January 25, 2013

Salawat Hujan




Pagi perarakan Maulidur Rasul s.a.w.
Peringkat negeri mengelilingi Stadium
Nampaknya semua mau ambil bahagian
Peluang mendekat meluahkan kecintaan
Ketika pasukan bersedia untuk berjalan
Awan hitam juga bersedia berarakan
Ketika salawat berkumandang memuji Junjungan
Hujan juga bersalawat dengan bahasanya berguguran
Memercik mesra rahmatNya ke atas himpunan.

Perarakan diketuai Dato` Menteri Besar
Bersama pegawai 118 kontinjen pertandingan
Semua bersemangat tinggi cergas pergerakan
Lebih-lebih lagi yang menyertai pertandingan
Tidak kisah mereka dengan derai hujan
Membasahi baju dan songkok hitam
Mengalir mesra dimuka berguguran
Kontras hangat perjalanan.

Jam 8.30 pagi separuh perjalanan
Madah terhadap Baginda berulangan
Salam ke atas Nabi Salam ke atas Rasul
Dia Kekasih Dia Junjungan
Dia Matahari Dia Bulan
Dia Cahaya di atas Cahaya
Menerangi lebuh lempang
Semakin salawat meningkat
Semakin hujan melebat
Ia adalah kecil ujian bahkan kemesraan
Berbanding dengan besarnya perjuangan.

Maulidur Rasul
Sambutan adalah sanjungan
Berbagai cara dan pendekatan
Melahirkan rasa kecintaan
Bukan saja kita insan
Malah sekalian makhluk hatta hujan
Mengiringi kita ke Dewan Malawati
Sebaik tiba dan salawat sementara dihentikan
Spontan salawat hujan menipis dan hilang.

Maulidur Rasul
Salawat Junjungan
Turut salawat selain insan
Termasuk hujan.

Shafie Abu Bakar,

Stadium Malawati, Shah Alam.
12 Rabiul Awwal 1434
24 Januari 2013.

No comments:

Post a Comment