December 28, 2012

Setahun Surau Al-Falah Dirikan Jumaat - Jemput Timbalan Mufti Sampaikan Ceramah

Jalan 6, Seksyen 16, BBB, 09 Safar 1434 = 22 Disember 2012 (Sabtu):


Setahun yang lepas Surau Al-Falah mendapat keizinan mendirikan Solat Jumaat. Sebagai tanda kesyukuran pihak Surau sambut setahun keizinan mendirikan solat Jumaat dan berikhtiar menjemput Sahibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Selangor Dato` Abdul Majid bin Omar bagi menyampaikan ceramah di Surau Al-Falah dan bagi meraikan S.S. Dato` Timbalan Mufti, Adun Bangi turut dijemput sama. Adun Bangi hadir dan berjamaah Maghrib bersama dan Majlis bermula dari selepas Maghrib. Turut hadir sama di dalam Majlis ini ialah Tuan Haji Adnan Adam Pengerusi Surau Al-Falah, Tuan Haji Mat Ali, Imam Surau, En. Ali selaku Setiausaha, Tuan Haji Mat Nor Pegawai dari PAID Hulu Langat, Tuan Haji Ahmad bin Tamim dan para jamaah lelaki dan perempuan.. Tajuk ceramah pada malam ini ialah `Ajaran Sesat Di Selangor`.


Tapi sebelum ceramah bermula Adun Bangi dijemput berucap sebagai membuka majlis, lagi pula Sahibus-Samahah, belum tiba, kerana tersalah jalan dan terpaksa dijemput. Adun melahirkan kesyukuran kepada Allah Surau Al-Falah telah selamat menjalankan tugas sebagai surau mendirikan Jumaat dan berjalan dengan baik. Adun dimaklumkan bahawa para jamaah pada waktu biasa, lebih-lebih lagi pada hari Jumaat melempah ke luar bangunan, sebab itu usaha meluaskan surau berterusan dilakukan dan Alhamdulillah derma dari penduduk dan pihak-pihak yang prihatin berterusan. Surau ini bukan saja dapat menampung ahli kariah Jalan Enam, tetapi juga pelajar-pelajar Sekolah berdekatan. Surau ini juga akan menjadi tumpuan para jamaah apabila Pegawai-Pegawai dan pekerja-pekerja PAID Hulu Langat berpindah ke Pejabat barunya yang tidak begitu jauh dari surau ini. Kepentingan surau ini makin bertambah, apabila sebuah Sekolah menengah juga akan dibina berhampiran dengan kawasan surau ini.

Adun menambah, Surau bukan saja untuk ibadat, tetapi juga untuk pendidikan dan pengajian serta kegiatan sosial. Surau berperanan mendidik masyarakat setempat dengan ilmu pengetahuan dan akidah yang betul. Pengajian tentang agama Islam adalah bersifat terbuka, bukan sembunyi sembunyi. Kalau ada pengajaran bersifat sembunyi perlu berhati-hati, mungkin ada penyelewengan atau ajaran sesat. Ajaran sesat boleh berlaku kerana jahil pengajar dan yang diajar, niat jahat terhadap Islam kerana mau merosakkan Islam dari dalam dan pengaruh luar yang resap dalam pemikiran pengajar yang dirinya terseleweng dan menyelewengkan orang lain. Sebab itu perlu berhati-hati dan pastikan pengajaran dari mereka yang alim dan berautoriti.


Sahibus Samahah dalam ceramahnya, bahawa menjadi orang yang beriman adalah nikmat. Sebab itu dampingi para ulama, antaranya mengikuti pengajaran yang disampaikan, tetapi elak dari mengikuti pengajaran salah. Menurut Dato` Timbalan Mufti di Selangor terdapat 60 ajaran salah yang dikenal pasti, manakala di Hulu Langat terdapat 29 jenis ajaran salah. Hulu Langat antara tempat yang tinggi dengan jumlah ajaran sesat. Ada lagi yang dalam penyelidikan. Untuk mengenali ajaran salah terpaksa membuat penyelidikan, antaranya menghantar pegawai menyamar sebagai pelajar. Misalnya untuk mengenali ajaran sesat `Rasul Melayu` (Cikgu Kahar) di Hulu Langat, kita hantar 3 pelajar menyamar mengikuti pengajarannya. Kini `Rasul Melayu` ini dalam proses pemulihan. Antara pengajaran sesat ialah Qadyani – yang antaranya melalui seorang yang dikenali dengan Haji Amat Matahari di Pulau Pinang. Pengajaran Qadyani ini terdapat di Kampung Nakhoda, Gombak yang usaha membendungnya terus dilakukan. Qadyani bukan saja di Malaysia, tetapi ia merupakan gerakan antarabangsa bermula di India yang diguna oleh British (semasa menguasai India) bagi merosakkan umat Islam di India dan juga di luar dari India. Antara ajaran sesat ialah Ajaran Sesat Imam Bonjol dan terbaru Ajaran Sesat Puncak Alam, Ajaran Juruzun (boleh ampun dosa). Termasuk ajaran sesat ialah amalan perkara-perkara khurafat. Sebab itu elak diri dari terjebak di dalam ajaran sesat. Belajar dengan guru-guru yang murshid. Inilah mengapa kita kenakan tauliah bagi yang mau mengajar, kerana kita mau pastikan kebenaran pengajaran dan tidak berlaku penyelewengan. Turut berucap Tuan Hj. Mohd. Nor Pegawai Penyelidik di PAID Hulu Langat tentang kegiatan ilmu salah di Hulu Langat.

Majlis berakhir dengan jamuan selepas solat Isya` yang ditakhirkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment