January 28, 2013

Ke Pasar Kwantung Agih Limau Sempena Tahun Baru Cina

-->
Sungai Chua, Kajang, 15 Rabiul Awwal 1434 = 27 Januari 2013 (Ahad):


Pada awal tahun 2013 ada tiga perayaan besar yang melibatkan tiga kaum, iaitu pada 24 Januari 2013 (12 Rabiul Awwal 1434) – Khamis ialah sambutan Hari Maulidur Rasul s.a.w. bagi orang Islam, Hari Thaipusan bagi orang India yang jatuhnya pada 27 Januari 2013 (Ahad) – diganti tutup 28 Januari – Isnin dan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 10 & 11 Februari 2013 – Ahad dan Isnin (ganti hari Selasa). Sudah menjadi tradisi pihak Pejabat Adun mengadakan atau memberi kerjasama bagi sambutan-sambutan bagi ketiga-tiga perayaan. Perayaan bagi Sambutan Maulidur-Rasul pada peringkat Dun Bangi telah diadakan pada 26 Januari baru-baru ini bertempat di Sungai Ramal Dalam. Pihak Pejabat Dun Bangi telah memberi kerjasama bagi sambutan Hari Ponggal pada 19 Januari 2013 (Sabtu) bertempat di West Country. Sambutan pada peringkat Dun akan diadakan khas.


Sementara itu permulaan bagi sambutan Tahun Baru Cina yang jatuhnya pada 10 & 11 Februari mulai diadakan pada hari ini. Mengadakan permulaan bagi sambutan Tahun Baru Cina lebih awal adalah menjadi tradisi. Bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina Adun menggunakan mekanisme turun ke pasar-pasar bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina. Pertemuan dengan masyarakat baik bagi ucapan Tahun Baru Cina atau Sambutan Hari Raya kami lakukan secara bersama dengan Ahli Parlimen. Pada masa itu juga kami edarkan jemputan ke Sambutan yang diadakan pada peringkat Dun bersama Parlimen.


Pada hari ini diambil keputusan antara Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang untuk turun mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada khususnya masyarakat Cina dengan turun ke Pasai Kwantung sambil mengedar buah limau kepada orang ramai di pasar sebagai menandakan kemakmuran. Oleh kerana turun padang ke pasar diadakan lebih awal, kami tergesa-gesa untuk mendapat buah-buah limau yang belum banyak di pasaran. Biasanya pada musim Tahun Baru Cina jualan limau boleh didapati di tepi-tepi jalan – tidak perlu ke pasar raya. Saudara Amir Udin dan saudara Shahrum ditugaskan mendapatkan limau ini dan mempastikan bekalan dapat disediakan sejak petang semalam.


Pagi ini kami turun di Pasar Kwantung, pasar terbesar di Kajang yang ramai dikunjungi oleh orang-orang Cina. Pagi ini Adun turun ke pasar bersama saudara Azizi, saudara Amir Udin, saudara Shahrum, saudara Abu Bakar  dibantu oleh tenaga-tenaga di Cawangan Kajang Mewah yang disertai saudari Nursiah suami isteri dan beberapa yang lain lagi. Kami turun seawal jam 8.30 pagi dan mempunyai program di tempat lain sejam selepas daripada itu, sebab itu edaran limau perlu dilakukan secepat mungkin. Kami membawa 50 kotak limau yang dibeli pada petang semalam. Sementara itu Y.B.Teo Nie Ching dan pembantu-pembantunya juga turun sama pada pagi ini dalam waktu yang sama. Tetapi tumpuan kami tidak pada satu tempat. Kumpulan Adun mengambil tempat dipintu masuk sebelah Selatan, manakala pasukan Y.B. Teo mengambil tempat dipintu utara di samping mereka juga bergerak di dalam pasar.


Sambutan yang diberi oleh pengunjung-pengunjung di pasar, lebih-lebih lagi kaum Cina agak luar biasa. Sebaik kotak-kotan limau diturunkan di hadapan pintu masuk, kami dapat mengedarkan limau – dua biji seorang  berterusan, kerana aliran kehadiran pengunjung ramai dan berterusan. Kehadiran kami sebagai `surprised & exited` bagi pengunjung di sini. Mereka ceria menerima hadiah limau dari kami, bahkan ada kalanya kami seperti diserbu untuk mendapatkan limau. Yang menerima dari orang tua dan anak-anak dan juga pemberian tidak terhad kepada satu kaum, sebaliknya kepada semua kaum. Pada masa mengedarkan limau kami berterusan mengucapkan secara bergilir antara Gong Hee Fa Cai, Selamat Tahun Baru Cina dan Happy Chinese New Year. Kadang-kadang diselit ungkapan `Sokong Pakatan`, `Hantar Kami Ke Putrajaya`, `Beri mandate lebih kuat di Selangor ` dan `Ubah Sekarang !`


Dalam keadaan ceria dan gembira, kami dapati limau yang kami bawa, dengan kerja sepasukan dapat kami habiskan dalam masa setengah jam sahaja. Kami dapati Y.B.Teo dan Pasukannya sedang bergerak dalam pasar berdekatan dengan kami. Kami ke tempatnya dan membantu sekejap mengedarkan buah-buah limau mereka, termasuk sama memberi sampul ang pau yang disediakan khas bagi anak-anak. Pada sampul berkenaan gambar Y.B, Teo bersama anak perempuannya.


Kami merasa puas dan bergerak segera untuk ke program yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment