Kuis, Bandar Seri Putra, 13 Rabiul Awwal 1434 = 25 Januari
2013 (Jumaat):
Program di atas adalah dianjur oleh Biro Taadib dan
Kepimpinan Masjid Al-Azhar 2013 (RTA 13), Kuis, Bandar Seri Putera, Bangi.
Program bertujuan bagi membina Modal Insan Unggul. Adun diminta berucap bagi
kata-kata alu-aluan bagi program satu hari, khususnya sebelum Forum Tarbiah dari jam 9.10 – 9.30 malam.
Menurut program forum terdiri dari panel Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz
Nik Zawawi Salleh dan Ustazah Hafizah Musa (Adun tidak mengikuti forum).
Adun mengutarakan pendapat bahawa konsep tarbiah ialah
sesuatu yang murni dan unggul. Ianya mempunyai hubungan dengan istilah `Rabb` -
Ketuhanan yang mempunyai segala sifat kesempurnaan. Idealnya insan dituntut
mendekati dan membina diri dengan sifat-sifat kesempurnaan melalui tarbiah.
Keunggulan bagi insan antaranya diistilahkan dengan Insan khalifah, Insan
Rabbani dan Insan Kamil. Untuk pembicaraan ini kita kenali mereka dengan `Insan
Unggul`.
Mentarbiah insan ialah usaha bagi mengangkatkan martabat
insan melalui elemen-elemen yang ada pada diri insan baik dari segi fizikal,
akli, kalbu dan rohani. Pengangkatan melalui skima jangka pendek dan jangka
panjang dan ada jatuh bangunnya. Tarbiah jangka pendek ialah pendidikan
individu dan kelompok masyarakat seperti saudara-saudari yang bakal keluar
sebagai seorang `terpelajar` begitu juga semua saudara-saudari setelah keluar
dan bergelar sebagai masyarakat terpelajar ! Sejauhmanakah terpelajarnya akan
dibincangkan. Dari segi jangka panjangnya, umat Islam sejak dari kelahiran
Islam dibawa oleh Rasulullah s.a.w hingga kini mempunyai tradisi tarbiah yang
panjang. Baik tarbiah bagi individu yang mempunyai masa tarbiah relatif pendek,
maupun tarbiah umat yang mempunyai masa yang panjang adalah menggunakan
berbagai-bagai mekanisme pendidikan yang berubah dan bertambah sesuai dengan
perubahan dan pertambahan zaman. Mekanisme ini ada berupa tempat seperti
masjid, surau, madrasah, pondok, langgar, Sekolah, kolej, universiti dan
lain-lain. Ada
yang berupa alat seperti kitab, buku, computer,video, film, bahkan alam dan
sebagainya dan yang lebih penting ialah penyampai tarbiah yang dikenali dengan
guru, muallim, ustaz, pengajar, pensyarah, professor dan sebagainya.
Sejauhmanakah mekanisme tarbiah di atas melahirkan insan
unggul ? Sesungguhnya 15 abad Islam berkembang tidak dapat dinafikan hasil dari
tarbiah Islam telah melahirkan kejayaan-kejayaan sebagaimana lahirnya
pusat-pusat pengajian unggul seperti Masjid al-Madinah, Universiti Qayrawan,
Al-Azhar, Qurduba, Diuband, Baitur Rahman Acheh, UIAM, USIM dan KUIS. Bagaimana
dengan insan yang dilahirkan sebagai anak zaman ?
Sesungguhnya melalui mekanisme dan jatuh bangunnya Islam
melahirkan tamadun dan peradabannya yang boleh disebut tamadun dan peradaban
Madinah, Umawiyyah, Abbasiyyah, Uthmaniyah. Dari segi insan unggulnya
relatifnya sedikit. Antaranya boleh disebutkan Ibn Abbas, Imam-Imam Mazhab
Empat, Ibn Kathir, Bukhari, Muslim, Al-Farabi, Al-Mawardi, Ibn Khaldun dan
lain-lain yang masing-masing dengan hasil-hasil karya masing-masing yang
menjadi turath bagi tamadun dan peradaban umat. Dalam zaman moden, walaupun
kita mempunyai pusat pengajian tinggi, mahaguru dan sama menggunakan alat-alat
canggih dalam bidang tarbiah, tetapi berdepan dengan kemajuan keunggulan
masyarakat yang bukan Islam, kita adalah relatif ketinggalan, jika pun tidak
dapat dikatakan mundur.
Apakah yang dihasilkan oleh mekanisme pendidikan kini ?
Pada dasarnya hasil produk tarbiah adalah mengguna dan
mengulang apa yang sedia ada, melahirkan hasil yang stereotype. Amat sukar
untuk melahirkan yang benar-benar genius, asli, kreatif dan innovatif yang
diterima umat sebagai sesuatu yang segar dan memanfaatkan. Bayangkan pada zaman
tradisi dalam berabad-berbad berlalu umat dapat melahirkan seorang dua dalam
bidang yang membicarakan soal Negara kota
seperti Al-Farabi dengan Al-Madinah al-Fadilah atau Al-Mawardi dengan Al-Ahkam
as-Sultaniyyah dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Pada zaman kita yang
berdepan dengan keunggulan Barat, walaupun ada tapi tidak setara. Adakah
tarbiah kita, selain dari melahirkan yang biasa dan stereotype, dapat
melahirkan negarawan muslim dalam bidang politik ? seorang ekonomis muslim yang
mendapat pengiktirafan dunia ? Dan seorang humanisme terbilang penganjur
keamanan sejagat ?
Kita tidaklah merendah mekanisme pendidikan yang kita
dukung, tetapi majoriti insan yang dilahirkan 99% atau lebih adalah stereotype dan biasa. Kita
merindui penghasilan segar dan baharu seperti pada masa lahirnya tokoh dan
karya seperti Al-Farabi dengan Al-Madinah Al-Fadilah, segar dan baharu seperti
tokoh Ibn Khaldun dengan karya Al-Muqaddimah dan berbagai-bagai lagi bidang
yang dapat dikiaskan. Kita mengharapkan dengan mekanisme tarbiah yang digunakan
– seharusnya terbaik dari segi penghasilan, selain dari biasa dan stereotype,
tetapi melahirkan insan-insan unggul dalam berbagai-bagai bidang.
Kita di Bangi mempunyai harapan tinggi mengimpikan lahirnya
watak-watak insan tarbiah unggul, lantaran di Bangi merupakan Pusat Tarbiah
dari berbagai-bagai universiti, pusat-pusat penyelidikan dan latihan.
Keunggulan ini melayakkan dikenali Bangi Bandar Ilmu. Ungkapan ini diharap
bukan semata-mata slogan, tetapi menjadi dinamika bagi universiti-universiti,
pusat-pusat penyelidikan dan latihan menonjolkan keunggulan dan ketokohan insan
bertahap internasional dan global. Adakah tahap yang diharapkan begitu tinggi ? Jika tidak kita akan terus berada di atas
landasan stereotype dan kebiasaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment