January 26, 2013

`Naik Surau` Sempena Maulidur Rasul: Adun Serahkan Bantuan

-->
Taman Seri Mewah, Kajang Utama, 12 Rabiul Awwal 1434 = 24 Januari 2013 (Khamis):



Mengambil sempena dengan Maulidur Rasul s.a.w. pada hari ini, maka pihak AJK Surau At-Taqwa, Taman Seri Mewah, Kajang Utama mengambil keputusan untuk `Naik Surau` pada petang ini, walaupun masih banyak keperluan yang perlu dilengkapkan, termasuk api belum dimasukkan dan buat sementara sambungan dibuat dari rumah jiran.


Adun Bangi tiba sebelum sedikit waktu Maghrib bagi menyertai acara `Naik Surau`. Turut hadir ialah Major (B) Haji Adnan selaku Pengerusi Surau, Ustaz Shafie Ngah selaku Ahli MPKj, saudara Abu Bakar, Penyelaras, Ustaz Shamsul selaku Imam Satu, Ustaz Suhaimi selaku Imam Dua, AJK-AJK, dan penduduk setempat yang memenuhi surau yang dijangka berjumlah lebih kurang 300 orang. Adun Bangi diberi penghormatan mengimami solat Maghrib seterusnya memimpin solat Hajat mohon keselamatan bagi surau dan penduduk bagi kawasan surau ini yang berjumlah lebih kurang 3,000 orang. Selepas solat Hajat para hadirin berdiri melafazkan Salawat ke atas Rasulullah s.a.w. Selepas sesi Salawat ucapan ringkas diadakan bermula dengan ucapan Major (B) Haji Adnan selaku Pengerusi Surau.


Major (B) Haji Adnan mengucap syukur kepada Allah selepas 4 tahun berusaha bagi membina surau ini akhirnya dapat disiapkan. Kata Major (B) Adnan, ``Semasa menunaikan Haji baru-baru ini saya berdoa kepada Allah di hadapan Ka`bah memohon dapat disiapkan surau ini,`` tambah Major (B), ``Sepulang dari Makkah, al-Hamdulillah ada hamba Allah yang menderma dengan agak banyak, hingga dapat disempurnakan bangunan Surau yang kita saksikan pada masa ini.`` Kata Major (B) Adnan, ``Kos bagi menyiapkan Surau ini hingga kini adalah berjumlah RM230,000.`` Tambah Major, ``Kini penduduk dapat menunaikan solat di Surau ini dengan lebih selesa berbanding dengan penggunaan surau di bawah bangunan flat sebelum ini.``


Adun dalam ucapannya, berterima kasih kerana sekali lagi dijemput hadir dan tahniah kepada AJK dan Penduduk yang akhirnya dapat menyiapkan surau At-Taqwa ini. Menurut Adun, ``Saya sendiri hadir pada peringkat menentukan Tapak Surau dan hadir juga pada peringkat Pecah Tanah dan Menentukan Arah Kiblat.`` Kata Adun selain dari itu hadir beberapa kali semasa proses pembinaan, terakhir beberapa minggu yang lepas, semasa persiapan akhir seperti menyiapkan paip air, mengecat dan sebagainya.`` Katanya ``Kami makan pengat durian semasa hadir pada hari itu.``


Adun berkata lagi, kekurangan-kekurangan yang diperlukan bagi surau ini yang saya difahamkan memerlukan pagar, perluasan ruang, stor dan rumah masak, memerlukan kawasan di hadapan surau ditarkan dan perlu didirikan bangunan pendidikan bagi anak-anak dapat diusahakan secara berperingkat. Kata Adun lagi, ``Sesudah Surau At-Taqwa disiapkan perlulah AJK bermesyuarat dan berbincang bagi memenuhi kegiatan Surau At-Taqwa. Surau bukanlah digunakan setakat ibadat sahaja, tetapi juga sebagai tempat pendidikan dan juga kegiatan-kegiatan kemsyarakatan. AJK perlu mengisi masa di surau dengan pengajaran-pengajaran dengan menjemput guru-guru mengajar di sini dari masa ke masa. Bimbingan pelajaran Al-Qur`an dan keilmuan yang lain dapat diadakan terutama kepada anak-anak. Kaum ibu juga dapat memainkan peranan dengan menjemput ustazah-ustazah mengajar terutama pada hari-hari minggu – Sabtu dan Ahad. Kegiatan kemasyarakatan seperti Sambutan Maulidur Rasul, hariraya dan hari-hari kebesaran Islam yang lain dapat diadakan dari masa ke semasa. Kata Adun, pihak Surau perlu mengadakan Tabung Surau bagi menghimpun dana, bukan saja untuk pembangunan, tetapi juga untuk berbagai-bagai kegiatan. Saya difahamkan,kata Adun, pihak AJK mau membina laman sukan di bahagian hadapan, menurut Adun, ``Itu adalah baik, dengan cara ini kita dapat menjinakkan masyarakat terutama kalangan anak muda dengan Surau. Seterusnya Adun berharap semua lapisan masyarakat memberi kerjasama dengan AJK Surau bagi menjayakan berbagai-bagai kegiatan yang akan dilakukan. Yang penting ahli Kariah hendaklah jadikan Surau ini ``Rumah Kedua` yang mana setiap ahli kariah sering datang ke Surau berjamaah dan melibatkan diri dengan berbagai kegiatan yang dianjur oleh Surau.


Pada akhir ucapan, Adun menyampaikan peruntukan bagi Surau At-Taqwa dengan menyerahkan cek bernilai RM5,000 untuk digunakan bagi memenuhi sebahagian dari keperluan Surau yang masih belum dapat disempurnakan.

Selepas Solat Isya` semua ahli jamaah menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak Surau.

Sekian.

No comments:

Post a Comment