December 13, 2012

PADAT terbitkan Buletin Terbaru

Padat, 27 Muharram 1434 = 13 Disember 2012 (Khamis):


Sebagai sebuah Perbadanan yang memberi perhatian terhadap Adat Melayu dan Warisan PADAT membuat kajian, penyelidikan, kegiatan dan laporan terhadap bidang-bidang berkenaan. Hasil-hasil penyelidikan dan dapatan diterbitkan menurut kategori yang bersesuaian sama ada dalam bentuk buku atau jurnal yang kedua-duanya bersifat ilmiah. Satu penerbitan lagi yang lebih bersifat laporan dan lebih ringan ialah Buletin. Ketiga-tiga bidang ini diterbitkan oleh PADAT. Dari segi buku misalnya diterbitkan kajian mengenai Warisan Masjid-Masjid Lama Di Selangor (2012) yang diusahakan oleh saudara Mohd. Zainudin Abdullah bersama saudari Noorhayati Md. Yatim. PADAT juga menerbitkan Jurnal yang diberi judul Seri Alam yang pada dasarnya diterbitkan secara tahunan.

Penerbitan terbaru dan menjadi fokus tulisan ini ialah Buletin PADAT yang selama ini diterbitkan secara dwi-tahunan. Penerbitan terbaru ialah Buletin PADAT Bil. 1/2012 bagi Januari – Jun 2012. Penerbitan ini adalah selepas perlantikan Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Dapatlah dikatakan bahawa penerbitan ini sebagai penghormatan terhadap Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco berkenaan. Penghormatan ini diperkukuhkan dengan gambar kulit hadapan bagi Buletin Bil.1/2012 dengan gambar D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyampaikan Wathiqah Perlantikan Exco kepada Y.B. Dr. Ahmad Yunus bertarikh 18 Januari 2012.


Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar yang turut dilantik sebagai Pengerusi PADAT melalui pengumuman oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor dalam perutusannya dalam Buletin berkenaan menyatakan:

``Buletin PADAT kembali diterbitkan setelah terbitan terakhirnya Bil. 2/2011, Jun-Dis. 2011. Penerbitan ini merupakan penerbitan Buletin PADAT pertama di bawah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Y.B. Dr. Ahmad Yunus bin Hairi yang dilantik sebagai Exco pada 18 Januari 2012 oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Buletin PADAT terbaru merangkumi masa antara Januari –Jun 2012, maka kandungan Buletin ini berfokus kepada kegiatan yang berlaku dalam masa setengah tahun terawal 2012. Bersama dengan fokus utama terhadap perlantikan Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan turut dimuatkan Majlis Perasmian Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat pada 24 Mac, 2012 dilakukan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor. Majlis Penyerahan Bangunan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS Lama) kepada PADAT pada 30 Mac 2012, Majlis Muzium & Warisan Daerah Hulu Langat pada 30-31 Mac 2012, Bengkel Busana Selangor: Teknik Pemakaian Sampin Dan Setanjak yang berlangsung pada 03-04 April 2012 di PADAT, Program Latihan Skuba Arkeologi Bawah Air Di Pulau Redang, Terengganu pada 9-11 April 2012, Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor Tahun 2012 pada 24-25 Mei, 2012 di PADAT, Bengkel Jahitan Kebaya Tradisional Selangor yang berlangsung dari 24 – 26 April 2012, Bengkel Penulisan dan Penerbitan Bahan Ilmiah selama dua hari, iaitu pada 12-13 Jun 2012 di PADAT, Bengkel Kajian Naskhah Kesultanan Melayu Selangor yang berlangsung pada 19 & 20 Jun 2012 dan Program Muzium Dan Warisan Peringkat Daerah Kuala Selangor yang berlangsung pada 15 & 16 Jun 2012. Terdapat beberapa tulisan ringkas mengenai bahan muzium yang tidak ada kaitan dengan masa kegiatan, manakala kegitan-kegiatan kecil yang lain disusun kegiatan dari bulan ke bulan (Januari-Jun 2012). Sesungguhnya Buletin PADAT merakam maklumat kegiatan yang berlaku dalam tempoh Buletin berkenaan. Topik-topik ditulis secara ringkas dengan bahasa mudah, ianya adalah merupakan panduan maklumat bagi pembaca-pembaca dan pengkaji-pengkaji. Ianya dapat dijadikan asas permulaan yang darinya dapat diperluas dan diperdalam dengan bahan-bahan maklumat yang lain yang lebih bersifat ilmiah dan mendalam. Boleh juga dikatakan bahawa buletin adalah merupakan arkib maklumat awal bagi kajian lebih mendalam.

Buletin keluaran kali ini telah diedarkan kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor, Ahli-Ahli Exco, Adun-Adun dan Pegawai-Pegawai Kerajaan , iaitu pada 26 November 2012 yang pada masa itu Sidang Dewan Negeri sedang berjalan (19-30 November 2012).

Sekian.

No comments:

Post a Comment