January 27, 2013

Majlis Kesyukuran Sempena Mesyuarat Agung Pangsapuri Kayangan

-->
Taman Seri Mewah, Kajang Utama, 07 Rabiul Awwal 1434 = 19 Januari 2013 (Sabtu):


Sempena Mesyuarat Agung Persatuan Pangsapuri Kayangan (PPK), maka diadakan Majlis Kesyukuran di pekarangan hadapan kedai berdekatan dengan padang di sini. Hadir sama dalam majlis Adun Bangi, Y.B. Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang (sedikit lewat kerana ada program di tempat lain), saudara Wan Salahuddin selaku Pengerusi PPK, saudara Abdul Halim selaku Naib Pengerusi PPK, Tuan Haji Azhar Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama, saudara Azman Shafie Setiausaha Surau Al-Muhajirin, saudara Abu Bakar Penyelaras dan beberapa AJK Persatuan, ibu bapa dan anak-anak. Majlis pada malam ini merupakan Perasmian Persatuan dan makan-makan yang bersifat kekeluargaan.



Dalam ucapan alu-aluan saudara Wan Salahuddin mengucap terima kasih di atas kehadiran Adun (Y.B. Teo belum tiba) dan memaklumkan bahawa Persatuan (PPK) adalah Persatuan berdaftar dan mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari ROS. Tujuan ditubuhkan PPK ialah untuk menyatupadukan penduduk dari Pangsapuri kayangan  sebanyak 260 yunit dengan penduduk berjumlah 1,000 orang. Selain daripada itu ialah bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penduduk seperti kerosakan, masalah sampah, kebersihan dan mengadakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kemasyarakatan.


Adun Bangi yang diminta berucap sebelum Y.B. Teo tiba, mengucapkan Tahniah di atas kejayaan penduduk menubuhkan persatuan. Tahniah juga kepada AJK yang terpilih yang diketuai oleh saudara Wan Salahuddin. Adun mengingatkan bahawa, jawatan yang diberi oleh penduduk adalah merupakan amanah. Sebab itu AJK hendaklah berusaha menggerakkan persatuan bagi kepentingan penduduk. Kegiatan-kegiatan yang dapat dilakukan termasuklah mengenai ibadat, pendidikan anak-anak dan penduduk, kegiatan kemasyarakatan, kebajikan dan juga sukan. Program hendaklah disusun untuk setahun, misalnya sambutan-sambutan perayaan, motivasi anak-anak, hari keluarga dan sukan. Kepada penduduk Adun mengingatkan, walaupun AJK telah dilantik, janganlah membiarkan kepada AJK saja yang bekerja. Penduduk hendaklah memberi kerjasama bagi segala kegiatan yang diadakan. Adun sedia bekerjasama dan sedia menyalurkan bantuan jika dibuat permohonan dengan jumlah sewajarnya.


Sebagai menandakan perasmian, maka Adun dijemput memotong reben  – Ketika ini Y.B. Teo juga masih belum tiba.


Apabila beliau tiba Y.B. Teo dijemput menyampaikan ucapan tertangguh. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada PPK yang menubuhkan Persatuan dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik. Beliau juga meminta penduduk memberi sokongan kepada AJK yang dilantik. Beliau juga berharap kepada AJK akan mengadakan banyak program yang dapat memberi manfaat kepada penduduk.


Majlis seterusnya ialah perbincangan yang berhubung dengan status bangunan sama ada masih di bawah pemaju atau telah diserah kepada MPKj. Berhubung dengan JMB, sebagaimana biasa, tidak semua yang menjelaskan yuran. Walau bagaimana di sini tidak ada masalah air dan tidak ada masalah berhubung dengan lift, kerana bangunan di sini tidak menggunakan lift. Cuma timbul berhubung dengan kerosakan bangunan yang tidak serius. Setakat ini menurut En. Wan Salahuddin pihak Persatuan masih tidak mempunyai Pejabat sendiri. Adun mengesyorkan agar memohon mendapat satu unit pejabat dari pihak Pemaju atau paling tidak menyewa dengan kadar yang paling minimum. Majlis berakhir dengan jamuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment