January 4, 2013

Dengan Amanah Kujunjung Ke Akhir Noktah

-->
Mengiringi khusyuk sujud tahajjud
Kusingkap lebarkan daun tingkap
Kesegaran menyerbu wajahku
Mengalir kudus tenang
Di langit ada bintang
Mengerdipkan harapan.

Ketika muazzin memasang
Ayat-ayat pra azan kumandang
Dari surau ke surau bersimpungan
Menyerap maknawi hidup ini
Di kehujungan usia bersisa
Mendamba apa yang terlebih aula
Mengibadat diri pada Mu ya Rabbi
Meningkat khidmat pada manusiawi.

Di keluaran dari kamar malam
Kupanjangkan renungan
Di kananku ada tapak Masjid Al-Umm
Di kiriku Pejabat Khidmat Masyarakat
Di tengahnya terentang lebuh lempang
kutiti Gagasan mau kutegakkan
keilmuan melalui Pesurat
Takmilah melengkap Adab
Adalah azam membina tamadun umat
Pada Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur
Sesungguhnya kemahuan perlu ditentukan
Bukankah Nabi Ibrahim memilih Makkah
Mengukuh akidah membina Baldah Tayyibah
Dengan doa Negara Aman Makmur Berkebajikan
Bukankah Nabi Muhammad memilih Madinah
Negara Pemerintahan Mengukuh Islam
Cahaya darinya memancar ke seluruh alam
Dan Bangi percikan kecil dari harapan
Menjunjung inspirasi firman dan sabdaan
Menegak mini Baldah di Tanah Barakah
Bangi Bandar Ilmu & Gagasan Bangi
Adalah landasan amalan dan wawasan
Bahawa amanah kujunjung ke akhir noktah

Renungan di jendela alam
Terhenti oleh kumandang azan
Antara surau ke surau bersahutan
Lantas diri turun membuka kunci
Meredah udara segar pagi
untuk bejamaah mengikuti tazkirah
bekalan seharian terjemah amalan


Bahawa kehadiran dan amanah bukan sekadar
Penerima setia tapi juga penyumbang bermakna
Di atas prinsip ini kutiti hari-hari
Menjunjung amanah ke akhir noktah.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi.

18 Safar 1434
01 Januari 2013.

No comments:

Post a Comment