January 22, 2013

Suara Orang Muda Memantap Suara Rakyat Menggugat

-->
Up Town, Jalan Reko, BBB, 07 Rabiul Awal 1434 = 19 Januari 2013 (Sabtu):


Geruh dan Gerun BN terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur berpusat di Stadium Merdeka pada 12 Januari berjumlah dijangka 700,000 ribu itu masih terpandang-pandang dan terngiang-ngiang. Arus kehadiran mereka memenuhi stadium, melempah dan mengalir di jalan-jalan. Laungan `Ubah Sekarang` menggemai ruang berulang-ulang mencengkam minda Datuk Seri Najib dan pimpinan BN. Kesan himpunan ini nampaknya tidak reda, sebaliknya terus hangat menjadi bahan gugatan dan senjata pilihanraya yang makin mendekat.


Nampaknya propaganda akhbar-akhbar dan tv diperalat pemerintah, tidak mampu membendung limpahan maklumat yang dapat diekses dari berbagai-bagai bahan internet. Yang amat mengancam bila penyelidik-penyelidik bebas membuat telahan akan kejatuhan BN dalam pilihanraya ke 13. Lebih malang pendapat sedemikian dilontar oleh pegawai dari institusi yang seharusnya mendukung kerajaan. Contoh Ketua Ekonomi Bank Islam saudara Azrul menyampaikan pendapatnya dalam Regional Outlook Forum di Singapura, bahawa BN akan kalah pada pilihanraya ke 13 nanti menyebabkan beliau telah digantung dari tugas. Sikap kerajaan yang tidak telus dan mengambil tindakan yang tidak bijaksana meyakinkan rakyat bahawa kekalahan BN akan berlaku. Insiden-insiden kecil menghilangkan kredebiliti pemerintah seperti `Kes Bawani` pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia mencanggahi usaha membendung mereka dari terpengaruh dengan pihak pembangkang. Hakikatnya Bawani meluahkan realiti bersifat kongkongan di kampus. Pihak berkuasa dilihat hipokrit, tidak menghargai kebebasan berfikir dan sememangnya mahasiswa tidak seiring dengan perkembangan politik semasa. Cetusan ini walaupun kecil tetapi memberi impak yang penting bagi kalangan mahasiswa yang seharusnya berubah seiring dengan seruan `Ubah Sekarang !`


Wadah yang disediakan kepada Anak Muda meluahkan pendapat untuk didengar pihak pimpinan seperti di UpTown, Jalan Reko, Bangi boleh dianggap sebagai lanjutan dari `Expressi Berani Bawani` sebagaimana disampaikan oleh saudara Daim dari Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, saudara Muhammad Azam dari Gamis dan saudara Arif Misrol sebagai wakil JASA. Mereka melahirkan pendapat tentang apa yang tidak menyenangi mereka dan memberi pendapat yang menjadi harapan mereka. Turut memberi pendapat ialah wakil dari Nisa`. Keberanian mereka harus kita hargai dan sanjungi. Walau bagaimana mereka ini adalah graduan yang telah keluar dari kampus dan merupakan aktivis semasa. Namun dilihat dari segi mahasiswa yang sedang belajar yang berada di kampus-kampus dekat, bagi mereka walaupun AUKU sudah dimansuhkan, tetapi sebenarnya mereka masih didinding dengan `Pagar Kertas` yang masih lagi mereka tidak berani rentas`. Pagar Kertas ini berlaku bukan saja di kampus dekat, tetapi juga hampir disemua kampus. Dapatlah dikatakan `Tidak Ada keberanian` mengeluarkan pendapat dari kalangan mahasiswa. Pada hal Medan Tempur mengeluarkan pendapat memang disediakan di `Speaker Corner` atau di majlis-majlis terbuka. Jadi bila tidak ada yang  menggunakannya, maka sudah tentulah lebih sukar untuk mereka keluar merentasi pagar kertas bagi bersama menyuarakan kebebasan di khalayak ramai seperti di Up Town di sini. Namun dari perubahan mutakhir melanda Politik Negara dan kita kira juga di kampus, maka diharap kalangan mahasiswa dapat bersama  masyarakat yang sedang dan bakal menerima perubahan.


Y.B. Teoh Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang turut bercakap pada malam ini memuji tentang peluang diberi kepada orang muda melahirkan pendapat. Beliau yang mencontohi dirinya yang juga sebagai orang muda yang menjadi ahli Parlimen sejak berumur 27 tahun  menganggap dirinya tidak lebih dari orang muda biasa, tetapi kerana peluang disediakan, maka kini tidak bimbang lagi untuk bercakap dan memberi idea. Menurutnya kita mau orang muda berani dan tidak takut memberi idea. Mereka adalah pelapis dan pimpinan masa hadapan.


Adun Bangi yang diminta bercakap selepas orang-orang muda bercakap berterima kasih kerana diberi peluang bercakap. Beliau mengingatkan budaya politik bertaraf rendah dan tidak mencerminkan keunggulan pemikiran kepimpinan sedang melanda Negara sekarang. Budaya sabotaj menyekat keperluan asas berhubung dengan air, mengexploitasi sampah, menyaman rakyat dari kesalahan tertangguh kerana dekatnya pilihanraya sedang dilakukan. Semuanya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang ada, sedangkan mereka miskin dari idea bernas untuk memikat rakyat. Sebaliknya mereka memilih `Pendekatan Boros Dan Pembaziran` dengan menabur wang dengan cara yang tidak bijaksana yang sepatutnya diguna untuk menjana pembangunan dan bukannya menambahkan lagi hutang yang terpaksa ditanggung rakyat. Kita berharap rakyat – terutama orang muda tidak terpesona dengan tindakan terdesak mereka dan dapat mebezakan antara pelan pembangunan bersepadu yang dapat menyerlahkan pembangunan dan peningkatan ekonomi negeri Selangor yang bakal menjadi model bagi pembangunan Malaysia, jika Pakatan Rakyat diberi mandate memerintah.


Dalam Majlis ini juga Ustaz Ridzuan Mohd Nor dijemput khas membicarakan Peranan Orang Muda sebagi agent perubahan. Bukti-bukti dikemukan baik pada peringkat Negara seperti Kebangkitan Rakyat yang sedang berlaku dan Arab Springs yang menurutnya adalah dicetuskan oleh Orang-Orang Muda. Orang Muda adalah Agent Perubahan Sebab itu Berubahlah Dari Sekarang !


Sekian.

No comments:

Post a Comment