Stadium Merdeka, 30 Safar 1434 = 12 Januari 2013 (Sabtu):
Bukan semata-mata kerana arahan dari pihak pemimpin
Tertinggi Pakatan agar datang ke Stadium Merdeka bagi menyertai Himpunan
Kebangkitan Rakyat, tetapi disertai keinginan bersama di dalam Himpunan
Bersejarah sebelum pilihanraya ke 13, bahkan Himpunan membuka ruang ke
Putrajaya, lantaran itu Adun buat keputusan dari awal akan menyertai sama ke
Stadium Merdeka.
Dengan azam itu kami bertolak pada pagi ini, pada mulanya
mau naik komuter sebagaimana yang lepas-lepas bila ada perhimpunan untuk elak
dari kesesakan. Tetapi pada pagi ini ada menerima telefon dari sdr. Ari Krishnan
Ketua Antara Kaum Dun Bangi, bahawa mulai jam dua Komuter akan dihentikan
perkhidmatan, menurut saudara Ari kalau mau pergi elok sebelum jam 12.00. Kami
yang bercadang untuk bergerak selepas solat zohor mengawalkan pemergian, bahkan
mengubah tempat bertolak dari Stesyen Komuter UKM ke Stesyen LRT Bukit Jalil.
Kami bertolak dengan sebuah kenderaan dipandu saudara Fadhli, disertai Adun,
saudara Azizi, Amir Othman dan saudara Badrul. Dari Stesyen LRT Bukit Jalil bertolak
dengan penumpang yang kurang sesak (kerana memilih LRT) dan turun di Stesyen
Hang Tuah. Setelah tiba kami berjalan ke Masjid Al-Bukhari di sini dan tidak
berapa jauh dari Stadium Merdeka. Tiba di Masjid Azan Zohor berkumandang. Kami mau
bersolat jamaah, masalahnya terlalu ramai orang yang juga mau ke Stadium
Merdeka beratur untuk berwudhu`. Kami buat keputusan berwudhu` dengan air
mineral yang kami bawa dan berkesempatan berjamaah di atas tanah berhampar
tikar di ruang hadapan masjid.
Selepas bersolat, kami berjalan kaki bersama orang ramai
menuju ke Stadium Merdeka. Tiba orang ramai bersesak-sesak dan dalam stadium
telah penuh. Kami masuk melalui pintu belakang dan berada di bahagian atas
stadium bersama orang ramai yang bersesak. Namun dari atas pandangan jelas
dapat melihat seluruh kawasan stadium yang penuh dibahagian tempat duduk dan di
tengah padang .
Dicampur dengan mereka yang tak dapat masuk dan berada di luar dijangka
keseluruhan menjangkau 120,000 orang.
Majlis pada peringkat permulaan dari jam 2.00 hingga 3.30
perhimpunan diisi dengan ucapan-ucapan dari pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil
Ngo yang merupakan sesi permulaan. Sesi puncak ialah ucapan-ucapan dari
pemimpin Pakatan Rakyat yang DAP diwakili oleh Y. A. B. Lim Guang Eng
Setiausaha DAP, Y.B Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas dan Y.B. Dato`
Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat yang juga selaku Ketua
Pembangkang. Pemimpin-pemimpin yang lain yang diketahui hadir tidak berucap
seperti Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat (baca doa), Datin Seri Wan
Azizah Presiden Keadilan Rakyat, Karpal Singh Pengerusi DAP dan yang lain-lain.
Saudara Lim Guan Eng menyebut Perhimpunan adalah satu
sejarah, pihak kerajaan memang patut benarkan perhimpunan, kalau disekat lebih
cepat mereka dihumbang. Saudara Lim Guan Eng menganjurkan satu perubahan ke arah
Malaysia Baru yang bebas, mengamalkan demokrasi dengan pemimpin berintegriti.
Menurutnya Malaysia Baru adalah di tangani kita semua. Beliau menyebut pemimpin
Pakatan Rakyat yang berintegriti seperti saudara Lim Kit Siang yang kukuh pendirian.
Y.B. Karpal Singh yang lantang mempertahankan undang-undang,
Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang bertaqwa dan Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz yang
dihormati ramai. Beliau juga menyebut Datin Sri Wan Azizah sebagai Wanita
Bersih. Beliau juga menyebut bahawa BN menekankan kaum yang dijaga oleh
pimpinan berasaskan kaum. Umno menjaga Melayu, MCA jaga Cina dan MIC jaga India , tapi kita dalam Pakatan Rakyat mau
melihat semua rakyat sebagai Rakyat Malaysia . Tidak berdasarkan
perkauman.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapannya memuji
pengurusan hingga dapat diadakan perhimpunan bersejarah di Stadium Merdeka
simbolik bagi kebangkitan rakyat bagi menegakkan kemerdekaan sebenarnya yang
berjuang bagi kepentingan rakyat, bukan kepentingan pimpinan yang sapu tanah 1
Malaysia, yang rasuah dan mementingkan keroni. Yang sanggup merampas kuasa
diberi mandate rakyat seperti terjadi di Perak dan di Terengganu, yang mencipta
huru hara bagi menghalalkan cara sebagaimana pernah terjadi di Kelantan,
bersifat tidak adil terhadap Kelantan yang disekat dari mendapat hasil
petroleum. Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Tabiat buruk Umno diikuti
makmumnya iaitu MCA dan MIC. Menurutnya Pas tidak membawa sifat perkauman,
contohnya peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa Kelantan bebas dari rusuhan.
Bila Pas berkuasa di Terengganu 1999 Terengganu merupakan negeri pertama
menghapuskan tol dan kita akan hapuskan tol bila berjaya menguasai Putrajaya.
Sikap Pakatan yang baik dapat dilihat bila berkuasa di Perak 2008, walaupun Pas
minoriti dari segi kerusi, tapi diberi amanah pimpinan dari Pas menjadi Menteri
Besar. Di Kedah, walaupun negeri tidak banyak hasil dan bergantung kepada
pertanian, tetapi kita dapat mentadbirkan negeri dengan baik. Kalau kita diberi
mandate kita insya Allah dapat meningkatkan mutu pentadbiran dan integriti,
sebab itu ubah sekarang – dikhiri dengan Allahu Akbar !
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan puncak mempersoalkan
tentang rompokan wang rakyat sebanyak RM190 bilion dipindah secara gelap ke luar
Negara. Persoalan ini ditimbulkan dalam Parlimen, tapi hingga kini masih belum
dijawab. Beliau berjanji jika Pakatan Rakyat diberi kuasa tidak akan memberi
ruang dan peluang untuk rasuah. Contoh kini dapat dilihat negeri-negeri yang
dalam pemerintahan Pakatan Rakyat sekarang. Prestasi ini akan dibaiki lagi bila
kita memerintah. Kita berusaha memberi kemudahan kepada rakyat, misalnya kita
akan turunkan harga minyak, membatalkan PTPTN yang membelenggu pelajar-pelajar
kita, membatalkan konsesi tol yang berpihak kepada Syarikat dan bukan kepada
rakyat. Beliau berikrar jika diberi kekuasaan memerintah akan mempertahankan
Agama Islam sebagai agama Rasmi negera, mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi Negara, disamping memberi hak kepada bahasa ibunda dan
galakan menguasai bahasa penting dunia. Pakatan Rakyat akan menawarkan terbaik
untuk rakyat, sebab itu ubah dari sekarang untuk kebaikan masa hadapan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment