January 20, 2013

Santai & Makan-Makan Bersama Pasukan Pingpong Dun Bangi & ARC

-->
BBB, 06 Rabiul Akhir 1434 = 18 Januari 2013 (Jumaat):


Berikut dari kemenangan Pasukan Pingpong Dun Bangi- hantar 5 regu dan memenangi kejohanan pada peringkat negeri no. 1, 3 & 4, berlangsung di Shah Alam pada 10 November 2012, maka selain dari ucap tahniah, Adun Bangi berjanji untuk meraikan mereka dengan Majlis Makan-Makan. Tarikh telah ditentukan, tetapi tertunda hingga pada malam ini baru dapat diadakan. Semasa perbincangan akhir pihak Alternatif  Riding Club (ARC) yang juga mendapat peruntukan dari Adun Bangi juga bercadang untuk mengadakan majlis yang sama, maka dipersetujui Majlis `Santai & Makan-Makan Bersama Pasukan Pingpong dan ARC diadakan secara bersama bertempat di `Restoran Ikan Bakar Petai` Bandar Baru Bangi. Pihak Pasukan Pingpong dihadiri 10 pemain dan ARC seramai 40 orang. Hadir sebagai Tetamu Kehormat ialah Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, Sdr. Dahari Embong, Ketua Lajnah Sukan Adun Bangi, Ketua Pasukan Pingpong saudara Mohd. Lutfi,  Ketua ARC Selangor saudara Rizal, Pengurus ARC saudara Khairul Hafiz dan Bendahari ARC Ustaz Sazali al-Ansari, selaku Mudir sebuah Ma`had Tahfiz.


Dalam Majlis Santai dan Makan-Makan  saudara Dahari menyampaikan ucapan.
Menurut saudara Dahari,  ``Kemenangan pasukan pingpong kita adalah kemenangan bergaya, kerana tiada yang mampu mencabar kita, bahkan bagi merebut kejohanan pada peringkat akhir kita bertanding sesama sendiri. Wakil-wakil dari Dun dan Kawasan yang lain tidak mampu sampai ke peringkat akhir, tetapi kita menang bukan satu, tetapi tiga hadiah utama. Kita menang setelah berdepan antaranya pasukan-pasukan MPOB, Uniten, Pusat Latihan BSN Bangi.` Kata saudara Dahari, ` Tiap kali kita menghantar pasukan dari Bangi, baik futsal, bola sepak dan pingpong, biasanya kita tidak pulang kosong, selalu membawa pulang kemenangan. Demikianlah semangat positif yang tertanam dalam jiwa `Anak-Anak Muda` pemain-pemain dari Dun Bangi.


Berhubung dengan penyertaan ARC menurut saudara Khairul Hafiz, tujuan pertemuan malam ini boleh disifatkan serampang 3 mata.

  1. Kerana ARC berjaya dalam misi dakwahnya ke Krabi, Thailand bulan Oktober 2012 yang lepas.
  2. Kerana ARC berjaya menghantar tiga orang ahlinya ke Gaza, Palestin
  3. Berjaya mengadakan sambutan dan iringan Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor ke Lawatan Tapak Masjid Al-Umm BBB dan ke Tapak SRA, Sungai Tangkas, Bangi.

Menurut saudara Hafiz, Bikers yang hadir pada malam ini selain dari Bangi, ada yang datang dari Kelang, Kampung Melayu Subang, Gombak dan PJS.
Menurut saudara Rizal selaku Pengarah ARC, bahawa ARC mula ditubuhkan ialah pada 2006 di Terengganu dan di Selangor pada tahun 2009. Kini cawangan ada disetiap negeri, tetapi paling utama ialah di Selangor diikuti Terengganu dan Kedah. Selangor satu-satu negeri yang menganjur Motor Race. Menurut saudara Rizal, setakat ini ada 8 bahagian di bawah ARC, iaitu:
  1. Unit Nuqaba`
  2. Unit Kembara (motor kecil 250 cc ke bawah)
  3. Unit Biker (250 cc ke atas)
  4. Unit Motor Sport (Untuk Sukan Permotoran)
  5. Unit Kawan (Bersama Lajnah Pendidikan contoh kempen anti zina)
  6. Unit Pakar (Selaku Body Guard kepada VVIP)
  7. Unit Mahasiswa (seperti di UNISEL & KUIS)
  8. Unit Off Road (Motor Cross – Masuk hutan dan sebagainya).

Adun Bangi dalam ucapan bagi kemuncak majlis berterima kasih kerana dijemput bersama majlis yang permai, walaupun sedikit hujan. Adun juga mengucapkan tahniah kepada Pasukan-Pasukan Pingpong yang berjaya mencipta nama dan mengharumkan juga Dun Bangi dengan kemenangan monopoli bagi hadiah-hadiah utama. Adun juga mengucapkan terima kasih kerana misi ARC, khususnya bagi tiga objektif dapat dicapai dengan jayanya. Adun berharap banyak lagi kegiatan-kegiatan yang bersifat kreatif dan innovatif dapat dicetuskan oleh ARC dan memberi impak yang penting di dalam menjunjung misi dan pengalaman diri.  Adun bersedia terus memberi kerjasama di dalam kegiatan-kegiatan sukan dan juga ARC. Kedua badan bukanlah asing bagi Adun, banyak kegiatan dan kerjasama pernah dilakukan dan berharap pada masa hadapan kegiatan seperti ini harus diteruskan. Adun Bangi sebagaimana yang lepas bersedia menyalurkan kewangan dan bantuan, menurut kesesuaian.


Selepas dari ucapan Adun, maka jamuan makan secara santai bermula. Majlis berakhir jam 10.30 malam dan bersurai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment