January 1, 2013

Pelayaran Bahtera 2013 Tiada Ketara Berdepan Ancaman Gelombang Perubahan ?

Dilihat secara menyeluruh bahtera dunia terus meluncur menempuh arus gelombang. Tiada persengkitaan dunia yang nyata yang mengancam kestabilan – kecuali riak-riak kecil yang menyimpang dari normal amalan. America kuasa kuat dunia makin kukuh dengan kemenangan Obama sebagai Presiden Amerika bagi penggal kedua. Bencana alam yang melandanya diterima sebagai biasa dan rakyat tidak mengecam pemerintah dengan takdir dan penentuan. Keunggulan Amerika nampaknya menyepikan Rusia yang jika dilihat Presiden Putin yang juga meneruskan kekuasaan selepas pemilihan lebih berdiam diri dari berkonfrontasi.


Yang nampak letih lesu tidak bermaya adalah Eropah yang dengan penggunaan sistem kewangan Euro menjerumus negara-negara yang menggunakan sistem kewangan ini ke dalam kegawatan kewangan. Greek mengalami bankrupsi yang walau cuba diselamatkan oleh rakan-rakan Europe, sebagai orang tua yang sakit tidak mudah dipulihkan. Ada ancaman untuk mengeluarkannya dari Pakatan Euro. Perancis boleh dianggap gagal dalam misi untuk menjadi jaguh kewangan di Eropah yang Perancis adalah penaja utama. Yang tidak terjejas dari segi ekonomi dan kewangan adalah German. Ia adalah bangsa dan Negara yang bijaksana, canggih dan innovatif.

Kekecohan yang berantaian adalah letusan-letusan yang berlaku di Asia Barat akibat dari daya tarikan yang ada padanya dan sistem yang diguna. Negara-negara di Asia Barat adalah Negara-negara Islam yang menyimpan dan kaya dengan sumber Alam – Petroleum. Sebelum ini Negara-negara berkenaan menggunakan sistem pemerintahan `tradisional`. Negara-negara Barat mendekati dan mengambil hati dengan mengekalkan sistem yang ada demi tujuan politik dan ekonomi seperti berlaku pada Iran sebelum berlakunya revolusi. Cara yang seumpama ini juga dilakukan terhadap negara-negara Arab yang adalah Negara-negara Islam. Namun Amerika (juga Barat) berdepan dengan lambakan kekayaan hasil petroleum pada negera-negara yang menggunakan sistem tradisi. Usaha melaga-laga dilakukan bagi membakar kekayaan dan melemahkankan kedudukan umpamnya antara Iraq dan – Iran, lantaran ancaman tidak dapat ditoleransikan terutama terhadap Israil Anak Emas bagi Amerika dan Duri Dalam Daging bagi dunia Arab. Dunia Arab terlampau lama dengan tradisi dan mereka bagai tidak berdaya untuk merubahnya. Namun percikan perubahan bermula dengan Iran & Iraq ditambah dengan cetusan dalaman menyaksikan berlakunya `Arab Springs`. Bermula dari utara Afrika dari Tunisia, Libya ke Syria dan Mesir yang semuanya (kecuali Syria) meruntuhkan kepimpinan tradisi seperti Zainal Abidin, Gaddafi dan Hosni Mubarak. Kalau dilihat semua Negara-negara yang mengalami `Arab Springs` adalah negara-negara umat Islam, tetapi tidak menampakkan Islam diunggulkan, kecuali di Mesir di bawah Morsi. Walau bagaimana pergolakan di Asia Barat masih belum tiba kepada noktah pemantapan. Mereka letih sebelum pulih bagi mengancam terutama Israil yang bermaharajalela menindas Palestin.


Di Dunia Timur kelihatan tenang, peralihan kuasa berlaku dengan licin dan tiada gugatan, kecuali India yang terus dipimpin Gandhi-Mohan Singh, Cina menerima perubahan pimpinan melalui rundingan Politburo kepada Xi Jinping dan Jepun pula melalui pilihanraya terbaru memberi kembali kuasa kepada kepimpinan sentaro Abe yang bakal memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.


Tersudut di Asia Tenggara, kawasan yang menjadi lalu lalang hubungan sepatutnya dinamik dengan perubahan, tetapi tiada dinamika ketara, kecuali imej Indonesia yang dulu dianggap dictator, bahkan korup, kelihatan makin baik dari segi ketelusan dan demokrasi, namun tiada tanda untuk bangkit sebagai Negara besar. Begitu juga Malaysia yang dulu kelihatan lebih ke depan di dalam menjuarai demokrasi, kini kelihatan tertinggal ke belakang dari Indonesia. Lebih jauh lagi ketinggalan berbanding dengan Jepun. Malaysia masih tidak dapat melepaskan diri dari ikatan dan kebimbangan perkauman. Budaya politiknya lebih bersifat serangan berterusan bagi menjatuhkan lawan dari sepatutnya lebih bersifat bijaksana, berwawasan dan kreatif yang sepatutnya lebih diberi penilaian oleh rakyat. Bagi Malaysia tahun 2013 adalah tahun mencabar dan mendebar. Akan berlaku perubahan, apakah dengan licin dan tenang atau kacau dan tegang?

Sekian.

No comments:

Post a Comment