BBB, 19 Muharram 1434 = 03 Disember 2012 (Isnin):
BTRG adalah merupakan konsep Negara Islam dan ia adalah prinsip nyata dari Al-Qur`an: Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Saba` 34:15)
Bermaksud: Negara yang Baik Di Bawah Riayah Pengampunan Tuhan
Ayat-ayat lain berhubung dengan konsep bernegara ialah Al-Baladil Amin (At-Tin, 95:3)
Bermaksud: Negara Yang Aman Damai
Ayat: Rab`b ij`al hadha al-Balada Aamina (Ibrahim, 14:35) Bermaksud:
Jadikanlah (ya Tuhan) Negara ini aman
Ayat Wa`l-Balad al-Tayyibu yakhruju nabatahi bi izni Rabbih (Al-A`raf, 7: 58)
Bermaksud: Negara makmur itu mengeluarkan hasil pertanian dengan izin Tuhannya
Dan beberapa ayat yang lain.
Antara ciri-ciri BTRG ialah:
- Negara Berkepercayaan kepada Tuhan
- Berusaha ke arah kemakmuran
- Mementingkan keamanan
- Mengeluarkan hasil-mahsul termasuk pertanian
- Mementingkan kebajikan
Negara Berkepercayaan kepada Tuhan
Dari segi perlembagaan Artikal 3 Perlembagaan Persekutuan menurut setengah pendapat adalah mencukupi untuk menyimpulkan bahawa Malaysia mempunyai ciri-ciri sebuah Negara Islam. Artikal 3 menyatakan bahawa Islam adalah agama Negara, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di dalam mana-mana bahagian Negara. Namun menurut Tun Salleh Abas Mantan Ketua Hakim Negara:
``Dalam keadaan yang paling baik sekalipun, Malaysia hanya boleh dikatakan sebagai sebuah Negara orang Islam dan ia tidak akan menjadi sebuah Negara Islam selagi perlembagaannya kekal di dalam bentuknya yang sekular.``
Menurutnya lagi, ``Undang-undang syariah tidak boleh bertentangan dengan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau perlembagaan.`` Tambah Tun Salleh.
``Orang-orang Islam wajib menerima Islam secara keseluruhan – terima satu jalan dan tolak jalan-jalan lain, Islam dan Sekularisme tidak boleh dikompromi.`` (Annual Bakhri Haji Haron & Kamarul Zaman Haji Yusoff, Negara Islam, 2002: 76-77).
Walaupun pemerintahan negara tidak dapat disifatkan sebagai negera Islam sepenuhnya atau paling kurang hanya sebagai Negara Umat Islam, terutama dari segi majoriti penduduknya melebihi 60% umat Islam, termasuk di negeri Selangor - namun dapat dibuktikan bahawa Selangor adalah menuju ke arah (BTRG). Umat Islam di Negeri Selangor berada di bawah lindungan kesultanan yang menjadi Ketua Agama Islam. Bagi kelicinan pentadbiran pada peringkat Istana, maka peruntukan khas 2013 disediakan, iaitu sejumlah RM20,287,970.81.
Peruntukan Untuk Kemakmuran (Termasuk Pendidikan Islam)
Peruntukan Belanjawan sebanyak RM1,630,000,000 sebenarnya mengukuhkan harapan dari segi menuju kepada pembinaan Negara Islam khususnya untuk kemakmuran, keamanan, perusahaan, pertanian, perkhidmatan dan berkebajikan. Namun secara lebih detail, kita dapat lihat peruntukan bagi kemajuan Islam di negeri Selangor merupakan antara peruntukan terbesar dari segi Belanjawan negeri 2013 yang memperuntukkan sebanyak RM120,000,000.
Dari peruntukan ini digunakan bagi membina, mentadbir dan memakmurkan masjid yang mendekati 700 buah dan surau mendekati 2,000 buah. Masjid dan surau tidak saja menjadi tempat ibadat secara khusus, tetapi menjadi tempat kegiatan pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Lebih dari itu dari peruntukan di bawah MB & Setiausaha sebanyak RM454,948,174.03 diguna untuk pendidikan, khususnya Islam. Ini termasuk pendidikan pada peringkat tinggi (universiti), Sekolah menengah agama, Sekolah rendah, kafa, tahfiz dan sebagainya yang melibatkan lebih kurang 1,000,000 juta pelajar dengan ribuan guru yang mendidik secara Islam. Walau macam mana masyarakat masih merasa ketidakcukupan Sekolah Agama, terutama pada peringkat menengah, menyebabkan antara persatuan menghantar memorandum kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan (30.11.2012) di Dewan Negeri Selangor bagi memperbanyakkan Sekolah-sekolah agama, terutama pada peringkat menengah, kekurangan tempat belajar, terutama pada peringkat menengah terbukti apabila hanya 20% peratus murid yang lulus peperiksaan akhir Sekolah rendah agama bertaraf mumtaz yang dapat menyambung pengajian ke periungkat menengah aliran Islam. Usaha pihak kerajaan dan tuntutan rakyat ini mencerminkan hasrat semua pihak maukan peluang yang lebih bagi mendapat pendidikan Islam. Pihak swasta memang ada menubuhkan Sekolah agama peringkat rendah dan menengah contoh Ikram, ABIM dan badan-badan yang lain, namun masih tidak dapat menampung kehendak rakyat dan masyarakat beragama Islam. Pembinaan perpustakaan juga dilakukan pada setiap daerah bagi melengkapkan pembelajaran. Usaha meningkatkan Islam dapat dilihat dengan peruntukan bagi Kehakiman Syariah yang berjumlah RM27,361,539.58 dan juga peruntukan bagi Pejabat Mufti yang beriumlah RM3,090.601.83.
Apa yang dibincangkan di atas boleh disifatkan sebagai pendekatan membina Insan dari segi akli, rohani dan keinsanan. Usaha bagi memakmurkan negeri Selangor yang selari dengan yang selari dengan kehendak Islam dapat dilihat dari usaha kerajaan negeri menyediakan kemudahan fizikal dari segi infra-struktur. Misalnya dari segi kemudahan jalan raya yang peruntukan bagi JKR ini adalah paling besar, iaitu berjumlah RM167,667,368.39. Bagi menjamin keselesaan dari segi fizikal juga bagi mengatasi banjir dan kerosakan maka peruntukan bagi pengairan dan saliran adalah juga merupakan antara peruntukan terbesar, iaitu RM117,642,878.92. Lantaran sedemikian Selangor mempunyai jalanraya terbaik bagi kemudahan perjalanan dan juga penjagaan pengairan dan saliran bagi menjamin kemudahan dan keselamatan penduduk. Bagi menjamin pentadbiran dan perjalanan negeri berjalan dengan baik, maka diperuntukkan belanjawan bagi Dewan Negeri sebanyak RM9,701,164.00 dan Pengurusan RM21,495,860.44, Perkhidmatan Awam RM110,173,570 dan pelbagai perkhidmatan sebanyak RM74,794,939.00. Demikian juga bagi Perbendaharaan Negeri diperuntukkan sebanyak RM64,419,934.00. Peruntukan pentadbiran bagi setiap Pejabat Daerah juga disediakan antara RM8,000,000 hingga RM13,000,000. Sesuai dengan kehidupan dan pentadbiran moden, maka peruntukan bagi pengkomputaran disediakan sebanyak RM 1,000,120.00.
Mementingkan Keamanan
Merupakan bidang yang luas, penyediaan berbagai kemudahan baik dari segi perumahan (di bawah peruntukan MB & S/U), jalan raya, Perkhidmatan Bandar dan Desa termasuk pengangkutan yang berjumlah RM10,475,372.12 adalah untuk kemudahan dan keamanan. Keamanan timbul dari kesempurnaan perkhidmatan, ada tempat lindungan, ada peluang pekerjaan yang banyak disediakan di negeri Selangor baik dari segi perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan. Pada dasarnya aspek keselamatan dari segi formalnya adalah tugas kerajaan Persekutuan baik dari segi penyediaan Polis, pertahanan awam dan pertahanan Negara. Walaupun terdapat index jenayah naik dan turun dari segi jumlah, tetapi relatifnya negeri Selangor secara khusus dan Negara secara umum adalah dalam keadaan aman dan sejahtera.
Prihatin Bumi (Termasuk Pertanian)
Bernegara dan bernegeri dan seluruh kehidupan kita adalah berlaku di atas muka bumi. Sebab itu memberi perhatian terhadap bumi tempat kita tinggal adalah amat penting, Jika kita lihat dalam peruntukan negeri banyak aspek yang memelihara dan menghidupkan bumi diberi perhatian. Misalnya peruntukan bagi Tanah dan Galian adalah berjumlah RM20,713,033.46. Ini termasuklah memelihara tanah dan bumi dan mengeluarkan hasil-hasil darinya untuk kepentingan rakyat. Peruntukan juga diberi kepada penjagaan hutan yang dapat memelihara eko sistem dan kehijauan, bahkan sumber air dan makanan. Peruntukan bagi Kehutanan ialah sebanyak RM23,029,183.69. Satu peruntukan yang besar juga diberi kepada bidang pertanian yang menjadi bidang pekerjaan dan sumber makanan bagi rakyat, iaitu berjumlah sebanyak RM28,612,538.70. Bagi menjamin sumber makanan cukup, maka peruntukan bagi Veterina juga diperuntukkan sebanyak RM17,371,845.83. Ini termasuk dari segi ternakan dan penyediaan makanan ternakan secara bersih.
Aspek Kebajikan
Tugas Kerajaan dan pihak pemerintah adalah menyediakan segala keperluan masyarakat. Penyediaan sedemikian adalah menjadi mekanisme bagi menggerakkan masyarakat ke a rah berusaha, bekerja dan berdikari bagi kehidupan mereka dan keluarga yang dengan demikian juga memakmurkan negeri. Walau bagaimana di dalam kehidupan tidak dapat dinafikan ada masyarakat yang kurang bernasib baik, misalnya, kemalangan, kurang upaya, miskin dan ditimpa berbagai kesusahan. Bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik, maka disediakan perkhidmatan kesihatan (Lebih kepada kerajaan Federal, walaupun ada Exco Kesihatan), maka pihak kerajaan negeri menyediakan peruntukan Kebajikan, iaitu sebanyak RM17,093,078.47.
Aspek Kebajikan ini dapat dikatakan portfolio terkenal bagi Exco Negeri Selangor. Kebajikan menyediakan Skim Warga Emas, Jom Shopping, Tawas, Tunas, Bantuan Masuk Tadika, kegiatan wanita seperti menjahit, memasak dan menghasilkan perusahaan domestic disamping ada Skim Pinjaman Skimsel dan Mimbar.
Pendek kata semua peruntukan yang disediakan adalah baik dan tidak bercanggah dengan polisi Islam. Ianya tidak lain menyediakan kemudahan bagi insan menjalankan segala aktivitinya bagi memajukan keluarga, masyarakat, bangsa dan umat. Sesungguhnya Selangor dengan segala persediaan, peruntukan dan mekanisme bagi menggerakkannya ialah bagi mengangkat martabat umat. Selangor sesungguhnya dengan dokongan umatnya menuju kepada pembinaan Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur dengan umat dalam pembentukan bagi mencapai tahaf:
``Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan bagi manusia, Kamu menyuruh membuat baik dan menegah dari perbuatan mungkar dan kamu beriman dengan Allah.`` (Ali Imran: 110).
Sekian.
No comments:
Post a Comment