January 9, 2013

Ucapan Adun Bangi Sempena Lawatan Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Ke Tapak SRA Sungai Tangkas BBB



Sungai Tangkas, 23 Safar 1434 = 06 Januari 2013 (Ahad):

Bagi pihak penduduk Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas kesudian Y.A.B. Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim datang membuat lawatan Ke Tapak Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Tangkas, Mesra Rakyat dan Kenduri Kampung. Lebih-lebih lagi berterima kasih kerana Kerajaan Negeri Selangor - Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Pimpinan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim bukan saja meluluskan tapak SRA, bahkan beserta dengan peruntukan RM5.2 juta bagi pembangunan SRA yang tapaknya sedang rancak dibangunkan.


Pihak penduduk berterima kasih kerana kelulusan mendapat SRA Sungai Tangkas adalah memakan masa yang pendek dan tangkas. Dalam lawatan Adun ke Sungai Tangkas pada awal kemenangan Adun pernah berbincang dengan Ketua Kampung tentang keperluan SRA di Sungai Tangkas, beberapa tanah kosong dikenal pasti. Salah satunya ialah tapak yang sedang dibangunkan. Pada bulan November 2009, maka Ketua Kampung Tuan Abdul Hadi Husin ke Pejabat Daerah membuat selidikan tentang tapak dan membuat permohonan secara rasmi pada Februari 2010 dan mendapat kelulusan pada September 2010. Kepastian tapak akan didirikan SRA menurut Tuan Abdul Hadi ialah pada 11.11.2011 serentak dengan maklumat mendapat kebenaran didirikan solat Jumaat di Surau Al-Hidayah berhampiran tapak dari JAIS.

 
Berdasarkan maklumat dari pihak Pemaju Syarikat Mamfor – dari Site Supervisor Mohd. Azam Fairuz pada 17.12.2012. Projek SRA Sungai Tangkas seharusnya bermula pada September 2012, tetapi oleh kerana hujan ditangguh kepada November 2012. Pembinaan SRA Sungai Tangkas oleh Syarikat Mamfor dijangka siap pada 20.12.2013. SRA Sungai Tangkas yang dibina di atas tanah seluas 2 ekar akan terdiri dari 2 bangunan  4 tingkat dengan satu bangunan kantin. Sekolah ini akan mempunyai:

30    bilik darjah
01    surau
01    pusat sumber
01    bilik mesyuarat
01    bilik guru
01    bilik Guru Besar

Dengan siapnya pembinaan SRA Sungai Tangkas, ianya dapat menampung keperluan anak-anak penduduk yang berjumlah 15,000 penduduk yang terdiri dari lima taman, selain dari Sungai Tangkas, ialah anak-anak pekerja German Malaysian Institute dan Essex KWSP. Adalah satu yang menarik bahawa Sungai Tangkas bukan sahaja memerlukan SRA, tetapi juga Sekolah Rendah Kebangsaan dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan, tetapi nampaknya Kerajaan Negeri Selangor lebih peka dan mendahului Kerajaan dalam menyediakan keperluan Sekolah.

Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat adalah Kerajaan Prihatin terhadap perkembangan Pendidikan Islam, jika dilihat kepada jumlah SRA yang ada di DUN Bangi, iaitu 10 buah (tak termasuk bertaraf swasta), maka lima buah daripadanya dibina dalam masa pemerintahan Kerajaan Pakatan, iaitu:
1)      SRA Seri Putra
2)      SRA Al-Istiqamah, Seksyen 16 BBB
3)      SRA Jalan 6, BBB
4)      SRA Kajang Raya
5)      SRA Sungai Tangkas BBB

Manakala SRA sebelum Kerajaan Pakatan di Dun dalam masa 50 tahun

1)      SRA Sungai Ramal Luar
2)      SRA Sungai Ramal Dalam
3)      SRA Integrasi BBB
4)      SRA Pekan Bangi
5)      SRA Taman Intan, BBB.

Keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Agama dan Pendidikan Islam boleh dilihat dari bajet Kerajaan Negeri Selangor 2013 berjumlah RM1.63 bilion, maka peruntukan bagi Agama Islam adalah sebanyak RM224,354,224.00. Daripada jumlah ini peruntukan bagi Sekolah agama ialah RM51,250,270.00, iaitu jumlah tertinggi bagi jabatan. Sesungguhnya Kerajaan Negeri selangor adalah Kerajaan yang paling banyak memberi peruntukan kepada agama Islam, khususnya dalam bidang pendidikan. Ini tidak termasuk peruntukan dari Zakat RM320 juta dan peruntukan bagi Sekolah Rakyat (RM16 juta).

Y.A.B. Dato` Menteri Besar, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Walaupun sudah terdapat 10 buah SRA Kerajaan di Dun Bangi, tetapi sebenarnya masih belum cukup tempat bagi anak-anak belajar di Sekolah agama. Namun keperluan yang amat terasa, ialah tiadanya Sekolah Menengah atau Tahfiz Menengah di Dun Bangi bagi menampung minat pelajar-pelajar menyambung pengajian di Sekolah Menengah Agama. Adalah diharapkan di Sungai Tangkas atau di Dun Bangi akan mendapat Sekolah Menengah Agama atau Tahfiz sebagai saluran bagi pelajar-pelajar ke universiti/pengajian tinggi seperti KUIS yang berada di Dun Bangi, atau USIM yang juga berjiran dengan Dun Bangi atau ke UIAM yang Kampus Matrikulasinya dekat dengan Dun Bangi, di samping pelajar-pelajar  boleh menyambung pengajian seperti di UKM, GMI, UNIKL, UNITEN, UPM, UNI-Multi Media, Nottingham dan Lim Kok Wing yang semuanya berdekatan dengan Bangi.

Sekali lagi terima kasih kepada Y.A.B. kerana sudi datang melawat Tapak SRA Sungai Tangkas. Semoga dengan lawatan ini pembinaan SRA Sungai Tangkas berjalan lancar dan siap dalam masa yang ditentukan. Kita kira ibu bapa tidak sabar menunggu siapnya bangunan SRA Sungai Tangkas, dengan demikian anak-anak tidak perlu ke SRA di BBB yang agak jauh. Dengan bertambah SRA Sungai Tangkas sebagai SRA terbaru di Dun Bangi akan bertambah menyemarakkan Dun Bangi dengan pendidikan, khususnya pendidikan Islam sesuai dengan Bangi Bndar Ilmu.


Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis pada hari ini.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment