan 8 pasukan yang bertanding, iaitu:


1)      LBJB  Bandar Baru Bangi
2)      SSFC Seri Sakap Seri Jeluk
3)      Pasukan Bangi Lama
4)      SSBJ Seksyen 7, BBB
5)      Bakihah Taman Harmoni, Bandar Teknologi
6)      Taman Bangi, 3.
7)      Pasukan  dari Seksyen 5, West Country
8)      Amal Junior, Teras Jernang.

Dalam ucapan pembukaan di hadapan pasukan-pasukan yang akan bertanding Adun mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dari 8 pasukan yang sudi menyertai pertandingan. Tujuan pertandingan ialah, ``Untuk menggalakkan golongan remaja bergiat di dalam kegiatan berfaedah dan tidak mensia-siakan masa di dalam masa cuti Sekolah sekarang. Lebih dari itu ialah bagi mencungkil bakat-bakat pemain bola sepak remaja untuk diketengahkan di dalam pertandingan pada peringkat Dun, Kawasan, Daerah dan Negeri. Tidak mustahil Dun Bangi dapat melahirkan jaguh bola sepak seperti Mokhtar Dahari dan Shafi Sali yang memang berasal dari Dun Bangi. Pihak Adun Bangi akan terus memberi galakan dan peruntukan bagi sukan bola sepak secara khusus dan juga sukan-sukan yang lain. Adalah diharapkan galakan yang diberi menyemarakkan lagi perkembangan sukan di Bangi, sebagai sukan untuk pertandingan dan sukan untuk kesihatan yang menurut Adun, ``Kita mau capai kedua-dua objektif berkenaan.``



Sebelum dari pada itu saudara Dahari dalam ucapan alu-aluannya ``Kita berterima kasih kepada pihak Universiti Kuala Lumpur yang memberi potongan bayaran, bahawa sewaan seharian hari ini dikenakan hanya sebanyak RM180/=sedang harga biasa adalah RM80/= sejam. Menurut saudara Dahari. Empat hadiah disediakan. Hadiah pertama ialah RM400.00, hadiah kedua RM200.00 manakala hadiah ketiga dan keempat RM100.00 dengan setiap peserta dihadiahkan medal menurut tahap kemenangan. Selepas Ucapan Perasmian, Adun menunggu pertandingan awal sebahagian dan memohon diri untuk ke program yang lain dengan janji akan datang untuk menyampaikan hadiah dan menutup pertandingan.

Pada jam 3.00 petang dijangka pertandingan akan berakhir, Adun datang bagi tujuan berkenaan, tetapi didapati pertandingan baru pada peringkat separuh akhir. Empat pasukan masih bertarung untuk mewakili ke pertandingan akhir. Oleh kerana  pertandingan peringkat akhir akan memakan masa lebih kurang dua jam lagi. Adun pergi kedua program yang lain terlebih dahulu. Adun kembali semula ke UNIKUL 15 minit sebelum jam 5.00 petang. Ketika itu Adun dapat tahu pertandingan akhir masih draw 0 – 0 dan terpaksa tambah masa 15 minit bagi mentukan johan. Ketika Adun tiba dan masuk ke padang, sorakan bergema. Gol dapat disumbat oleh salah satu pasukan yang membawa kepada berakhirnya pertandingan. Keputusan pertandingan adalah sebagaimana berikut:



1)      Johan  Pasukan LBJB Bandar Baru Bangi
2)      Naib Johan Pasukan Bakihah, Taman Harmoni, Bandar Teknologi
3)      No. 3 SSBJ, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi
4)      No. 4, Pasukan Seksyen 5, West Country


Dalam ucapan Penutup Adun mengucapkan Tahniah kepada yang berjaya dan bagi yang tidak menang diharap berusaha lagi bagi mencapai kemenangan pada pertandingan-pertandingan  pada masa hadsapan. Adun juga mengingatkan sebagaimana dimaklum oleh saudara Dahari bahawa pada 25.12.2012 akan diadakan klinik Bola Sepak di Sungai Tangkas, dibimbing oleh Pemain dari Pasukan Harimau B, maka semua pemain dijemput hadir ke klinik tersebut. Selain daripada itu pada tahun hadapan (2013) akan diadakan Pertandingan Bola Sepak di bawah umur 13 dan juga 14 tahun.

Adun menyampaikan hadiah-hadiah dan medal-medal

Sekian.

December 23, 2012

Melawat Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012

-->
Dataran Stadium Kajang, 08 Safar 1434 = 22 Disember 2012 (Sabtu):


Sebut saja `Sate` orang segera mengingatkan Kajang dengan Sate Kajangnya. Begitulah kuatnya sate sebagai identiti Kajang. Kalau datang ke Kajang, maka tidak sempena kunjungan tanpa makan `Sate Kajang`. Sate dijual di warung dan kedai-kedai makan di Kajang. Bahkan untuk kelarisan, di mana dijual sate, maka dikatakan `Sate Kajang`, walaupun di luar dari Kajang, bahkan di luar dari Selangor. Imej Sate Kajang digunakan untuk kelarisan ! Imej yang baik ini perlu dikekalkan, maka promosi harus diteruskan, bahkan dipertingkat bagi pengekalan imej `Sate Kajang`. Salah satu cara ialah dengan mengadakan karnival tahunan sate. Demikianlah pada tahun ini pihak MPKj mengadakan Karnival Sate yang dikenali dengan `Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012` bertempat di Dataran Stadium Kajang. Karnival ini sudah lama diwarwarkan antaranya melalui Mesyuarat MPKj, bahkan permohonan peruntukan antaranya kepada Adun. Karnival ini berlangsung dari 21 (Jumaat) hingga 23 Disember 2012 (Ahad).


Ungkapan `Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012` memang menarik. Tergambar dalam fikiran, betapa banyaknya hidangan sate di karnival tersebut dan kita bayangkan bahawa, kita dengan ghairah dapat merasakan berbagai-bagai jenis sate yang dihidangkan dan memakannya secara percuma ? Atas keghairahan ingin menikmati 1001 Rasa Sate Kajang, maka pada tengahari ini, selepas menghadiri program-program, maka Adun bersama saudara Azizi ke Dataran Stadium Kajang, bagi menyaksi Karnival dan kalau dapat menikmati 1001 Rasa Sate Kajang. Setelah melalui kesukaran untuk parking, akhirnya kami ke dalam Dataran Stadium Kajang yang di keliling dataran dipenuhi hampir 100 khemah dan bahagian tengah sebuah khemah besar berpentas. Yang paling Adun intai di mana tempat pembakaran sate ? Tiada. Adun diiringi saudara Azizi membuat keputusan untuk menjelajah dari gerai ke gerai sehingga habis lengkap satu pusingan dan pulang. Karnival ini tiada waktu pembukaan khusus – jadual untuk dihadiri sepanjang.


Apa yang Adun saksikan karnival ini lebih kepada keterlibatan peniaga-peniaga menjual makanan dan minuman – gerai yang paling banyak, selain  dari gerai-gerai dari jabatan dan agensi yang mengambil bahagian seperti gerai Jabatan Kebudayaan Negeri, Persatuan Sejarah, Pemadam, Agensi Dadah, Jabatan Anti Rasuah dan berbagai-bagai lagi, manakala sebahagian lagi ialah khemah-khemah  jualan barang-barang seperti pakaian, motokar, buku, pakaian dan berbagai-bagai lagi. Manakala aktiviti selama tiga hari ini memanglah banyak seperti hari pertama – Selamat Datang sebagai pembukaan, promoso jualan, hiburan ghazal, makan sate percuma (8.00-8.30 petang), ceramah, nasyid, zikir dan nite ride (cycling). Manakala pada hari kedua (hari ini) antaranya senam robik dari 8.00 pagi hingga 10.00, kenduri bubur tradisi, pelancaran basikal APAC, penyampaian hadiah Festival Jalanan. Selepas zohor kemunculan Upin dan Ipin, makan sate percuma (4.00-4,30 petang) dan puncak ialah pelancaran 1001 Rasa Sate Kajang (9.30-10.00 petang) diikuti dengan tarian Melayu, India dan Cina, mini konsert 1001 Rasa Sate Kajang dan Pertunjukan Bunga Api.


Manakala pada hari ketiga pula ialah Senaman 1001 Langakah 1001 Rasa Sate Kajang, Senaman Robek bersama Selebreti, Promoso Gerai Jualan, Helicopter Joy, Persembahan Motor Cross, Persembahan Tarian Persatuan Cina, Pertandingan Karaoke, Wrestling Final, Makan Sate Percuma (4.00-4.30 petang), Persembahan Pemenang Karaoke, Cabutan Bertuah, Persembahan Artis dan Penyampaian Hadiah.


Pada masa Adun membuat pusingan lawatan kebetulan masa pembahagian bubur percuma. Adun diminta mengagihkan bubur kepada mereka yang melalui gerai berkenaan secara percuma. Bila maklumat diketahui Adun datang, Adun ditarik oleh saudara Muhammad Ali Pengarah Program dan Pegawai MPKj ke Acara Penyampaian hadiah kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam Festival Jalanan (basikal) pada sebelah paginya. Setelah membuat cabutan no bertuah dan penyampaian hadiah Adun teruskan lawatan ke berbagai-bagai gerai dan apabila tiba ke Gerai Jabatan Kebudayaan Negeri Selangor, Adun diminta menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta pertandingan permainan taradisi seperti congkak, batu selimban, pertandingan Sepak Raga Berkain Pelikat dan sebagainya. Ramai pula yang minta bergambar bersama. Meneruskan lawatan Adun tiba ke Gerai Persatuan Sejarah Selangor. Adun membeli tiga buah buku iaitu Sejarah negeri selangor Dari Zaman Prasejarah Hingga Kemerdekaan, Tokoh Wanita Selangor dan Melayu Petani. Lawatan dapat diselesaikan sebelum waktu zohor.


Walau macam mana hasrat Adun mau merasai 1001 Rasa Sate Kajang tidak kesampaian. Masa hadir tidak berbetulan dengan masa makan Sate Kajang Percuma yang diadakan setiap hari, tapi hanya untuk setengah jam sahaja. Mungkin kalau mau makan banyak dan kenyang pergilah ke warung-warung sate di bawah-bawah khemah yang banyak itu. Apa yang Adun dapat maklumat mengenai sate bahawa pada petang ini diadakan demonstrasi bakar sate terpanjang untuk dicatat di dalam Record Book of Malaysia. Sate Kajang Terpanjang ialah pada 1998 sepanjang 5 meter dan pada petang ini akan dibakar Sate Terpanjang (2012) sepanjang 20 meter.


Nampaknya untuk Makan 1001 Rasa Sate Kajang 2012 lebih bersifat gimik. Kalau benar-benar mau makan pergilah ke warung-warung disediakan atau di kedai-kedai di Pekan Kajang. Makanlah sebanyak mana yang mau, tapi bayarlah sendiri !

Sekian.

December 22, 2012

Sumbangan Kepada NGO

-->
BBB, 06 Safar 1434 = 20 Disember 2012 (Khamis):

Sebagaimana telah diperkatakan Bangi menjadi tempat yang subur bagi NGO-NGO bergiat. Antara badan-badan ini begitu terkenal pada peringkat nasional seperti Abim, Ikram, Amal Palestin, Haluan, Muslim Care dan sebagainya. Tiap-tiap NGO ini mempunyai kecenderungan, kegiatan dan identiti tersendiri yang boleh dikaji dan diperbincang secara lanjut.

Pada minggu ini Adun berinteraksi dan memberi sumbangan kepada dua buah NGO. Salah satu daripadanya ialah dikenali sebagai PEWARIS. NGO ini dapat disifatkan sebagai sebuah NGO yang kecil yang menumpukan kegiatan pada melakukan kebajikan, menggalak dan memotivasi pelajar, juga menolong masyarakat miskin, sakit dan susah. PEWARIS adalah NGO yang ditubuh oleh mantan pelajar UKM dan lebih banyak bergerak di sekitar Serdang. Semaklum Adun, PEWARIS tidak mempunyai cawangan.

Sebagai sebuah NGO yang lahir dan bergiat terutama di DUN Bangi, NGO ini juga memohon peruntukan dari Adun, bahkan turut menyertai kegiatan kebajikan Adun. Badan NGO ini juga melibatkan diri di dalam memberi kursus dan penerangan. Mutakhir NGO ini memohon peruntukan bagi membeli peralatan untuk kursus dan penerangan. Pada hari  ini Adun menyerahkan peralatan seperti Layar & LCD Projector yang bernilai RM1,500. Barang-barang ini disampaikan melalui saudara Hassan Fikri bin Safar di Pejabat Adun Bangi.


Sementara itu sebuah lagi NGO yang juga sering membuat hubungan dan memohon peruntukan dari Pejabat Adun ialah badan dikenali dengan JERIT kependekan dari `Jeritan Rakyat Tertindas`. Dari nama JERIT itu sendiri dapat dijangkakan kecenderungan NGO ini yang menumpukan perjuangan membela rakyat tertindas, menegakkan keadilan dan agak kiri sifatnya. JERIT sebenarnya sudah lama membuat hubungan dengan Adun. Adun sering menerima risalah-risalah JERIT yang dihantar kepada Adun, pada masa itu Pusatnya ialah di West Country. Hubungan ini berterusan hingga kini. Selain dari memaklumkan kegiatan NGO ini sering memohon peruntukan bagi kegiatan-kegiatannya. Projek terakhirnya yang agak besar yang dilaksanakan pada bulan Disember ini ialah `Pengayuh Perubahan`. Ia merupakan Kempen Rakyat. Bagi projek ini JERIT juga memohon peeuntukan dari Adun. Menurut saudari Sivaranjani Manickam selaku Penyelaras JERIT, bahawa:


Pengayuh Perubahan, ialah kempen penerangan yang akan dilakukan ke setiap buah negeri. Tetapi buat permulaan kempen penerangan bagi perubahan ini bermula di Negeri Sembilan, iaitu pergerakan secara berkonvoi berbasikal diketuai kumpulan berjumlah 20 orang, diikuti pasukan berjumlah 40 orang. Turut sama dalam konvoi ialah peserta satu bas, 1 lori dan 3 kereta. Mereka bergerak ke 23 tempat dalam masa empat hari. Menurut saudari Sivaranjani, ``Setiap tempat yang kami singgah disambut dan disediakan tempat oleh orang-orang Pas. Ini ialah kerana Pas mempunyai struktur pimpinan yang baik dan mempunyai markas dan sukarelawan.`` tambah saudari Sivaranjani, ``Terima kasih di atas kerjasama petugas-petugas dari Pas yang memberi kerjasama yang baik selama kami berkonvoi membuat kunjungan.`` Semasa berkunjung dari satu tempat ke satu tempat ini, konvoi memberi penerangan mengenai isu-isu semasa dan masalah-masalah dihadapi rakyat. Mereka melawat ladang dan memperkatakan mengenai penindasan terhadap pekerja, harga kediaman dan perumahan yang terlalu mahal yang tidak dapat dikejar oleh rakyat yang berhasrat membeli rumah. Masalah cukai pintu, bahkan mereka pergi ke rancangan Felda dan memperkatakan masalah mereka yang perlu kepada pembelaan. Menurut saudari Sivranjani kos yang ditanggung bagi kempen terlampau tinggi. Sebab itu JERIT turut memohon peruntukan kepada Adun. Pihak Adun telah meluluskan permohonan dengan memberi sumbangan RM600/= kepada JERIT melalui saudarai Sivaranjani.

Sekian.

December 21, 2012

Menyelaras Kerja Antara AJK Masjid Al-Umm & SRA Sungai Tangkas

-->
Pejabat Adun Bangi, 06 Safar 1434 = 20 Disember 2012 (Khamis):


Sebagaimana dimaklumkan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor insya Allah akan turun membuat Lawatan Kerja ke Tapak Masjid Al-Umm dan SRA Sungai Tangkas dan Bermesra dengan rakyat melalui kenduri kampong pada 6 Januari 2012 (Ahad), maka oleh kerana lawatan ke kedua-dua tempat adalah pada tarikh yang sama dan berturut-turut waktu, lagi pula di bawah satu urusan dan yang bakal hadir ke kedua-dua tempat sebahagian orang yang sama dan kedua-dua Majlis memerlukan peralatan yang hampir sama dan mengharapkan kerjasama dan bantuan dari tempat-tempat yang sama, maka adalah wajar diselaraskan semua kerja-kerja yang melibatkan dua tempat berkenaan. Lagi pula kedua-duanya melibatkan protokol, penyusunan dan penyelarasan.

Atas rasional di atas Adun Bangi yang dari awal menguruskan kedua-dua tempat menjemput mereka yang berkenaan datang ke Mesyuarat Penyelarasan pada petang hari ini jam 2.30 petang. Adun menjemput Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, Pegawai Tadbir  Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, YDP MPKj, Ahli-Ahli MPKj di Dun Bangi, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung, JKR dan AJK Pembangunan bagi kedua-dua tempat. Al-hamdulillah hampir semua yang dijemput hadir secara sendiri dan sebahagian merupakan wakil-wakil kepimpinan dan juga Jawatan. Kehadiran semua lebih kurang 30 orang.


Jabatan-Jabatan yang amat diperlukan kerjasama mereka,terutama dari segi nasihat protokol, keperluan kepada alat-alat ialah Pejabat Daerah, MPKj, JKR dan PAID. Dari Penghulu dan Ketua-Ketua dari mereka diperlukan penyampaian maklumat, jemputan-jemputan bahkan mendapat dana masjid melalui hubungan baik mereka dengan masyarakat. Tidak semua peralatan dan barang-barang boleh didapati dari agensi-agensi Kerajaan di atas. Sebahagian ada peralatan – ada yang mencukupi dan ada yang tidak menckupi. Rundingan dibuat pihak mana mengambil tawaran bahan yang ada dan bagi setengah yang lain mungkin tidak didapati dan perlu diusahakan dari pihak yang lain atau membeli sendiri.

Penyelarasan perlu diatur misalnya bagaimana sambutan setibanya Y.A.B. Dato` Menteri Besar pada point pertama dan sambutan dan pengiringan hingga point kedua dan pengisian apabila tiba pada sambutan di Tapak Masjid Al-Umm dan seterusnya pengisian di sini yang merupakan peringkat puncak dan bagaimana pada pengakhiran dan pergerakan kepada tempat lawatan kedua ke tapak SRA, Sungai Tangkas dan pengisian di sana dan pengakhirannya.

AJK bagi kedua-dua tempat perlu mempastikan segala tugas masing-masing yang dibahagi terlaksana dengan baik dan licin, baik dari segi jemputan, persediaan tempat, kemudahan tempat parking, kelicinan perjalanan majlis, persediaan pameran, persediaan cenderahati untuk tamu-tamu dan sudah tentu persediaan menerima derma bagi dana masjid. Majlis bagi kedua-dua tempat hendaklah dianggap bagi penduduk Bandar Baru Bangi dan juga Sungai Tangkas sebagai Majlis Penduduk dan kita berharap penduduk bagi kedua tempat dapat hadir seramai mungkin bagi memeriahkan majlis, lebih dari itu agar semua pihak dapat sama mencipta sejarah bagi kedua-dua tempat yang menjadi milik bagi penduduk di kedua-dua tempat. Bagi kesempurnaan ini AJK perlu menyempurnakan persediaan menceriakan suasana hari bersejarah tersebut. Pasukan yang menyediakan makan minum memikul tugas penting dari persediaan masakan dan mempastikan setiap mereka yang datang dapat menikmati jamuan yang disediakan. Biarlah mereka yang datang merasa beruntung dengan kedatangan dan  sama merasa berfungsi terhadap kejayaan majlis. Seboleh-bolehnya mereka merasa sama untuk memberi khidmat dan sumbangan bagi kedua-dua tempat. Kita mendoakan perjalanan majlis akan berjalan dengan licin dan pembinaan bagi kedua-dua bangunan berjalan lancar.


Sesungguhnya bila siapnya bangunan Masjid Al-Umm (tentu memakan masa) menjadi Masjid ketujuh di Dun Bangi (kedua di BBB), di samping beberapa buah masjid lagi sedang diusaha untuk didirikan, manakala bagi Sekolah Rendah Agama dengan siapnya SRA Sungai Tangkas ianya merupakan Sekolah agama ke 14 di Dun Bangi (di BBB ada 6 sekolah). Insya Allah dengan siapnya Masjid Al-Umm dan SRA Sungai Tangkas akan melengkapkan misi Bangi Bandar Ilmu bercirikan Islam.

Sekian.

December 20, 2012

Lawatan Kerja Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Ke Bangi

BBB, 05 Safar 1434 = 19 Disember 2012 (Rabu):


Insya Allah, jika tidak ada aral melintang Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor akan turun membuat Lawatan Kerja ke Bandar Baru Bangi. Dato` Menteri Besar akan melawat Tapak Masjid Al-Umm, di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi dan melawat Tapak Sekolah Rendah Agama (SRA), Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi. Bagi kedua-dua lawatan secara berturut-turut pada 6hb. Januari 2013 itu Dato` Menteri Besar akan bersama rakyat dalam Majlis Mesra dan Kenduri Kampung di kedua-dua tapak berkenaan.



Tapak bagi Masjid Al-Umm sebenarnya telah diperuntukkan sejak Bandar Baru Bangi mula dibangunkan (1975), terletak di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi. Oleh kerana adanya Surau Sementara (Al-Umm) dan wujudnya Masjid di UKM, maka tapak ini tidak dibangunkan. Berikutnya Masjid Al-Hasanah didirikan (2001). Kini dengan pertambahan penduduk, sebuah Masjid bagi Bandar Baru Bangi tidak dapat menampung keperluan mendirikan solat Jumaat. Beberapa surau di bawah Kariah Masjid Al-Hasanah, terpaksa ditingkatkan kepada surau mendirikan Jumaat. Oleh kerana tapak yang ada untuk Masjid, maka diusahakan bagi membina masjid di atas tapak seluas 2 ekar itu. Dari usaha yang dilakukan tanah ini telah digezetkan secara rasmi sebagai Tapak Masjid Al-Umm (Nama ini adalah sempena Surau Pertama di Bandar Baru Bangi - Surau Al-Umm). Keizinan dan JAIS bagi mendirikan Masjid dan memungut derma telah didapati. Bahkan Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm telah diadakan pada 19 Mei 2012 yang lepas. Manakala tapak bagi didirikan Sekolah Agama Sungai Tangkas, adalah diusahakan sejak tahun lepas. Sebidang tanah berhampiran dengan Surau Al-Hidayah, Sungai Tangkas dikenal pasti dan dipohon dari Pejabat Tanah Hulu Langat dan JAIS bagi mendirikan Sekolah Rendah Agama sejak tahun lepas 2011. Al-Hamdulillah permohonan ini mendapat kelulusan dari pihak-pihak berkenaan. Sekolah Rendah Agama Sungai Tangkas akan menampung anak-anak dari penduduk Kampung Sungai Tangkas, Taman Universiti, anak-anak pekerja Kampus Malaysian-German Institut (GMI) dan beberapa taman yang sedang dibangunkan berdekatan dengan GMI tersebut. Oleh kerana pembangunan bagi Masjid Al-Umm bermula begitu juga pembangunan bagi SRA Sungai Tangkas, maka Adun Bangi berusaha menjemput Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor membuat Lawatan Tapak bagi kedua-dua tapak berkenaan. Al-Hamdulillah lawatan bagi kedua-dua tapak berkenaan disetujui, iaitu pada 6 Januari 2013 (Ahad).


Bagi mempastikan persiapan tapak-tapak berkenaan, maka pada 18 Disember (Selasa) kelmarin Adun selaku Pengerusi Pembangunan Masjid Al-Umm dan beberapa AJK membuat lawatan bersama dengan pihak kontrektor membersih tapak dan pada pagi ini (Rabu), kerja-kerja pembersihan bagi Lawatan Kerja Y.A.B. Dato` Menteri Besar dimulakan. Tapak ini tidak begitu jauh dari Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi. Sementara itu pada pagi ini juga Adun bersama saudara Shahrum Pegawai di Pejabat Adun membuat lawatan ke Tapak SRA Sungai Tangkas. Sebelumnya Adun hubungi Tuan Haji Abdul Hadi Husin, Ketua Kampung Sungai Tangkas untuk turun bersama. Kehadiran kami ke Tapak SRA, Sungai Tangkas disambut oleh saudara Mohd Azam Fairuz selaku Site Supervisor bagi Syarikat yang membangunkan SRA, iaitu Syarikat MAMFOR. Kami melihat tapak yang sebenarnya sudah mula dilakukan pembangunan sejak November 2012. Adun bersama Tok Hadi Ketua Kampung dijemput oleh saudara Mohd Azam ke Bilik Operasi dan mendapat taklimat, bahawa tapak bagi SRA Sungai Tangkas adalah seluas 2 ekar. Peruntukan bagi pembinaan Sekolah ini dari Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM5.2 juta. Di atas tapak akan didirikan 2 bangunan empat tingkat dengan 30 bilik darjah, satu surau, satu pusat sumber, satu bilik mesyuarat, satu bilik guru dan satu Pejabat Guru Besar.


Bersyukur kepada Allah, dengan pembangunan yang dapat disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, insya Allah Penduduk Bandar Baru Bangi akan dapat sebuah lagi Masjid dan Penduduk Sungai Tangkas mendapat sebuah SRA bagi kepentingan pendidikan agama anak-anak Kampung Sungai Tangkas.


Kita menunggu Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor berkunjung ke Bangi bagi membuat Lawatan Kerja bagi kedua-dua tapak – Masjid Al-Umm dan SRA Kampung Sungai Tangkas pada 6hb. Januari 2013 nanti insya Allah.

Sekian.