December 17, 2012

Daurah Anak-Anak Cemerlang Di Masjid Al-Hasanah

Masjid Al-Hasanah 27 Muharram 1434 = 13 Disember 2012 (Khamis):


Daurah Tarbiah Anak-Anak Cemerlang di atas berlangsung di Masjid Al-Hasanah selama tiga minggu bermula dari 26 November dan berakhir dengan Majlis Penutup pada petang ini 13 Disember bertempat di dalam Masjid mengiringi Solat Asar. Daurah Tarbiah Anak-Anak Cemerlang ini adalah anjuran Masjid Al-Hasanah, PAID (JAIS), PAKSI, Nisa`, Pewaris dengan sebahagian dari tunjangan kewangan dari Pejabat Adun. Daurah adalah mendapat sambutan yang baik. Seramai 200 orang anak-anak lelaki-perempuan berumur antara 7 hingga 15 tahun mendaftar. Mereka datangnya dari sekitar Bandar Baru Bangi, Serdang dan Kuala Lumpur. Masa Daurah Tarbiah antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Setiap orang dikenakan bayaran hanya RM150/= bagi tiga minggu – termasuk makan minum.


Pengarah Daurah ialah Ustaz Hud bin Salahuddin dengan Timbalannya Ustaz Idris. Mereka dibantu oleh 20 fasilitator yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Nor Fairuz. Fasilitator terdiri dari guru-guru, Pelatih di IPG dan pelajar-pelajar UKM dan Syria. Kursus yang ditekankan ialah memperbaiki amalan fardu ain, memperbetulkan bacaan Al-Qur`an, motivasi dan kegiatan luar (explorace) termasuk mencari harta karun.

Matlamat Program Daurah ialah bagi mengisi masa lapang anak-anak dalam masa cuti sekolah agar mereka terdidik dengan didikan keagamaan yang dapat membentuk mereka sebagai insan generasi Rabbani selaras dengan hasrat Dun Bangi sebagai Bandar Ilmu dan Prihatin. Antara objektif Program Daurah Tarbiah ini ialah:
  • Membimbing dan membantu anak-anak agar dapat mempertingkatkan pengetahuan dan amalan fardu ain dalam kehidupan seharian.
  • Mempertingkatkan bacaan Al-Qur`an dan boleh menghafaz surah-surah tertentu
  • Memberi kesedaran akan peranan dan tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi.
  • Melahirkan generasi Rabbani yang cemerlang di dunia dan akhirat
  • Menyediakan pelapis sebagai generasi yang mendukung Islam dan memakmurkan surau dan masijid
 
Dalam ucapan ringkas Adun mengucapkan tahniah kepada pihak Masjid dengan kerjasama berbagai pihak dapat menjayakan Daurah Tarbiah yang dapat membimbing anak-anak dengan pendidikan keislaman di samping mengisi masa lapang mereka. Membaiki amalan fardu, kifayah dan sunat dari kecil bererti kita menyediakan mereka peluang dapat menjalankan amal ibadat secara betul sejak dari kecil. Alangkah rugi jika tidak belajar dan kita mengamalkan amalan secara tidak betul. Lebih-lebih lagi jika langsung tidak beramal. Adun berharap kursus yang seumpama ini akan diteruskan. Kepada anak-anak Adun berharap akan terus mengambil peluang belajar dan meningkatkan pengetahuan agama di mana ada. Pengajian bidang agama seharusnya bersekali dengan pembawaan syaksiah yang baik. Kita berharap pendidikan yang diterima menjadi benteng dan halangan diri anak-anak dari tercebur ke arah masalah sosial. Jadilah diri warga yang baik yang memberi manfaat kepada diri, keluarga, agama, Negara dan bangsa. Sebelumnya Ustaz Mohd. Nor Fairuz berucap mewakili Penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Daurah Tarbiah.


Berikut dari ucapan penutup Adun penyampaian penghargaan, sijil dan cnderahati kepada anak-anak dan pembimbing-pembimbing.

Sekian.

No comments:

Post a Comment