BBB, 19 Safar 1434 = 02 Januari 2013 (Rabu):
Jam 10.00 pagi ini Adun bersama saudara Azizi bertolak ke Sungai Tangkas bagi mempastikan persiapan terakhir di Tapak SRA Sungai Tangkas menjelang Lawatan Kerja Y.A.B. pada 6 Januari ke Dua Tempat. Kelmarin Selasa (01 Januari) mesyuarat penyelarasan telah diadakan dengan AJK Sambutan SRA Sungai Tangkas diketuai Ketua Kampung Tuan Abdul Hadi Husin di Pejabat Adun. Lawatan ini adalah merupakan salah satu keputusan yang diambil. Di Tapak SRA Sungai Tangkas selain dari Ketua Kampung, ialah Encik Rumizal Kontrektor Kerja-Kerja Tanah. Kami berbincang dengan En. Rumizal tentang persiapan tapak. Menurut Ketua Kampung persiapan khemah dan peralatan akan disediakan oleh pihak MPKj, manakala penduduk bergotong royong menyediakan jamuan. Pihak pemaju – Mamfor dan Kontraktor Kerja-Kerja Tanah diharap sama memberi kerjasama – terutama dari segi peruntukan bagi menjayakan Majlis.
Di tapak kerja-kerja sedang berjalan meratakan tanah yang kedudukannya berbukit dan di tengahnya bergaung. Pada masa kehadiran kami, selain jentolak meratakan tapak, lori-lori bersilih ganti keluar masuk membawa tanah ke tapak. Tanah antaranya dari Kajang Dua. Menurut Pengurus pengangkutan tanah, ``Untuk meratakan kawasan gaung dengan aras tanah asal memerlukan sebanyak antara 2,500 hingga 3,000 lori tanah.`` Menurut Pengurus itu, ``Kerja-kerja menambak dan meratakan ini sudah terganggu kerana hujan baru-baru ini. Bila panas kerja-kerja baru dapat dimulakan kembali. Kami berpuashati dengan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Setelah membuat tinjauan dan keliling kawasan pembangunan kami meminta diri dari Ketua Kampung yang sedang sibuk mengedarkan jemputan-jemputan ke Majlis Lawatan Tapak oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor.
Dari Tapak SRA Sungai Tangkas kami bergerak pulang bagi melihat (sering lihat) persediaan bagi Tapak Masjid Al-Umm bagi Lawatan Kerja oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor. Kelmarin (1 Januari – pagi Selasa) Tuan Haji Arshad Pegawai dari MPKj telah melawat tapak bagi mengenalpasti tempat yang perlu dibersih dan dibaiki. Adapun pada bahagian atas bagi tapak telah dibersih dan diratakan dengan batu kasran, manakala bagi tangga untuk dinaiki, walaupun sudah dibersih dan dibuat tangga untuk melangkah ke atas, tapi masih belum siap. Pokok-pokok dilereng tapak sengaja dibiarkan bagi mengekalkan kehijauan, Cuma semak-semak di bawahnya dibersihkan.
Pada tengahari ini kontraktor pembersihan juga sudah tiba. Menurut Encik Rizal bin Rahmat Pegawai dari MPKj yang berada di tapak memaklumkan, ``Operasi yang dijalankan ialah bagi membersih parit dan longkang``. Pada masa yang sama backho sedang membersih sampah-sampah dari pokok-pokok yang dipotong. Semasa kami hadir sudah lima lori sampah diangkut untuk dilupuskan. Pembersihan dan pengangkutan masih diteruskan.
Menurut Mr. Ho Kontraktor dari Pekan Bangi yang sedang mengawasi pekerja-pekerja yang sedang mengorek dan mengangkat sampah dan selut ke atas parit, ``Kita juga akan meratakan tepian jalan dengan batuan kasran dan menurap jalan menaiki ke Jalan Masjid dan ke tepi tangga. Nampaknya cadangan menurap semua tepi jalan masjid tidak diarahkan kepada pekerja-pekerja. Pada masa yang sama pekerja-pekerja memotong rumput di padang. Pada masa kehadiran Adun ini, turut sama hadir ialah Tuan Haji Mohd. Nor bin Yassin Bendahari AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK. Pada sebelah petang pula batu-batu konkrit sudah dihantar untuk disusun sebagai batu tangga naik ke atas level kawasan masjid yang agak tinggi dari kawasan tanah biasa. Begitu juga batu kasran sudah tiba dan dilonggok di tepi Jalan Masjid Al-Umm untuk diratakan tepian jalan Al-Umm dan bahagian yang mau diturapkan dengan tar.
Nampaknya semua pihak, baik AJK Kampung Sungai Tangkas dan AJK Persatuan Penduduk Sungai Tangkas, maupun AJK Pembinaan Masjid Al-Umm semuanya bekerja keras bagi mempastikan persiapan tempat diselenggarakan dengan sempurna bagi kejayaan Lawatan Kerja, Kenduri Dan Mesra Rakyat Y.A.B. Dato` Menteri Besar ke Tapak Masjid Al-Umm dan Tapak SRA Sungai Tangkas berjaya. Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment