January 8, 2013

Pilihanraya Memilih AJK Pentadbir Pasar Bandar Baru Bangi: Adun Bangi Diberi Amanah

Pasar BBB, 24 Safar 1434 = 07 Januari 2013 (Isnin):


Pasar BBB dibangunkan pada akhir 1980an bersamaan dengan perluasan Seksyen Satu, Seksyen terawal di BBB. Penambahan bangunan termasuk mendirikan dua baris rumah kedai dua tingkat (termasuk Pejabat Adun Sekarang), rumah teres dua tingkat Jenis Kipas dan bersama pembangunan ini didirikan Pasar Basah Bandar Baru Bangi di Seksyen Satu di sini.


Pada peringkat permulaan peniaga-peniaga pasar yang terdiri dari 30 tempat jualan menjalankan perniagaan tanpa persatuan. Apabila peniaga-peniaga makin bertambah dengan bertambah warung-warung dikeliling pasar, maka timbul masalah-masalah yang perlu diselesaikan secara berpersatuan, maka Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar BBB mula ditubuhkan pada 1996 – Tanpa mendaftar dengan ROS. Persatuan terawal ini diketuai:

1) 1996 – 1999 diketuai Pak Yusof
2) 1999 - 2002 diketuai oleh Razali
3) 2002 – 2006 diketuai Mohd Zaki bin Itam
4) 2006 – 2012 diketuai oleh Zazli (Persatuan mulai berdaftar dengan ROS)
5) 2012 Jun- 6 Januari 2013 diketuai Puan Hadijah bt. Mohamed
6) 7 Januari 2013 – Kini diketuai oleh Hashim bin Chekda


Selepas Puan Hadijah mengetuai AJK beberapa bulan, ahli-ahli tidak berpuashati dengan kepimpinannya, maka pada 12 September 2012 ahli-ahli mengadakan mesyuarat tergempar memecat Puan Hadijah. Aduan dibuat Puan Hadijah kepada pihak ROS dan juga Adun Bangi. Pihak Ros menganggap pemecatan tidak sah kerana ada ahli yang mengundi tidak membayar yuran dan Setiausaha tidak menghantar laporan (borang 9) dalam tempoh 60 hari menurut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966. Sebab itu perlu dimesyuaratkan menurut peraturan yang dilakukan pada 23 September 2012 oleh pimpinan Puan Hadijah.


Namun masalah dirumitkan lagi dengan dakwaan pihak pimpinan sebelum Puan Hadijah bahawa lantikan mereka masih sah. Laporan kepada Polis dibuat pada 25 September 2012 yang menganggap kutipan derma tidak sah dan urusan kewangan tidak betul. Namun Puan Khadijah mendakwa beliau masih diiktiraf sebagai Pengerusi. Kedua pihak membuat aduan kepada Adun. Pertelingkahan tak berselesaian membuat dua pihak bertemu dengan ROS. Kedua pihak diberi tempoh menyelesaikan pertelingkahan antara 18 Disember 2012 hingga 18 Januari 2013. Mereka datang menemui Adun minta penyelesaian, maka Adun menulis surat pada 24 Disember 2012 meminta 3 orang wakil dari kedua pihak menemui Adun pada 26 Disember 2012.


Dalam mesyuarat yang diadakan dengan dihadiri Setiausaha Adun. Mereka semua bersetuju untuk diadakan pilihanraya pemilihan AJK. Pada masa itu juga Adun menghubungi pihak ROS dan Pengarahnya En. Effendi bersetuju dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Adun menyelesaikan.

Keputusan diambil bahawa Pengundian akan diadakan pada 7 Januari 2013 (Isnin). Waktu mengundi antara jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Mereka yang berhak dicalon dan layak mengundi ialah pemilik-pemilik gerai/ruang berniaga yang berdaftar dengan MPKj dan membayar yuran.


Pada 27.12.2012 dikeluarkan makluman senarai nama ahli yang layak menjadi calon dan mengundi dan pada hari ini juga Borang Pencalonan disediakan di Pejabat Adun dan tempoh pencalonan nama calon dengan pencadang dan penyokong diberikan masa selama 5 hari, iaitu mulai 27.12.2012 (Khamis) hingga 31.12.2012 (Isnin). Pada 01.01.2013 (Selasa) Senarai nama-nama calon yang layak bertanding dipaparkan untuk tujuan berkempen. Calon-calon dibenarkan berkempen kepada ahli-ahli yang layak mengundi sehingga jam 5.00 petang, 06 Januari 2013.

Pada 7 Januari (Isnin) 2013 adalah hari mengundi. Masa antara jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari bertempat di Pasar BBB.

Suruhanjaya Pilihanraya Pasar BBB diketuai oleh Adun Bangi – Dr. Shafie Abu Bakar
Setiausaha: Puan Nabilah Binti Ahmad
AJK terdiri dari:
Saudara Amir Othman
Saudara Shahrum Abdullah


Pemerhati:
Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi
Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau An-Nur Bandar Baru Bangi
Tuan Haji Kamaruddin Yusof Setiausaha Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi.

Senarai Pengundi yang cukup syarat dan sah ialah 53 orang.
Semua jawatan dipertandingkan (Ada lebih dari satu calon) daripada Pengerusi (2), Timbalan Pengerusi (3), Setiausaha (3), Penolong Setiausaha (3) Bendahari (2) dan 5 AJK (15) dipertandingkan.

Pengundi perlu memangkah undi dan memasukkan ke dalam tong mengundi. Sehingga ke saat akhir tempoh mengundi ada yang datang mengundi. Keseluruhan kertas undi yang digunakan adalah berjumlah 33 undi. Didapati ada pengundi yang layak dan berada di pasar sengaja tidak datang mengundi, walaupun diminta datang mengundi.

Tepat jam 1.00 tengahari waktu mengundi tamat dan kiraan undi dilakukan ditempat mengundi dan peniaga-peniaga dijemput menyaksikan. Nabilah selaku Setiausaha membaca jumlah undi didapati calon-calon dan 4 orang menandakan jumlah yang didapati setiap calon. Jam 1.40 keputusan dipastikan sebagaimana berikut:

Pengerusi
:
Hasyim bin Che Da
31 undi
Timbalan Pengerusi
:
Ruslina binti Husin
31 undi
Setiausaha
:
Fauziah binti Kamaruzaman
25 undi
Pen. Setiausaha
:
Raja Zainon binti Raja Hasyim
27 undi
Bendahari
:
Roslini binti Muhammad
33 undi
Ahli Jawatankuasa
:
Agus Salim bin Abd Wahid
30 undi

:
Asmah binti Awan
28 undi

:
Rizwan bin Mohd Rafit
27 undi

:
Hanafi bin Isa
24 undi

:
Rosidah binti Ayob
24 undi



Pengumuman dibuat oleh Adun Bangi selaku Pengerusi pilihanraya Pasar Bandar Baru Bangi. Tahniah kepada yang menang dan diharap tidak timbul lagi kekecohan. Mereka yang diberi amanah seharusnya bekerja bagi kemajuan Pasar dan peniaga-peniaga serta disenangi oleh pembeli-pembeli dan pengguna-pengguna.

Sekian.

1 comment:

  1. 1) 1996 – 1999 diketuai Pak Yusof
    2) 1999 - 2002 diketuai oleh Razali
    3) 2002 – 2006 diketuai Mohd Zaki bin Itam
    4) 2006 – 2012 diketuai oleh Zazli (Persatuan mulai berdaftar dengan ROS)
    5) 2012 Jun- 6 Januari 2013 diketuai Puan Hadijah bt. Mohamed
    6) 7 Januari 2012 – Kini diketuai oleh Hashim bin Che Da

    Item no 6) tu patutnya 2013 kot...

    ReplyDelete