January 17, 2013

Syarikat Pemaju Membina Surau Bagi Taman Perumahannya – Alam Sari: Masalah Dihadapi

Alam Sari, 04 Rabiul Awal 1434 = 16 Januari 2013 (Rabu):

Alam Sari adalah Taman Perumahan baru yang sedang membangun. Terletak di Sungai Tangkas, berhampiran dengan Kampus German-Malaysian Institute, Bandar Baru Bangi. Taman Alam Sari dibangunkan sejak 5 tahun yang lalu dan kini mempunyai lebih kurang 500 buah rumah. Perumahan dibangunkan oleh anak Syarikat bagi Alam Sari (I & P Menara Sdn. Bhd. Pemaju `Township` Alam Sari), iaitu sebuah Syarikat Kerajaan Persekutuan yang disokong oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB).


Syarikat ini menyediakan berbagai kemudahan bagi penduduk – termasuklah sebuah surau. Surau ini telah dibina sejak Mei 2012 di atas sebidang tanah kurang dari seekar dan siap pada bulan November 2012. Pihak penduduk telah melantik Ahli Jawatankuasa Penaja bagi mengendalikan kegiatan di surau yang namanya belum diberi, cuma ada cadangan dinamakan Surau Al-Kahfi. Pengerusi bagi AJK Penaja ialah Tuan Hj. Hasrin bin Hashim. Jawatankuasa Penaja mempunyai hubungan rapat dengan Pengerusi & AJK Persatuan Penduduk iaitu Ir. Dr. Muhammad Fuad bin Abdullah Pengerusi yang juga sebagai Imam Surau.


Masalah yang dihadapi oleh pihak AJK Penaja dan penduduk, bahawa surau yang baru siap yang memakan peruntukan RM300,000 ini, bahawa surau ini masih belum mendapat CF, air dan api belum dimasukkan secara rasmi. Penduduk sudah tidak sabar menunggu dan telah mulai menggunakan surau berkenaan secara terhad. Atas tujuan mencari jalan bagi mengatasi masalah, maka pihak Surau menjemput Adun Bangi, Ahli MPKj Zon 22 saudara Adram Musa, Ustaz Durabi Timbalan Pentadbir PAID, Hulu Langat, Encik Hakim dan En. Hamidin dari pihak Pemaju untuk membincang dan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.


Dalam ucapan alu-aluan En. Hasrin Pengerusi Surau berterima kasih di atas kehadiran para jemputan, khususnya Adun, Ahli MPKj dan Paid. Beliau melahirkan masalah yang dihadapi surau mengenai CF yang belum didapati, air dan letrik yang belum disambung secara rasmi, mengenai pungutan derma dari ahli kariah bagi kegiatan surau. Wakil Pemaju Encik Hakim menerangkan syarat-syarat bagi memenuhi keperluan CF. Perkara berkenaan akan diuruskan oleh pihak Pemaju dalam masa terdekat. Urusan permohonan dari Syabas dan TNB juga akan dibuat.


Adun Bangi dalam ucapannya mengucap tahniah kepada penduduk Alam Sari kerana mendapat surau yang disediakan oleh pihak Pemaju dan kita berterima kasih kepada pihak Pemaju yang menyediakan surau. Di tempat lain kadang-kadang pemaju hanya menyediakan tapak dan penduduk mesti berusaha bagi membangunkan surau. Namun ada kawasan yang tidak mempunyai tapak khusus surau. Cabaran bagi penduduk di kawasan sedemikian untuk mendapat tapak, dan berusaha bagi mendapat surau. Jadi Penduduk di Alam Sari perlu bersyukur, kerana surau sudah ada. Keperluan-keperluan yang disebutkan adalah procedure biasa yang perlu diusahakan oleh Pengerusi dan AJK bagi mendapat keperluan-keperluan berkenaan. Adun fikir pihak-pihak berkenaan akan memberi kerjasama yang baik. Pihak Adun sedia memberi kerjasama dan menyokong apa yang dipohon pihak surau. Teruskan usaha-usaha sehingga mendapat kejayaan sepenuhnya.


Berhubung dengan PAID, menurut Ustaz Durabi, sesudah siap surau perlu didaftarkan yang dengan pendaftaran banyak kemudahan yang didapati. Bila sudah semperna perlu mesyuarat Agung bagi pemilihan AJK Tetap dan berfungsi mengikut tempoh yang ditentukan oleh JAIS (sekarang hingga tahun 2016). Dengan pendaftaran dapat potongan dan pengurangan dari segi bayaran-bayaran bil. Dari segi pungutan derma beliau mengingatkan jangan menggunakan akaun individu. Sebelum mendaftar elok guna akaun persatuan penduduk yang telah berdaftar.


Saudara Adram mengutarakan masalah jalan keluar bagi penduduk Sungai Tangkas termasuk Alam Sari. Menurutnya pihak MPKj bercadang untuk membuat saluran air dari kawasan dekat stesen Komuter ke Sungai Langat. Untuk jangka panjang Alam Sari seharusnya mempunyai Sekolah rendah dan menengah yang tapak telah tersedia, demikian juga ada tapak untuk masjid yang kelak perlu digerak bagi mendapat projek-projek berkenaan dengan lebih segera.


Pada masa sesi soal jawab ada ahli kariah yang menimbulkan tentang penyediaan peralatan bagi surau, perlu pembesar suara yang lebih sempurna dan soal keselamatan Surau dan sebagainya. Perbincangan sebenarnya licin dan mesra. Pada keseluruhan apa yang dikatakan masalah di Surau Alam sebenarnya antaranya merupakan procedure biasa. Menyempurnakan procedure dan mengatasi masalah adalah cabaran bagi yang memimpin agar berusaha mengatasinya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment