January 15, 2013

Melawat Rumah Terbakar Di Apartment Seri Dahlia, Taman Sepakat Dua Dan Pesakit Di Taman Jasmin & Zamrud

-->
Dun Bangi, 01 Rabiul Awal 1434 = 13 Januari 2013 (Ahad):

Maklumat tentang rumah terbakar berkenaan diberitahu kepada Adun malam tadi oleh Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan. Adun berjanji, insya Allah dapat turun hari ini jam 10.00 pagi. Adun turun bersama saudara Azizi, saudara Hasan dan saudara Harun ar-Rashid. Apartment Dahlia adalah salah satu apartment dari kelompok puluhan apartment di Taman Sepakat 1 & 2 di Dun Bangi.


Kami tiba sebagaimana dijanjikan jam 10.00 pagi dan disambut oleh Tuan Rumah yang mengalami kebakaran, iaitu Encik Syawal Azlan (33) bersama saudara Murtadha, saudara Hanafiah dan beberapa orang penduduk tempatan. Kami dimaklumkan bahawa kejadian kebakaran adalah pada hari Jumaat 11.1.2013 lebih kurang jam 3.00 petang, ketika En. Syawal dan keluarga tiada di rumah. Mereka suami isteri bekerja dan anak-anak ke Sekolah. Kebakaran diberitahu jiran dan mereka bergegas pulang.


Kami dibawa ke atas menaiki lift ke tingkat 8 daripada 19 tingkat. Apartment Dahlia berdekatan 3 blok yang setiap satu mempunyai 108 unit. Adalah mengejutkan kami apabila diberitahu bahawa, ``Keseluruhan apartment Taman Sepakat Dua yang mempunyai 10 buah blok, 70% dari penghuni perumahan di sini di diami oleh orang-orang Arab, manakala Apartment Taman Sepakat Satu ramai didiami orang Afrika. Komuniti Arab yang mendiami perumahan Sepakat Dua ini antara mereka adalah pelajar-pelajar yang belajar di berbagai-bagai universiti di sekitar Bangi, manakala sebahagian daripada orang Arab ini membuka perniagaan dan perusahaan di sini. Kedai-kedai di sini disewa mereka. Bahkan unit-unit apartment yang dimiliki orang tempatan sengaja dikosongkan oleh pemilik-pemiliknya kerana mau memberi sewa kepada orang Arab, kerana sewa agak tinggi, iaitu antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Mereka rela menyewa di tempat lain, bahkan sebahagian daripada mereka sudah ada rumah. Apartment dibeli sengaja untuk disewakan.


Adapun Encik Syawal mmbeli apartment adalah untuk diduduki. Beliau membeli rumah apartment beliau pada tahun 2005 dengan harga RM124,000 dan tidak bertujuan untuk menyewakan.


Tiba ke tingkat 8 dalam mana rumah beliau berada dibahagian sebelum tepi, apabila dibuka, kami dapati kebakaran agak teruk, kerana tiada siapa menyedari pada peringkat awal terbakar. Walaupun bomba datang, kebakaran merebak kesemua bilik, kecualu ruang tamu agak kurang dari kebakaran. Kami ditunjuk tempat-tempak kebakaran dan Adun masuk ke dalam yang semua barang-barang sudah musnah. Beliau menjangkakan kebakaran bermula dari bilik tiga – bilik anaknya. Menurutnya tempat plug dibilik ini  memang sering rosak. Sudah lima kali beliau membaiki dan menukar plug dibilik itu. Pernah satu kali juga plug berkenaan hangit hendak terbakar, tapi sempat dipadamkan. Beliau mengesyaki wiring system di bilik anaknya rosak dan menyebabkan kebakaran. Walaubagaimana menurutnya, ``Pihak bomba belum membuat penilaian dan belum ada keputusan.``


Selain dari bilik anaknya terbakar teruk, di dua bilik lagi juga terbakar dan rosak semua barang-barang, Cuma di ruang tamu sedikit barang-barang yang selamat.

Bila ditanya, ``Di mana Encik Syawal tinggal selepas kebakaran ?` Menurutnya mereka sekeluarga menumpang di rumah adik di Putrajaya.
Tapi menurutnya, ``Tak kan nak menumpang sepanjang, saya sekeluarga berusaha mendapatkan rumah sewa.`` tapi katanya, ``Kalau boleh di kawasann berdekatan di sini, kerana anak-anak bersekolah dekat di sini,`` tambah En. Syawal, ``Isteri saya juga bekerja di Sekolah dekat sini dan pejabat saya di Jalan Reko.`` tambah En. Syawal, ``Jadi lebih sesuai mencari rumah sewa berdekatan di sini sebelum rumah saya dibaiki oleh pihak Insurance.``

Mengakhiri pertemuan, kami menyampaikan bantuan kewangan dan juga barangan dan berharap Encik Syawal sabar dan tabah menghadapi penghidupan. Semoga En. Syawal dan keluarga kembali pulih seperti sediakala – Insya Allah.

Kami turun untuk bertolak ke Taman Jasmin – semasa bertolak kami mencium bau nasi Arab dari kedai berdekatan. Kami menuju ke Taman Jasmin dan bersama Dr. Subra kami melawat En. Bala Ramasamy a/l Kandanaidu (67) yang mengidap sakit jantung. Menurut isterinya, suaminya sudah mengalami sakit jantung sejak dua tahun lepas dan pernah masuk hospital, tapi kini pulang berehat di rumah yang menurutnya , rumah disewa oleh anak yang tinggal bersamanya. Selepas melawat En. Bala dan menyampaikan bantuan dan cenderahati kami bertolak ke Taman Zamrud di sini kami melawat En. Nadalingam a/l Chinayah (58) yang mengalami luka-luka dibahagian tubuhnya kerana accident. Menurut isterinya En. Nadalingam bekerja  dengan Alam Flora di Kuala Lumpur. Dalam perjalanan pulang motorsikal yang dipandunya dilanggar oleh kenderaan motor yang lain berdekatan dengan station Shell Kajang. Walau macam mana tidak berlaku kecederaan yang parah selain dari luka-luka. Kami sampaikan bantuan dan cenderahati. Terima kasih kepada Dr. Subra yang mengiringi kami ke dua-dua buah rumah berkenaan.


Semasa kami pulang dari lawatan, teringat kami kepada nasi Arab dari kedai tempat awal kami ziarah Apartment Sepakat Dua. Kami buat keputusan singgah di salah sebuah kedai nasi Arab di Kedai Taman Impian, Kajang – Kedai Mat`am al-Arabi menjamu selera. Kedai adalah dikendalikan oleh peniaga-peniaga Arab dari Yaman dengan
beberapa pekerja Bangladish.


Sekian.

No comments:

Post a Comment