Seksyen 3, BBB, 24 Muharram 1434 = 08 Disember 2012 (Sabtu):
Program gotong royong kawasan rumah pangsa, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga jam 1.00 tengahari. Fokus adalah membersih kawasan dari sampah sarat dan juga membasmikan kawasan dari nyamuk aedis untuk mengelak dari denggi, lantaran itu pihak AJK Rukun Tetangga yang diketuai oleh En. Mohd. Haikal turut menjemput pihak Pejabat Kesihatan Hulu Langat menyertai Program Gotong Royong, khasnya bagi kempen anti denggi. Tiga Pegawai dari Jabatan Kesihatan Hulu Langat hadir diketuai Encik Aman bin Akhir. Mereka turut membawa peralatan pameran.
Adun Bangi sebenarnya mempunyai program lain sebelah pagi, sebab itu waktu kehadiran Adun dilewatkan kepada jam 10.30 pagi. Pada masa ketibaan Adun sampah-sampah yang dihimpun hasil gotong royong sudah berlonggok terhimpun. Pada masa ketibaan peserta sedang memotong batang dan dahan pokok yang ditebang, jadi Adun berkesempatan turut sama memotong dan mengangkat batang dan dahan yang dipotong.
Adun juga melawat gerai pameran nyamuk aedis. Pegawai-pegawai yang datang tidak setakat membuat pameran dan memberi penerangan, tetapi juga turut menguji air-air takungan dan bekas-bekas air terdedah kepada aedis di kawasan rumah. Adun ditunjukkan dengan beberapa botol yang berisi larva dan anak-anak aedis yang didapati oleh pegawai-pegawai berkenaan. Adun bertanya, ``Adakah berlaku demam denggi di kawasan berkenaan?``, `Ada`, jawab Encik Aman, ``Sebab itu kami datang menjalankan kempen anti denggi bersama Rukun Tetangga.``
Tidak ada majlis ucapan secara formal, tetapi semasa minum kami bercakap-cakap. Puan Zaleha Setiusaha memaklumkan - juga sebagai mengadu, ``Sampah di Blok 3 tersangkut dalam saluran sampah yang dibuang tak jatuh ke bawah,`` tambah Puan Zaleha, ``Ada yang mencampak tong sampah, menyebabkan tak tahan lama dan pecah, menjadikan sampah terburai``. Adun harap pihak persatuan ambil perhatian dan memberi tunjuk ajar kepada penghuni-penghuni agar prehatin terhadap kebersihan bagi keselesaan hidup. Pada hari gotong royong seperti hari ini paling sesuai disampaikan maklumat kepada penduduk dan menanamkan kesedaran kepada mereka penting dan berharganya kebersihan dan kesihatan. Mereka perlu diperingatkan, bahawa pencegahan adalah lebih bermakna dan berharga dari berlakunya kemalangan dan sakit, kemudian baru nak bertindak.
Dalam perbincangan Puan Zaleha menimbulkan permintaan lama Rukun Tetangga, Sekseyen Tiga, yang mau membina satu bilik pentadbiran di bawah bangunan, tambahan dari apa yang telah ada. Pada asalnya Adun setuju untuk membiayai, tetapi penambahan tidak mendapat kelulusan dari pihak atas dan rancangan terhenti, Tetapi pada hari ini, pihak KRT mengemukakan cadangan baru, bahawa, sebagai ganti dari cadangan membina bilik di bawah bangunan yang tidak disetujui oleh pihak atas, maka pihak KRT mencadangkan untuk membeli sebuah container bagi Pejabat KRT yang akan di letak di satu bahagian dari tanah lapang.
Adun bertanya kos bagi sebuah kontena yang sederhana besarnya.
Menurut En. Haikal, `Dalam lingkungan RM4,200`. Kata Adun tidaklah begitu mahal, sepatutnya AJK boleh mengeluarkan peruntukan.
Tapi jika perlukan peruntukan dari Adun, maka hendaklah bersama komitmen penduduk. Maksud Adun penduduk seharusnya mendapat dana separuh dan Adun akan menambahkan separuh yang lain.
Selepas minum dan bercakap-cakap semua yang hadir bergambar.
Sekian.
No comments:
Post a Comment