West Country, Seksyen 5, BBB, 16 Safar 1434 = 30 Disember 2012 (Ahad):
Berikutan dari kehadiran Pihak Penguatkuasa dan beberapa agensi Kerajaan mau meruntuhkan kandang ternakan lembu-kambing masyarakat India di West Country pada Khamis 27 Disember lepas dan rundingan hingga berjaya menangguhkan tindakan selama satu minggu, maka pada hari ini Adun Bangi melalui kerjasama saudara Ari Krishnan Ketua Antara Kaum Dun Bangi, Encik Sem Ketua Antara Kaum Masyarakat India di West Country, saudara Amir Othman dan saudara Abu Bakar dapat diadakan pertemuan dengan penternak dan petani masyarakat India di sini. Pertemuan diadakan di ladang ternakan dan pertanian mereka. Seramai 30 orang penternak dan petani India hadir.
Turut sama hadir ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj. Saudara Ari Krishnan, saudara Sem, saudara Amir Othman, saudara Azizi dan saudara Abu Bakar. Sebelum mesyuarat diadakan pendaftaran nama penternak dan petani dilakukan yang jumlah mereka 30 orang.
Majlis dipengerusikan oleh En. Sam yang menerangkan tujuan pertemuan. Adun Bangi bercakap dengan menyebut rundingan pada Khamis 27 Disember lepas memberi tempoh seminggu untuk terutama penternak mengambil tindakan mempastikan kumbahan binatang ternakan tidak masuk ke dalam Sungai Langat berhampiran. Adun menyebut bahawa perkara ini boleh dibawa kepada mesyuarat penyelarasan Pejabat Daerah dan Tuan Haji Mazwan akan membawa kepada Mesyuarat MPKj, tetapi tempoh masa begitu terhad dan dalam masa tersebut sukar untuk membuat tindakan penyelesaian. Adun menyebut tindakan merubuh dan memindahkan kandang ke kawasan atas tidak menjamin selamat, sebaliknya boleh mendatangkan kerugian, kerana pemindahan tanpa keizinan boleh juga diroboh sebaliknya memerlukan keizinan tempat dan jika modal dikeluarkan belum tentu selamat dari tindakan undang-undang, kerana menggunakan tanah bukan pemilikan.
Adun melihat dan mencadangkan dengan tanah JPS yang begitu luas dan memanjang melibatkan berpuluh ekar dan tidak ada projek mau dilakukan oleh JPS, sedangkan penduduk di sini sudah menggunakan tanah JPS ini sejak mereka tinggal di West Country sejak lebih 50 tahun yang lepas, mengapa tidak diusaha bagi meneruskan keizinan dan mewujudkan projek yang mendapat nasihat dan kepakaran dari Kerajaan?
Adun mencadangkan sebaik-baik jalan, ialah mendapat keizinan JPS dan Pejabat Tanah bagi menggunakan tanah berkenaan dengan membayar cukai dan pihak berbagai agensi merangka pendekatan bagi meningkatkan kualiti ternakan, pertanian dan perusahaan penduduk India di sini dengan kaedah-kaedah moden dan saintifik yang boleh mengawal dari pencemaran dan meningkatkan kualiti ternakan dan pertanian – termasuk perusahaan serta meningkatkan pendapatan penduduk. Cadangan ini mendapat sokongan penduduk. Atas persetujuan ini Adun diminta menghubungi Exco-Exco berkenaan bagi mengemukakan cadangan dan mendapat maklum balas dan cadangan tambahan dari Exco-Exco berkenaan bagi melaksanakan projek-projek yang memberi faedah kepada masyarakat India di West Country berkenaan.
Pada pertemuan juga mesyuarat diminta memilih lima orang Wakil Masyarakat India di West Country untuk urusan dan rundingan-rundingan akan datang. Lima orang Wakil berkenaan dipilih dengan tambahan dua orang ialah saudara Ari Krishnan sendiri dan juga saudara Sem dalam sebarang rundingan.
Mesyuarat berjalan dengan teratur dan lancar. Pada akhirnya Wakil-Wakil bergambar diikuti dengan bergambar beramai-ramai.
Sekian.
No comments:
Post a Comment