January 16, 2013

Majlis Kesyukuran Dan Pengiktirafan Warga Kerja PADAT

-->
Hotel Concorde, Shah Alam , 03 Rabiul Awwal 1434 = 15 Januari 2013 (Selasa):

Majlis di atas diadakan pada tengahari ini bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam. Majlis adalah lebih bersifat Kesyukuran dan Pengiktirafan terhadap warga kerja Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi tahun 2012. Oleh kerana Majlis bersifat kekeluargaan, maka yang hadir adalah dari warga PADAT sendiri, iaitu YB. Dr. Ahmad Yunus Hairi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, YB. Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi Padat, YBhg. Sasterawan Negara Dato` Dr. Anuar bin Haji Rethwan Ahli Lembaga, Y.A.D. Dato` Dr. Tengku Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj Ahli Lembaga, Dr. R. Sivaperegasan Ahli Lembaga, Puan Roslinah Mat Jani Timbalan Ketua Kewangan Negeri, Ybhg. Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif Padat, En. Ooi, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai, seterusnya semua staf Pegawai Padat diraikan.


Majlis bermula dengan menyanyikan Lagu Rasmi Negeri Selangor diikuti dengan Koir yang memperkenalkan Lagu Rasmi Padat yang baru digubah dan juga memperkenalkan Pakaian Padat yang diperagakan oleh beberapa ahli Padat lelaki dan perempuan.
Majlis kemudian dimulakan dengan doa dan ucapan Puan Hajah Azlinda Azman, Ketua Pegawai Eksekutif Padat. Dalam ucapannya Puan Azlinda mengucapkan terima kasih kepada semua warga Padat yang selama ini bekerja bertungkus lumut bagi melaksanakan segala program yang disusun oleh Padat. Kejayaan menurutnya berkat dari kerja berpasukan juga sokongan dari banyak pihak bukan saja dari kalangan warga Padat, tetapi juga dari institusi luar dan badan-badan koperat. Beliau menyebut kejayaan antaranya pengiktirafan oleh Ketua Audit Negara yang menilai dan meletakkan Padat antara 8 Jabatan yang mencapai 4 Star Rating di Selangor. `Kita bersyukur kepada Allah di atas kejayaan ini dan  berharap prestasi sedemikian dapat dipertahan, bahkan dipertingkatkan lagi pada masa akan datang`, kata Puan Azlinda. Selain daripada itu katanya,  `Majlis yang diadakan bertujuan bagi mengeratkan hubungan di kalangan keluarga dan warga Padat.`


Majlis diseling dengan lagu-lagu tentang Rakyat Palestin yang berjuang menentang kekejaman Israil juga lagu mengenangi Al-Marhum Jefri salah seorang kakitangan Padat yang telah meninggal dunia pada 14.12.2012 baru lalu di samping menghadiahkan Al-Fatihah dan doa kepada Al-Marhum.


Dalam ucapannya selaku Pengerusi Padat YB. Dr. Shafie Abu Bakar  bersyukur kepada Allah di atas pencapaian-pencapaian selama ini dan berterima kasih kepada warga Padat di atas keterlibatan dan dedikasi semua pihak. Kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja bersifat jamaah. Pengerusi Padat itu menyebut jumlah kegiatan yang dilakukan sepenjang 2012 ialah 30 kegiatan. Antara yang disebutkan, antaranya:


  • Pengiktirafan Ketua Audit Negara yang Padat adalah satu daripada 8 Jabatan di negeri Selangor yang mencapai 4 star rating
  • Padat mendapat pengiktirafan Sijil MS180 - 9001-2000.
  • Dua Pegawai Padat yang belajar secara sambilan lulus pada peringkat Ijazah Master (Sarjana) di Universiti Malaya.
  • Mengadakan Pameran Sempena Hari Kemerdekaan 2012.
  • Menghasilkan buku `Masjid-Masjid Lama Di Selangor
  • Mengeluarkan Buletin dan Jurnal 2012
  • Memenangi pertandingan Perbarisan Maulid Ar-Rasul 2012 peringkat Negeri Selangor

Pengerusi menyebutkan sebagai pekerja, kita mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan prestasi kerja bagi diri dan institusi. Ada lima level.
  • Pekerja mungkin menghadapi tugas sebagai `Tugas Biasa` dan bekerja seperti biasa dan tidak ketara dari segi peningkatan prestasi
  • Pekerja yang bekerja dengan minat. Dengan minatnya dia menghadapi kerja secara tekun dan menghasilkan kerja-kerja yang bermutu. Contoh misalnya memghasilkan buku kajian
  • Pekerja yang bekerja dengan penuh azam dan kemahuan. Contoh seperti pekerja yang kuat kemahuan, menyambung pengajian dan lulus dalam pengajian. Dengan kelulusan meningkatkan prestasi pekerjaan dan penghasilan.
  • Pekerja yang bekerja penuh kecintaan. Jika dia seorang penyelidik, maka terhasillah penemuan yang bermakna, jika dia seorang karyawan menghasilkan ciptaan bermutu dan jika dia seorang seniman terhasillah seni yang mendalam.
  • Pekerja yang Kreatif dan Innovafatif  yang menghasil dan menampilkan penemuan-penemuan indah, segar dan seni.

Pengerusi Padat percaya semua elemen ini ada pada warga kerja Padat dan perlu dicetus dan disuburkan bagi meningkatkan potensi diri dan juga penghasilan secara kolektif dan jamaah. Pengerusi mengimpikan Padat dapat menemui dapatan yang mengejut dan menggemparkan, hasil-hasil seni yang bermutu dan menjadi institusi terkenal pada peringkat nasional dan internasional.


Acara puncak ialah penyampaian Anugerah dan Penghargaan oleh Y.B. Dr. Ahmad Yunus kepada yang lulus pengajian pada peringkat Sarjana iaitu Puan Intan Salina dan Shahrul Nizam, manakala Penulis Buku ialah saudara Mohd. Zainudin Abdullah bersama saudari Noorhayati Md. Yatim.
Pengiktirafan dan Anugerah juga disampaikan kepada Ahli Jawatankuasa MBJ, Ahli Jawatankuasa AKRAB. Sijil MS ISO 9001-2008 juga disampaikan oleh YB. Dr. Ahmad yang diterima oleh Pengerusi bagi pihak Padat. Cenderahati kenangan turut diterima oleh Ahli Lembaga Pengarah Padat dan staf Padat. Peserta paling bergaya lelaki & perempuan yang dipilih secara spontan juga diberi hadiah.


Majlis berakhir dengan jamuan tengahari dan bersurai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment