January 30, 2013

Cinta Rasulullah, Pelancaran Tafaqquh Fid-Din & Kemungkinan Pelancongan Ilmu

-->
Masjid Al-Hasanah, BBB, 14 Rabiul Awwal 1434 = 26 Januari 2013 (Sabtu):

Sempena Maulidur-Rasul s.a.w. Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi mengadakan dua program serentak pada hari ini, iaitu mengadakan Karnival Cinta Rasulullah dan Melancarkan Program Tafaqquh Fid-Din Berkitab. Adun Bangi diminta melancarkan kedua-dua program pada tengahari secara serentak, ini oleh kerana pada sebelah pagi Adun menghadiri Sambutan Maulidur Rasul pada peringkan Dun bertempat di Sungai Ramal Dalam. Karnival Cinta Rasulullah melibatkan semua masyarakat dari golongan anak-anak membawalah kepada orang dewasa.


Program berjalan dari sebelum subuh, iaitu 4.30 pagi dengan qiyamullail Perdana diikuti dengan Kuliah Subuh dengan tajuk `Siapa Rasulullah s. a.w. ? Disampaikan oleh Ustaz Rashidi bin Jamil, diikuti dengan program Bedah Buku. Buku yang dijadikan bahan pembicaraan ialah Shama`il Al-Muhammdiah dibentangkan oleh Dr. Shauqi bin Othman dan buku Ma`rifah Rasulullah s.a.w. dihasil dan dibicarakan oleh Dr.Zulkifli Muhamad al-Bakri. Manakala sebelah petang dipenuhi dengan pertandingan yang lebih berfokus kepada anak muda seperti Pertandingan Bercerita peringkat sekolah rendah, Pertandingan Mewarna bagi anak-anak 6 tahun ke bawah, Pertandingan Nasyid bagi anak-anak Sekolah Rendah, Penampilan Istimewa, Program Jom Tanya Ustaz bertajuk Muamalah Rasulullah s.a.w. Panduan Sepanjang Zaman disampaikan oleh Ustaz Zamerey  Abdul Razak, manakala pada malamnya dipenuhi program `Bandar  Baru Bangi Bersalawat` juga persembahan  Nasyid, Nazam dan Marhaban. Sesungguhnya program dipenuhi acara-acara begitu padat dan menarik.


Adun tiba ialah pada jam 12.00 tengahari dan berkesempatan mendengar pembicaraan  tentang Makrifah Rasulullah s.a.w. oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang merupakan Pengarang bagi buku berkenaan. Adun mengikuti sesi pembicaraan buku ini hingga tamat dengan diikuti dengan Upacara Perasmian Secara Tertangguh. Dalam ucapan Adun, adalah Adun memuji Program Cinta Rasulullah s.a.w. yang melibatkan golongan dewasa dan juga anak-anak. Pendekatan adalah kelainan dari Sambutan biasa dan bersifat kreatif dan inovatif serta dapat dimanfaatkan oleh banyak pihak.  Masjid dimeriahkan sepanjang hari dari pagi hingga ke malam dengan berbagai acara. Dengan Karnival ini penganjur dapat menarik golongan muda dan anak-anak ke masjid.


Satu program lagi yang diminta Adun lancarkan ialah Program Pengajian Tafaqquh Fid-Din Berkitab. Dalam Majlis Pelancarana Ustaz Napiah bin Shahrani Nazir Masjid memaklumkana bahawa Program menawarkan kepada peserta-peserta mengikuti pengajian secara lebih mendalam dengan mengikuti Ilmu Asas Dalam Islam iaitu Al-Qur`an, Hadith, Aqidah dan Ilmu Fiqh. Pengajaran oleh guru-guru terpilih dengan mementingkan kaedah talaqqi dan Mushafahah. Menurut Tuan Nazir objektif Pengajian ialah memahami ilmu keislaman dan mnambah keimanan serta peserta dapat mempelajari dan mengamalkan pengajian yang diikuti. Mereka yang mengikuti berumur 15 tahun ke atas. Pelajaran-pelajaran Al-Qur`an, Hadith, Aqidah, Fiqh, Tafsir dan Bahasa Arab adalah dengan menggunakan kitab-kitab. Jadual adalah bersifat harian dari pagi hingga ke tengahari. Pengajian dikenakan yuran paling minimum ialah RM40.00 sebulan bagi satu pakeg (komponen pelajaran) dan RM80.00 bagi keseluruhan. Pendaftaran adalah terbuka dan pengajian akan bermula dari bulan Februari.


Antara guru-guru yang mengajar ialah Dr. Wahab Mohd Salleh (Fiqh), Dr. Hashim Mehat (Fiqh), Dr. Mohd. Shauqi Othman (Tafsir), Ustaz Rahim Rafie (Aqidah), Ustaz Hashim Nawawi (Hadith), Ustazah Bushra Talib (Bahasa Arab) dan penceramah jemputan. Dalam kata lain Pengajian Tafaqquh ini mempunyai kurikulum teratur dengan jadual pengajian yang tersusun. Pengajian ini nampaknya dituju kepada orang ramai yang mempunyai kelapangan dan waktunya sebelah pagi ke tengah hari. Cuma perlu difikirkan pengajian ini mungkin mau diikuti oleh pelajar-pelajar Sekolah menengah yang masa yang ada bagi mereka sebelah petang. Sebab itu wajar disediakan kepada mereka pakej waktu petang. Bagi memvariasikan pendekatan, memang wajar sekali sekala dijemput pengajar jemputan dalam berbagai bidang bagi menambahkan maklumat bagi pengaji-pengaji. Untuk lebih memeriahkan pengajian, wajar diadakan pengajaran hujung minggu untuk diikuti lebih ramai lagi oleh pekerja-pekerja. Bahkan pada setiap bulan wajar diadakan Munaqashah ilmu yang disusun secara menarik dan disampaikan oleh tokoh-tokoh berwibawa dan dapat diikuti oleh lebih ramai pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Bagi mempertingkatkan pengajian Masjid Al-Hasanah dengan kerjasama surau-surau mungkin dapat mengadakan Minggu atau Bulan Ilmu bagi pencongan Ilmu yang diisi dengan program yang menarik dan padat. Program ini diadakan pada masa cuti Sekolah dan terbuka untuk datang belajar oleh pengaji-pengaji dari luar dari Selangor untuk mengikuti pengajian dalam tempoh terhad. Semasa berada di sini mereka tinggal di hotel-hotel bajet yang diuruskan oleh pihak penganjur. Tempat belajar mungkin diadakan lebih dari satu tempat termasuk surau-surau. Perkhidmatan kenderaan disediakan, bahkan masa Lawatan Ilmu diadakan. Program begini untuk dilaksanakan perlu kepada penelitian lebih detail. Ianya adalah salah satu pendekatan menyemarakkan lagi Bangi Bandar Ilmu.


Sekian.

No comments:

Post a Comment