December 2, 2012

Melawat Yang Sakit Ke Aduan Jalan Dan Perumahan

Melawat Yang Sakit Ke Aduan Jalan Dan Perumahan

Dun Bangi, 17 Muharram 1434 = 01 Disember 2012 (Sabtu):

Semasa rehat pada Sidang Dewan Negeri Selangor berlangsung, Adun ditemui oleh salah seorang pembeli Asrama Perumahan Cybertel Sungai Tangkas. Beliau berharap agar permasalahan perumahan yang kini terbiar dapat dibawa ke dalam sidang, dan pada beberapa hari lepas Adun menerima salinan aduan dari Persatuan Penduduk Taman Universiti, Jalan Pintar, Sungai Tangkas berkenaan banjir lumpur yang berlaku di Jalan Sungai Tangkas yang disertai dengan gambar-gambar.


Pagi ini setelah Sidang berakhir semalam, Adun turun padang bagi melawat lokasi aduan bersama saudara Azizi. Tetapi sebelum melawat kedua-dua lokasi berkenaan kami melawat AJK kami yang sakit suami isteri di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi. Iaitu Tuan Haji Mokri dan isterinya Puan Hajjah Zaiton. Turun beserta kami menziarah ialah isteri Adun Puan Hajjah Mu`minah Bt. Yusoff, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan isterinya Puan Mariah, saudara Harun Ar-Rashid AJK Lajnah Kebajikan dan saudara Shahrum Abdullah dari Pejabat Adun. Tuan Haji Mokri mengalami demam dan dimasukkan ke Wad di Hospital Kajang dan baru pulang dari Hospital sejak dua hari lepas (kami tidak tahu semasa beliau dimasukkan ke Hospital), manakala isterinya juga sakit sebelumnya dan juga dimasukkan ke Hospital – kini mereka sedang berihat di rumah mereka di Bandar Baru Bangi. Semasa kehadiran kami, turut sama hadir jiran-jiran Puan Hajjah Zaiton. Setelah bertanya khabar dan mendapat maklumat dengan keadaan kedua suami isteri berkenaan, kami menyampaikan sedikit buah tangan sebagai tanda lawatan dan ingatan.


Adun bersama saudara Azizi dan saudara Harun Ar-Rashid terlebih awal memohon diri dari Tuan Haji Mokri dan Puan Hajjah Zaiton, kerana mau pergi melawat lokasi-lokasi aduan. Pertama sekali kami ke Sungai Tangkas, mempastikan tempat aduan yang berlaku banjir lumur. Tempat dimaksudkan ialah Perumahan Pangsapura B & G/MCT dan kedai-kedai yang hampir siap di hadapan Balai Polis Sungai Tangkas. Sebelum ini pihak kontrektor telah meratakan tanah bagi kawasan di hadapan kedai bagi tempat parking, laman rumput dan pokok. Pada masa kerja-kerja meratakan tanah ini berlaku hujan menyebabkan air lumpur mengalir ke jalan utama Sungai Tangkas sebagaimana dalam gambar yang dikirimkan. Menurut saudara Azizi pada masa perataan tanah di hadapan kedai berkenaan dilakukan beliau sendiri melihatnya ketika menghantar dan mengambil anaknya dari Sekolah Al-Amin berhampiran dengan Balai Polis Sungai Tangkas. Pada masa kami tiba, sudah tidak ada banjir lumpur dan keadaan kembali normal dan teratur. Adun berpendapat dengan perataan tanah yang dibuat, jika berlaku hujan kadar biasa lebat, maka tidak akan berlaku banjir lumpur. Adapun banjir yang kerap berlaku di bawah terowong ke luar dari Sungai tangkas ke Medan Parking Komuter, keadaan sukar di atasi selagi flyover tidak dibina dari GMI-KWSP ke Jalan Utama Kajang-Bangi.

Dari Rumah Pangsapuri Sungai Tangkas, kami masuk ke dalam ke Taman Universiti. Pandangan sesungguhnya menyakitkan mata. Perumahan (Asrama) Cybertel yang pada tahun-tahun 1990an begitu maju dan menjadi asrama penghuni berbagai-bagai Pengajian Tinggi di sini tinggal terbiar. Berpuluh-puluh bangunan dan asrama di atas tanah 30 ekar tidak dijaga dan bangunan-bangunan jadi mangsa vandalisme. Dikatakan pihak Syarikat Bidari gagal menguruskan pentadbiran. Pembeli-pembeli unit asrama yang jumlahnya melebihi 1.000 orang yang bukan saja tinggal di Selangor, tetapi di berbagai negeri gagal mendapat pulangan, bahkan rugi dari segi penanaman modal mereka. Untuk mendapat kata sepakat bagi membuat tindakan begitu sukar (pernah dilakukan oleh Adun). Masalah pemilikan tanah tidak selesai yang sebahagian besar masih di atas nama ABIM. Lantaran itu perumahan yang berhampiran dengan Malaysian-German Institute dan Essex EPF ini terbiar, mendukacitakan dan amat menyakitkan mata dan hati..


Kami pergi jauh ke dalam dan mendapati ada Syarikat perumahan baru membina kedai dan perumahan di sebelah kawasan bangunan-bangunan terbengkalai. Syarikat Pembina ialah Mr. Koo yang telah membina 55 bangunan (17 kedai dan 38 rumah di atas tanah 5 ekar. Kedai RM800,000 seunit dan rumahRM400,000 seunit) telah habis ditempah. Menurut kontrektor Plaster & Ceiling yang bekerja di sini menyatakan,``Tanah 3 ekar di dalam Kampus Cybertel yang dimiliki secara berasingan, dalam urusan dengan Syarikat Perumahan yang membangunkan kedai dan rumah akan dibeli bagi mendirikan kedai dan rumah. Tanah tiga ekar ini mungkin milik Al-Marhum Profesor Dr. Ismail Salleh yang membangunkan Pusat Pengajian Twintech di sini dahulu yang sempat pindah milik tanah berkenaan. Mungkin kini dijual oleh warisnya. Pada masa kehadiran kami ada pekerja-pekerja sedang memotong rumput di tanah bakal didirikan perumahan oleh Syarikat Mr, Koo berkenaan. Adapun tanah yang lain yang begitu luas termasuk perumahan dan asrama yang begitu banyak bermasalah dari segi pemilikan dan masih belum dapat diselesaikan.


Masalah Perumahan Cybertel ini telah beberapa kali dibawa kepada pihak atasan, setakat ini masih sukar untuk mencari penyelesaian. Amat sayang tanah berlokasi begitu strategic berdekatan dengan Malaysian-German Institute dan Jabatan-Jabatan Kerajaan terbiar dan tidak dapat diusaha bagi penyelesaian dan pemulihan.

Sekian.


* Note

Gambar Aduan dibuat pada 19 hb November 2012



Gambar Yb melawat pada 01.12.2012



No comments:

Post a Comment