January 7, 2013

Lawatan Yang Sempurna: Janji Dato` Menteri Besar Kerajaan Negeri Selangor Memperuntukkan Ringgit Per Ringgit Bagi Kutipan Derma Masjid Al-Umm

BBB dan Sungai Tangkas, Bangi, 23 Safar 1434 = 06 Januari 2013 (Ahad):


Persiapan rapi berbulan lamanya beserta dengan cuaca yang baik, program Lawatan Kerja Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor ke Tapak Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi dan Tapak SRA, Sungai Tangkas Bangi hari ini berjalan dengan perfect, lancar dan menceriakan.


Kesampaian Y.A.B. Dato` Menteri Besar ke Tol Bangi disambut Pasukan Rider Pengawal Keselamatan MPKj dan ARC berjumlah 50 orang. Dengan penuh kehaibatan Pasukan Rider  mendepani kenderaan Y.A.B. bergerak bergemuruh enjin motorsikal berkuasa tinggi dan tiba tepat jam 10.00 pagi di Dataran berdepan Tapak Masjid Al-Umm. Sebaik Y.A.B. mencecah kaki dan disambut Adun dan lain-lain bunyi kompang pula memecah suasana dan membangkitkan semangat beserta salawat. Y.A.B. diiring ke pentas sambil beliau bersalam dengan orang ramai yang berdiri memberi penghormatan. Berada dihadapan pentas bersama Y.A.Berhormat Dato` Menteri Besar ialah Adun Bangi, Ybhg. Dato` Haji Mohd Amin bin Ahmad Ahya, Pegawai Daerah Hulu Langat, Ybhg. Dato` Hasan Nawawi YDP, MPKj, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Turut hadir dan berada di kerusi barisan hadapan tetamu ialah Tan Sri Dato` Mohd. Nor Ismail Bekas Timbalan Naib Canselor UPM dan Pengerusi Koperasi BBB, Y.B. Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Y. B. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat. Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Mohd. Yusof Bachik Ahli MPKj, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung, Imam dan hadirin. Majlis bermula dengan doa oleh Ustaz Idris Imam Masjid Al-Hasanah, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Y.B. Adun Bangi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm (Ucapan Adun akan diterbitkan kemudian).


Dalam ucapan Y.A.B. Dato` Menteri Besar berdepan dengan lebihkurang 2,000 hadirin beliau bergembira menurutnya 60% dari penduduk BBB adalah terdiri dari kalangan intelektual atau mereka yang bekerja yang ada hubungan dengan pusat-pusat keilmuan yang terdapat di Bangi dan sekitarnya. Kesedaran tinggi tentu ada pada mereka tentang kerja-kerja kebajikan, termasuk menderma bagi masjid. Beliau juga bergembira melihat masjid dan surau bertambah makmur. Menurutnya mendirikan Masjid adalah tuntutan Kifayah. Di Bangi hanya ada sebuah Masjid, iaitu Masjid Al-Hasanah, tetapi ada 13 surau mendirikan Jumaat. Oleh itu amat wajar didirikan Masjid Al-Umm. Y.A.B. memuji usaha AJK memungut derma bagi mendirikan masjid yang setakat ini baru berjumlah RM1.2 juta ringgit. Beliau berjanji Kerajaan Negeri Selangor akan memberi sumbangan kepada Masjid Al-Umm menurut kadar `dollar to dollar` bermaksud, Kerajaan negeri Selangor akan memberi sumbangan menurut kadar jumlah derma didapati. Pengumuman ini mendapat tepukan hadirin. Y.A.B. maukan AJK Masjid memberi perhatian terhadap maintenance dan kebersihan masjid terutama tandas dan tempat wudhu`. Kebersihan jadi daya tarikan pengunjung dan meramaikan jamaah. Pada akhir ucapan Y.A.B melancarkan dua buah buku yang ada kaitan dengan Y.A.B, iaitu buku Bangi Bandar Ilmu. Buku ini dihasilkan selepas Y.A.B. melancarkan motto `Bangi Bandar Ilmu` di KUIS pada 22.6.2008. Kandungannya adalah blueprint Bangi Bandar Ilmu, rangka kerja dan kegiatan-kegiatan Adun Bangi dan buku kedua yang baru diterbitkan awal 2013 ialah Gagasan Bangi, iaitu hasil peraduan esei dan puisi sempena 3 tahun pelancaran Bangi Bandar Ilmu. Y.A.B. Dato` Menteri Besar menandatangani pada kedua-dua buku yang dilancarkan dan 2 buah buku seumpamanya dihadiahkan sebagai cenderahati kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar. Selepas itu Y.A.B menerima sumbangan dari masjid-masjid dan surau-surau, Ketua Kampung dan orang perseorangan. Jumlah sumbangan yang diterima termasuk yang terus memasukkannya ke dalam tabung-tabung disediakan adalah sebanyak RM103665.00 bersama dengan nilai seutas rantai dan sebentuk cincin. Selepas itu Y.A.B. melawat Pameran Masjid Al-Umm dan diberi penerangan oleh Tuan Raja Fuaddin Ahmad yang merupakan arkitek menyediakan bahan-bahan pameran berkenaan.


Kemudian Y.A.B. Dato` Menteri Besar diiringi melihat Tapak Masjid Al-Umm dengan mendaki 23 mata tangga untuk melihat tapak Masjid Al-Umm. Y.A.B. yang meninjau tapak dan menyifatkannya sebagai `Baik dan Cantik` . Beliau juga bertanya berkenaan rumah-rumah semi D berdekatan Tapak Masjid Al-Umm. Adun memaklumkan pemajunya Anak Syarikat PKNS. Beliau mencadangkan pihak Masjid Al-Umm wajar memiliki satu dua unit rumah berkenaan bagi pekerja atau asset milik masjid. Puncak dari Lawatan Tapak Masjid, Y.A.B, Dato` Menetri Besar menandatangani Plak Masjid Al-Umm. Kemudian beliau diiringi kembali ke bawah dan menyertai jamuan tengahari. Semua yang hadir juga turut menjamu selera. Pihak AJK tidak menggunakan duit Derma Masjid bagi Majlis Sambutan, sebaliknya didapati dari sumbangan orang perseorangan dan juga iklan-iklan.


Jam 12.00 tengahari Y.A.B bertolak ke Tapak SRA Sungai Tangkas dengan didahului oleh Pasukan ARC dan juga Pengawal Keselamatan MPKj. Tapak SRA berdekatan dengan Surau Al-Hidayah. Perkhemahan didirikan di atas jalan berdepan dengan Surau Al-Hidayah. Hadirin VIP seakan sama dengan hadirin VIP di Masjid Al-Umm  kecuali di sini dihadiri Ybhg. Tuan Mohd Arif bin Abdul Samat dari PAID Hulu Langat dan beberapa yang lain. Tuan Pengerusi Tuan Haji Ridhuan memaklumkan kepada Y.A.B. bahawa, ``Inilah kali pertama seorang Menteri Besar datang ke Kampung Sungai Tangkas. Penduduk Amat teruja dan berterima kasih`.


Majlis juga dibuka dengan doa dan ucapan alu-aluan dari Adun Bangi (akan diterbitkan) diikuti ucapan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim yang mengucap tahniah kepada penduduk di Sungai Tangkas kerana mendapat bangunan SRA. Ini memudahkan anak-anak datang ke Sekolah dan tidak perlu berulang jauh seperti ke BBB. Y.A.B. mengakui dalam keadaan sekarang masih kurang SRA dan masih tidak dapat menampung keperluan setempat. Ramai yang mencapai mumtaz tidak dapat menyambung pengajian ke Sekolah Agama. Satu cara menurut Y.A.B. dapat mengatasi kekurangan tempat, ialah dengan mengadakan pengajian satu sesi di Sekolah-sekolah Karajaan. Pada sebelah petang pula digunakan untuk pengajian SRA. Selepas ucapan Y.A.B dijemput dengan diiringi VIP-VIP menyampaikan Hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang pada peringkat PMR dan UPSR. Anugerah Penghargaan pula disampaikan kepada Ibu Mithali dan Tokoh Kepimpinan Tempatan. Y.A.B juga menerima cenderahati yang disampaikan oleh Ketua Kampung Tuan Abdul Hadi Husin. Berikutnya para tamu menikmati jamuan dan selepas itu melawat Tapak SRA yang masih dalam peringkat menambak tanah dan meratakan. Y.A.B. diberi penerangan oleh Pihak Jurutera JKR dan juga pihak Pemaju. Sekolah yang terdiri dari 2 bangunan empat tingkat dengan sebuah kantin akan mempunyai 30 darjah. Kos bagi bangunan ialah RM5.2 juta ringgit. Majlis berakhir lebih kurang jam 1.00 tengahari sebelum zohor.


Semua berpuashati dengan perjalanan majlis sama ada Majlis Lawatan Tapak Surau Al-Umm, maupun Lawatan Tapak SRA, Sungai Tangkas. Majlis tepat dengan nama Lawatan Tapak, Mesra Rakyat Dan Kenduri Kampung. Majlis berjalan lancar dan menceriakan.


Terima kasih kepada semua pihak yang sudi datang dan menjayakan Majlis yang begitu Meriah dan Bersejarah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment