Sungai Ramal Dalam, 14 Rabiul Awwal 1434 = 26 Januari 2013
(Sabtu):
Pada tahun ini Dun Bangi mengadakan sambutan Maulidur Rasul
dengan kerjasama Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam, Jawatankuasa Keselamatan
Sungai Ramal Dalam dan Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam. Sejak jam 7.30
pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam perbarisan dan peserta-peserta
dari cawangan-wangan parti berhimpun di tepi pagar Surau Al-Amin, Seksyen 8
Bandar Baru Bangi. Jumlah mereka mendekati 1,000. Pasukan-pasukan yang
mengambil bahagian – 10 pasukan membawa sepanduk-sepanduk dan antara pasukan
memakai pakaian seragam. Cuaca pada pagi ini al-hamdulillah baik, tidak seperti
semalam hujan seharian.
Jam 8.30 pagi perhimpunan dan pasukan-pasukan yang disusun
sebelumnya bergerak dari Seksyen 8, mengikuti kenderaan berpembesar suara sambil
bersalawat dan diikuti pasukan kompang menuju ke Tanah Lapang di hadapan masjid
dan di tepi Sekolah. Selepas selesai perarakan, tetamu dan peserta-peserta
duduk di atas kerusi di bawah khemah sambil menunggu program bermula. Antara
mereka yang hadir ialah saudara Azemi Ahmad Pengarah Sambutan Maulidur Rasul,
Tok Lateb bin Manan Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam sebagai Tuan Rumah, Ustaz
Shafie Ngah Ahli MPKj yang juga Ketua Pas
Kawasan Serdang, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai
Ramal Luar, En. Shukor Jantan Ketua Kampung Teras Jernang, En. Azlan Nordin
Ketua Kampung, Kampung Bahagia, Tuan Haji Abdul Hadi Husin Ketua Kampung Sungai
Tangkas, Tuan Haji Yahya Nazir Masjid Sungai Ramal Dalam, Tuan Haji Nik Pa Nik
Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, Pengerusi-pengerusi Surau, Imam-Imam,
pasukan-pasukan dan orang ramai yang hadir.
Majlis bermula dengan pembacaan Al-Quran oleh En. Asral
Fikri bin Asnawi diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Adun Bangi yang mengucapkan
terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama bagi kejayaan sambutan
terutama Ketua Kampung Tok Lateb Manan yang sejak malam tadi bertungkus lumus
dengan anak buahnya menyiapkan jamuan, Pihak Masjid dan Pihak Keselamatan
Kampung. Kata Adun, ``Kita bersama umat Islam dari peringkat Negara, negeri dan
tempatan, juga masjid Surau sama menyambut Hari Maulidur Rasul sebagai
melahirkan kesyukuran, kerana kita tergolong sebagai orang yang mendapat rahmat
keimanan. Kita berpeluang mendalami Islam melalui berbagai pendidikan dan
pengajian. Dengan pengenalan membawa
kita mencintai Rasulullah s.a.w. Banyak cara melahirkan kecintaan seperti
mengadakan pengajaran, ceramah, bernasyid dan Barzanji, termasuk juga kita pada
hari ini mengadakan perarakan melahirkan syiar Islam dan memuji Junjungan
Rasulullah s.a.w. Tetapi kecintaan yang
paling utama ialah dengan mengamalkan suruhan Islam yang dibawa Rasulullah dan
menjauhi larangan. Kita percaya al-hamdulillah kita berharap kita adalah antara
yang mendukung Islam yang kita amalkan dalam kehidupan kita. Kita berharap kita
dapat mempertingkatkan amalan dan meluaskannya kepada masyarakat melalui dakwah
dan pendidikan.Majlis kemudian diperdengarkan dengan pembacaan sajak oleh Adik
Muntazar bin Adnan (6) dari Sekolah Seri Al-Amin yang penuh bersemangat.
Berikutnya hadirin berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Nushi bin Dato` Mahfuz dari KUIS. Menurutnya Rasulullah s.a.w. adalah dari turunan yang baik dan bersifat terpuji dan unggul dari segi kepimpinan. Baginda membawa petunjuk dan keimanan terhadap Allah. Syahadah mungkin dianggap lengkap dari segi keimanan, tetapi sebenarnya ianya adalah muqaddimah bagi perjuangan. Perlu diperluaskan pengajaran dari Al-Qur`an dan Sunnah di tengah masyarakat. Kunci perkembangan tamadun dan peradaban Islam adalah melalui Iqra` - baca, belajar, azam dan jihad.
Doa Nabi Allah Ibrahim dikabulkan. Melalui Makkah-Madinah Islam berkembang luas
melahirkan tamadun dan peradaban seperti kelahiran kerajaan Umawiyyah-
Abbasiyyah & Uthmaniyyah dan turut berkembang di Alam Melayu. Kecintaan
kita kepada Rasulullah hendaklah diterjemahkan ke dalam amal dan dan dakwah
kita bagi meninggikan syiar Islam mengatasi pengaruh-pengaruh yang lain.
Pada majlis ini diumumkan penghargaan dan cenderahati kepada
Tokoh Ibu Mithali Puan Hajah Subaidah bt Mustapa yang berjuang bagi mendidik anak-anaknya mencapai kejayaan,
manakala Tokoh Masyarakat ialah Tuan Haji Muhammad yang merupakan Imam Satu
Masjid al-Falah dan Pasukan Terbaik Perarakan ialah ialah Pasukan dari Desa
Surada.
Assalamualaikum,
ReplyDeletesaya ingin bertanya mengenai maklumat anugerah tokoh ibu mithali tersebut utk ditemuduga bg menjayakan asgnmnent kami..
diharap pihak tuan dpt membantu dgn segera..
terima kasih.