December 19, 2012

Sikap Anti Intelektual Memalukan - Zainuddin dan Timbalan Menteri Pelajaran Berkenaan Perlu Mohon Maaf

BBB, 04 Safar 1434 = 18 Disember 2012 (Selasa):


Kehadiran Mantan Presiden Indonesia B.J. Habibie ke Malaysia, khususnya ke Selangor dan Pulau Pinang (5-7 Disember 2012) diberi ulasan negatif oleh Bekas Menteri Penerangan dan Wartawan Zainuddin Maidin kononnya Pak Habibie sebagai `gunting dalam lipatan` kepada Bekas Presiden Suharto. Beliau membandingkan aspek ini kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim sebagai B.J.Habibie dalam hubungan dengan Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Sikap celupar dan tidak menghormati Negarawan Tetangga yang dihormati dunia itu amatlah dikesali. Sikap negatif Zainuddin Maidin ini bukan saja mencerminkan tahap mentaliti Zainuddin semata-mata, tetapi melibatkan maruah negara dan kemarahan rakyat di Indonesia yang boleh merenggangkan hubungan antara kedua Negara. Sepatutnya ada kepekaan oleh pihak pemerintah, khususnya Dato' Seri Najib menegur Zainuddin yang tindakan tidak bertanggungjawabnya mencemarkan imej Malaysia dan merosakkan hubungan antara kedua Negara.

Hari ini Presiden Indonesia Sosilo BambangYodhoyono melawat Malaysia bagi bertukar-tukar fikiran sebagai memenuhi agenda tahunan, bersama berita lawatan timbul kemungkinan akan dibincangkan isu penghinaan Zainuddin terhadap B.J. Habibie. Ini memberi erti bahawa sekurang-kurangnya pihak Indonesia, sebenarnya juga di Malaysia tidak senang dengan tuduhan yang dibuat oleh Zainuddin Maidin. Jawapan Zainuddin terhadap isu yang timbul dari dirinya sendiri, kononnya bertujuan baik, mencerminkan tahap intelektual dan di mana dia meletakkan maruah dirinya. Yang menjadi perhatian sekarang dan juga penilaian khalayak mau melihat dan menilai tahap kewibawaan Dato` Seri Najib dalam menangani isu yang menyentuh sensitiviti pemimpin dan rakyat Indonesia. Apakah tindakan yang bakal diambil terhadap Zainuddin Maidin.


Sebenarnya komentar terhadap kehadiran Bapak B.J. Habibie ke Selangor dan Penang bukan hanya dibuat oleh Zainuddin Maidin, tetapi turut dibuat oleh seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia yang nampaknya mencari kesempatan publisiti murah dan berpolitik tidak matang yang juga menuduh usaha membawa Bapak B.J. Habibie oleh pihak Pakatan Rakyat sebagai mencari kekuatan dan penggunaan pihak luar bagi mencampuri politik dalam negeri atau dalam kata membawa musuh menikam Negara dari belakang.

Kita agak pelik kehadiran seorang negarawan yang sepatutnya disanjung, tetapi Zainuddin tersudut kepada pandangan negatif, Banyak dapat dipelajari dari Negarawan berkenaan. Misalnya hasil kepimpinannya, walaupun pendek dapat membawa demokrasi dan ketelusaan di Indonesia yang kini lebih baik dari Malaysia, usahanya menaikkan imej Indonesia dalam bidang sains dan Teknologi sekurang-kurangnya pada masanya amat mengkagumkan. Tidak ada elemen campurtangan politik, apa lagi Bapak Habibie trelah bersara dari bidang politik.

Apa yang lebih ketara, usaha membawa Bapak B.J Habibie lebih bersifat penghormatan terhadap beliau di samping mendapat manfaat dari keilmuan mendalam dan pengalaman luas beliau. Kalau di universiti, amalan menjemput tokoh-tokoh ilmuan membentang keilmuan dan pengalamannya adalah perkara biasa untuk dimanfaat oleh para pensyarah dan para pelajar. Kehadiran Bapak B.J.Habibie lebih besar dari itu, seharusnya beliau disambut dan diberi penghormatan pada peringkat negara. Kita agak hairan seorang Timbalan Menteri Pelajaran tidak melihat kehadiran B.J.Habibie secara positif dalam mana beliau dapat dimanfaat dari segi keilmuan dan pengalaman.

Apa yang dapat kita nilaikan, betapa cetek pemikiran sebahagian pimpinan dari pihak pemerintah. Yang jelas mereka adalah bersifat anti intelektual. Mereka merosakkan imej Malaysia dan hubungan antara dua Negara – Malaysia & Indonesia. Mereka perlu memohon maaf di atas keterlanjuran, jika tidak pihak kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap mereka. Sekurang-kurangnya sebagai hukuman dan pengajaran kepada yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment