Shah Alam, 21 Muharram 1434 = 05 Disember 2012 (Rabu):
Sebuah Wacana (rasminya Makan Malam) yang amat bermanfaat kepada khalayak intelektual – selaku jemputan yang memenuhi Dewan Ballroom Hotel Concorde Shah Alam. B.J.Habibie Mantan Presiden Indonesia adalah Tamu Kehormat dan Istimewa Kerajaan Negeri Selangor. Harapan negeri, melalui wacana diharap mencetuskan inspirasi segar di kalangan pimpinan dan intelektual Selangor sebagai motivasi bagi mereka agar tercetus idea-idea segar dan bernas serta bersemangat bagi memajukan negeri Selangor. Hadir ke Majlis istimewa ini ialah YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor, YB. Dato` Seri Anwar Ibrahim Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Exco-Exco, Adun-Adun, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan pimpinan-pimpinan.
Profesor Dr. Engineer Bacharuddin Jusof Habibie adalah anak kelahiran revolusi Indonesia mencapai Kemerdekaan Indonesia dari Belanda 1945. Mendukung perjuangan kemerdekaan ini berbagai-bagai idealis dan aliran yang diperjuang bagi menegak dan mengisi kemerdekaan. Aliran dominant pada zaman perjuangan kemerdekaan ialah Nasionalis yang melahirkan kepimpinan Soekarno sebagai Presiden Indonesia pertama dan Muhammad Hatta sebagai Timbalan Presiden dan lanjutan bagi anak Soekarno -Megawati, turut menentukan jalur perjuangan kemerdekaan Indonesia ialah pemimpin militer yang tercermin pada pimpinan Suharto dan satu aliran yang kuat ialah Islam yang mempunyai pecahan-pecahan yang tercermin pada Gusdur (Abdul Rahman Wahid).
Semua pihak menyedari revolusi tidak akan berterusan setelah isu tamat dan diselesaikan dengan pencapaian kemerdekaan. Yang perlu adalah pengisian dan pengisian tidak mampu dicapai secara sempurna tanpa ilmu. Bagi pengisian ini lahirnya universitas-universitas kerajaan dan swasta mendidik anak bangsa mengeluarkan intelektual bagi keperluan bangsa dan Negara. Adalah dirasai oleh golongan intelektual muda pendidikan tidak cukup hanya di dalam negera, tetapi perlu kepada segolongan yang mendapat pendidikan luar Negara. B.J. Habibie adalah seorang intelektual muda yang berjiwa Islam salah seorang pelajar yang dihantar menyambung pengajian di luar negera. Antara Negara yang menjadi sanjungan yang berdaya intelektual tinggi dan bermutu dari segi rekacipta ialah German. Ingat kepada Profesor Sutan Takdir Alisjahbana yang menyanjung barat. Beliau sendiri ke German, bahkan berkahwin dengan wanita German. B.J. Habibie yang bergenerasi berikutnya memilih German menyambung bidang Engineering. Beliau boleh disifatkan antara kelompok generasi muda yang menggerakkan zaman renaissance (istilah ini mungkin agak besar) di Indonesia yang melahirkan tokoh-tokoh intelektual muda di Indonesia yang B.J. Habibie boleh disifatkan sebagai intelektual muda yang berjiwa Islam. Tokoh muda Islam, tetapi lebih bersifat tempatan ialah Amin Rais, manakala yang liberal dan secular dan mendapat didikan di Amerika ialah Nurkhalis Majid. Ada lanjutan dari mereka ini.
Dari segi latar B.J. Habibie, menurut Dato` Menteri Besar Selangor yang menyampaikan ucapan alu-aluan, B.J.Habibie dengan semangat berkubar-kubar mau melonjakkan Indonesia ke persada antarabangsa beliau dan rakan seangkatan intelektual membawa teknologi moden ke Indonesia. Beliau mengepalai membina kereta kebal Negara, merekabentuk pesawat terbang S28-130, CH235, membina helicopter, dan pesawat tanpa pemandu. Beliau juga merancang untuk membawa pulang jurutera dari Amerika bagi membina setilet, Pesawat IMF. Tapi pihak Amerika khuatir terhadap perkembangan bidang tentera Indonesia. Perancangan terbantut disebabkan halangan kekuasaan di samping kekurangan biaya. Berikut dari itu – bukan niat asal, beliau terjun dalam bidang politik hingga menjadi Wakil Presiden pada Mac 1998. Pada masa itu inflasi melanda Indonesia. Mahasiswa menunjuk perasaan yang membawa kepada kejatuhan Presiden Soeharto. Kejatuhannya membawa cahaya kepada pemerintahan demokrasi Indonesia. Pilihanraya 1999 secara demokratik disertai 48 parti politik yang membawa kepada kenaikan B.J.Habibie sebagai Presiden yang membawa reformasi kepada Indonesia. Meskipun pemerintahan B.J.Habibie tidak sampai sepenggal, beliau membawa perubahan ketara bagi Indonesia, iaitu pilihanraya dan pemerintahan secara demokrasi, membebaskan tahanan politik yang ditahan tanpa bicara, kebebasan bersuara dan kebebasan media, berusaha membasmi rasuah dan meletakkan Indonesia ke hadapan dan maju dalam bidang teknik dan menghasilkan pesawat terbang-tempur.
Y.B.Dato` Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memuji Bapak B.J.Habibie yang berjaya menegakkan demokrasi di Indonesia tanpa campur tangan asing. Amanah yang diberi kepadanya memimpin Indonesia atas dasar kata Dato` Seri Anwar, sebagaimana dikata oleh Pak Habibie, ``I am answering to God``. Menurut Dato` Seri, ``Pak Habibie benar-benar seorang reformis. Beliau mengambil langkah yang tak konvensional, tidak protokol dan menekankan `justice for people witout compromise.` Pak Habibie juga kata Dato` Seri Anwar, mengambil langkah `Free Media in Indonesia.` Katanya lagi, ``Pak Habibie masuk politik - datang sebagai Penyelamat Indonesia. Sebaik menyempurnakan misi ini beliau berundur secara terhormat dalam masa yang singkat.``
Dalam ucapan balasnya Bapak B.J. Habibie melontarkan jiwa besarnya melihat Indonesia satu-satunya Negara maritin terbesar di dunia seluas Amerika. Air bukan pemisah bagi Indonesia, tetapi gelombang yang terus aktif menggerakkan masyarakat Indonesia agar terus aktif (Prof. Sutan Takdir Alisjahbana melihat Indonesia adalah Bumintara – Istilah beliau). Kata Pak Habibie, ``Kita perjuang Irian Jaya menjadi sebahagian dari Indonesia.`` (Pada masanya Timur Timor dilepaskan atas prinsip demokrasi). Bapak B.J.Habibie bermegah dengan perjuangan kemerdekaan Indonesia yang merebut kebebasan dari Belanda. Beliau juga melakarkan cita-citanya sebagai anak muda mau membina Indonesia sebagai bangsa besar, katanya,
"Saya pulang dari German dengan 20 tenaga muda Indonesia dan menterjemahkan cita-cita memperkasakan bidang teknologi di Indonesia.`` Tambahnya, dari usaha dan pemupukan semangat jiwa muda, beliau dan pasukannya berjaya mewujudkan 48,000 tenaga teknik di Indonesia.
Kata Pak B.J. Habibie, beliau pernah ditawarkan menjadi warga Negara German, tetapi beliau menolak. Katanya, "B.J.Habibie tetap Putera Indonesia!"
Sekian.
Tuan admin, mohon masukkan link blog kami dalam senarai di blog tuan untuk tujuan promosi blog. Terima kasih. #ABU
ReplyDeletehttp://pemudatitiwangsa.blogspot.com