Pejabat Adun Bangi, 06 Safar 1434 = 20 Disember 2012
(Khamis):
Sebagaimana dimaklumkan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul
Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor insya Allah akan turun membuat
Lawatan Kerja ke Tapak Masjid Al-Umm dan SRA Sungai Tangkas dan Bermesra dengan
rakyat melalui kenduri kampong pada 6 Januari 2012 (Ahad), maka oleh kerana
lawatan ke kedua-dua tempat adalah pada tarikh yang sama dan berturut-turut
waktu, lagi pula di bawah satu urusan dan yang bakal hadir ke kedua-dua tempat
sebahagian orang yang sama dan kedua-dua Majlis memerlukan peralatan yang hampir
sama dan mengharapkan kerjasama dan bantuan dari tempat-tempat yang sama, maka
adalah wajar diselaraskan semua kerja-kerja yang melibatkan dua tempat
berkenaan. Lagi pula kedua-duanya melibatkan protokol, penyusunan dan
penyelarasan.
Atas rasional di atas Adun Bangi yang dari awal menguruskan
kedua-dua tempat menjemput mereka yang berkenaan datang ke Mesyuarat Penyelarasan
pada petang hari ini jam 2.30 petang. Adun menjemput Tuan Pegawai Daerah Hulu
Langat, Pegawai Tadbir Pejabat Agama
Daerah Hulu Langat, YDP MPKj, Ahli-Ahli MPKj di Dun Bangi, Penghulu dan
Ketua-Ketua Kampung, JKR dan AJK Pembangunan bagi kedua-dua tempat.
Al-hamdulillah hampir semua yang dijemput hadir secara sendiri dan sebahagian
merupakan wakil-wakil kepimpinan dan juga Jawatan. Kehadiran semua lebih kurang
30 orang.
Jabatan-Jabatan yang amat diperlukan kerjasama mereka,terutama
dari segi nasihat protokol, keperluan kepada alat-alat ialah Pejabat Daerah,
MPKj, JKR dan PAID. Dari Penghulu dan Ketua-Ketua dari mereka diperlukan
penyampaian maklumat, jemputan-jemputan bahkan mendapat dana masjid melalui
hubungan baik mereka dengan masyarakat. Tidak semua peralatan dan barang-barang
boleh didapati dari agensi-agensi Kerajaan di atas. Sebahagian ada peralatan –
ada yang mencukupi dan ada yang tidak menckupi. Rundingan dibuat pihak mana
mengambil tawaran bahan yang ada dan bagi setengah yang lain mungkin tidak
didapati dan perlu diusahakan dari pihak yang lain atau membeli sendiri.
Penyelarasan perlu diatur misalnya bagaimana sambutan
setibanya Y.A.B. Dato` Menteri Besar pada point pertama dan sambutan dan
pengiringan hingga point kedua dan pengisian apabila tiba pada sambutan di
Tapak Masjid Al-Umm dan seterusnya pengisian di sini yang merupakan peringkat
puncak dan bagaimana pada pengakhiran dan pergerakan kepada tempat lawatan
kedua ke tapak SRA, Sungai Tangkas dan pengisian di sana dan pengakhirannya.
AJK bagi kedua-dua tempat perlu mempastikan segala tugas
masing-masing yang dibahagi terlaksana dengan baik dan licin, baik dari segi
jemputan, persediaan tempat, kemudahan tempat parking, kelicinan perjalanan
majlis, persediaan pameran, persediaan cenderahati untuk tamu-tamu dan sudah
tentu persediaan menerima derma bagi dana masjid. Majlis bagi kedua-dua tempat
hendaklah dianggap bagi penduduk Bandar Baru Bangi dan juga Sungai Tangkas sebagai
Majlis Penduduk dan kita berharap penduduk bagi kedua tempat dapat hadir
seramai mungkin bagi memeriahkan majlis, lebih dari itu agar semua pihak dapat
sama mencipta sejarah bagi kedua-dua tempat yang menjadi milik bagi penduduk di
kedua-dua tempat. Bagi kesempurnaan ini AJK perlu menyempurnakan persediaan
menceriakan suasana hari bersejarah tersebut. Pasukan yang menyediakan makan
minum memikul tugas penting dari persediaan masakan dan mempastikan setiap
mereka yang datang dapat menikmati jamuan yang disediakan. Biarlah mereka yang
datang merasa beruntung dengan kedatangan dan
sama merasa berfungsi terhadap kejayaan majlis. Seboleh-bolehnya mereka
merasa sama untuk memberi khidmat dan sumbangan bagi kedua-dua tempat. Kita
mendoakan perjalanan majlis akan berjalan dengan licin dan pembinaan bagi
kedua-dua bangunan berjalan lancar.
Sesungguhnya bila siapnya bangunan Masjid Al-Umm (tentu
memakan masa) menjadi Masjid ketujuh di Dun Bangi (kedua di BBB), di samping
beberapa buah masjid lagi sedang diusaha untuk didirikan, manakala bagi Sekolah
Rendah Agama dengan siapnya SRA Sungai Tangkas ianya merupakan Sekolah agama ke
14 di Dun Bangi (di BBB ada 6 sekolah). Insya Allah dengan siapnya Masjid
Al-Umm dan SRA Sungai Tangkas akan melengkapkan misi Bangi Bandar Ilmu
bercirikan Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment