January 23, 2013

Pusat Wanita Berdaya Dun Bangi Dirasmikan


Bukit Radhi, Sungai Ramal Dalam, 07 Rabiul Awal 1434 = 19 Januari 2013 (Sabtu):


Apa itu `Pusat Wanita Berdaya ?`, mungkin itu pertanyaan terbetik dalam minda seseorang bila berdepan dengan istilah `Wanita Berdaya`. Istilah `daya` dan `berdaya` memang ada di dalam Kamus Dewan (2007:321) bermaksud – daya = kekuatan, tenaga & keupayaan, manakala Berdaya = mempunyai tenaga, bertenaga, berupaya, mempunyai kemampuan muslihat (fikiran dan ikhtiar).  Jadi `Pusat Wanita Berdaya` bermaksud = Pusat Wanita Bertenaga atau Kuat`. Tapi maksud sebenar yang dikehendaki ialah Pusat Aktiviti Wanita yang menunjukkan kemampuan dari segi aktiviti yang diadakan. Pada peringkat awal istilah `Wanita Berdaya` ini ditimbulkan, Adun Bangi pernah bertanya dan mempersoalkan di dalam Dewan Negeri Selangor istilah ini yang agak pelik dan tidak digunakan sebelumnya kerana konotasinya boleh membawa maksud kepada = Berdaya, Perdaya, memperdaya yang negatif sifatnya yang bererti sebagai tidak jujur, menipu, berhelah  (ditafsirkan kemampuan muslihat dari Kamus Dewan) dan sebagainya. Yang lebih selamat `Pusat Aktiviti Wanita`, Pusat Aktiviti Maju Wanita` ianya lebih tepat dari `Pusat Aktiviti Wanita Maju`, kerana yang kita nak majukan ialah wanita yang belum maju dengan berbagai aktiviti, bukan maksud nak majukan wanita yang telah maju, kerana ianya sudah berdikari.


Pusat Wanita Berdaya ialah satu dari program yang dianjurkan Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi Dan Kebudayaan di bawah Exco Y.B. Puan Hajah Rodziah Binti Ismail. Sehingga kini sudah 30 pusat sedemikian telah dibukakan di negeri Selangor. Bangi pusat yang ke 31. Adalah dimaklumi target jumlah keseluruhan cawangan bagi seluruh negeri Selangor adalah 35 buah. Sebenarnya tempat dan Aktiviti Wanita telah wujud di Dun Bangi sejak awal Kerajaan Pakatan lagi. Misalnya pembaikpulih Baitul Imtiyaz telah lama dilakukan. Di sini diadakan  aktiviti menjahit, memasak dan bimbingan di bawah AJK antaranya Puan Norlela dengan kerjasama Ketua Kampong Sungai Ramal Luar. Pusat sedemikian juga ditubuhkan di Desa Surada yang kegiatannya tertumpu pada jahitan dan masakan.


Penubuhan Pusat Berdaya Wanita dijanjikan dengan peruntukan dan peralatan. Puan Norlela dan AJK mengambil inisiatif bagi mendapat tempat yang sesuai bagi Pusat Berdaya Wanita. Terima kasih kepada Ustaz Radhi dan Isteri Ustazah Hindun Laidin kerana membuat tawaran bagi menggunakan Dewan di bawah Surau Raudah berhampiran dengan rumahnya untuk digunakan sebagai Pusat Wanita Berdaya. Namun tempat ini memerlukan pembaikan seperti mengecat dan memasang grill bagi keselamatan dan bagi membeli peralatan serta membina tandas. Adun Bangi memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi penyempurnaan ruang Pusat Wanita Berdaya ini. Setelah sekian lama membuat persiapan, maka hari ini dipersetujui untuk perasmian, walau bagaimana saat akhir Y.B. Rodziah tak dapat datang, maka Adun Bangi diminta oleh AJK merasmikan Pusat Berdaya Wanita.



Hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian pada pagi ini selain dari Adun Bangi, ialah Y.B.Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj, Tuan Haji Yusof Bachek Ahli MPKj, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat Pas Serdang, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, Ustaz Radhi selaku Tuan Rumah & Isteri. Hadir sama Puan Hajah Norlela Mihad selaku Penyelia bagi Pusat Wanita Berdaya, Puan Hidayah selaku Setiausaha, Puan Wan Ummi Kalthum Penolong Setiausaha dan Puan Zaiton selaku Bendahari dan jemputan-jemputan yang keseluruhannya wanita berjumlah 100 orang.


Puan Norlela dalam ucapan alu-aluan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Setakat ini menurutnya, Pusat Wanita Berdaya menumpukan kegiatan pada memasak dan menjahit. Akan diberi tumpuan juga aspek pengajian seperti Tajwid, pembacaan al-Qur`an, Cauncilling, pengajian agama dan sebagainya. Dalam ucapannya beliau menunjukkan ke arah makanan yang sedang dihidangkan hasil dari kursus yang dianjurkan, beliau juga menunjukkan kepada pakaian-pakaian wanita dan anak-anak yang dipamerkan di dinding dewan Pusat Wanita Berdaya.


Y.B. Teo bercakap tentang peluang pekerjaan yang dengan kursus-kursus yang dianjur dapat membantu dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan terutama kepada wanita-wanita. Menurutnya, dari segi pelajaran wanita kini mengatasi lelaki. Adalah merugikan Negara jika kepakaran mereka tidak digunakan. Beliau berharap Pusat Berdaya Wanita ini dapat dikembangkan dengan mengadakan kursus-kursus menarik yang dapat meningkatkan kemahiran wanita.


Adun Bangi yang berucap bagi merasmikan Pusat Wanita Berdaya ini mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Radhi dau Ustazah Hindun yang mengizinkan bahagian bawah surau menjadi Pusat Berdaya Wanita. Adun berharap selain dari menganjurkan kursus masakan dan jahitan akan ditambah dengan kegiatan-kegiatan yang lain seperti pengajian al-Quran dan keilmuan Islam yang lain. Kursus pengkomputaran, kaunseling, pejagaan anak-anak dan berbagai perkhidmatan. Adun menyebut satu kaedah pekerjaan sekarang ialah bekerja dari rumah. Misalnya menyediakan makan tengahari bagi pekerja-pekerja dengan menghantar terus ke rumah dan pejabat. Perniagaan kek dan makanan-makanan yang juga melalui khidmat hantar terus. Adun juga menyebut kemungkinan Adun dan yang lain-lain menempah pakaian dari Pusat Wanita berdaya jika jahitannya baik. Begitu juga kemungkinan order makanan bagi sambutan-sambutan, perayaan, bahkan untuk mesyuarat.  Adun menyebut bahawa kalau dapat Pusat Wanita Berdaya mempunyai premis-premis perniagaan yang dapat memperluaskan lagi perkhidmatan dan perniagaan. Adun berharap Pusat ini tidak berjalan sekerat jalan, tetapi terus maju.
Selepas dari ucapan dan perasmian Adun bersama Ahli Parlimen dan tamu-tamu melawat bahagian belakang bangunan – tandas yang diguna dari peruntukan Adun, peralatan dalam bilik Pejabat dan melihat pameran pakaian yang disiapkan oleh Wanita Berdaya.
Selepas itu kami menikmati masakan-masakan yang disedikan oleh penganjur kursus dan pelajar-pelajar bahagian masakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment